14 Hakiki

39. Makam Penetapan
Orang kerohanian yang kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan masuk kepada suasana penetapan, hidup sebagai seorang Muslim biasa. Orang arif dan orang awam dalam agama Islam tertakluk kepada hukum dan peraturan yang sama. Semuanya bertuhankan Tuhan Yang Satu. Semuanya berpenghulukan Nabi yang satu. Semuanya berkiblatkan Kiblat yang satu. Semuanya berimamkan Kitab yang satu. Sekalian kaum Muslimin bersaudara.

Aku reda Allah adalah Tuhan, Islam adalah agama, Muhammad s.a.w adalah Nabi dan Rasul, al-Quran adalah ikutan, Kaabah adalah Kiblat dan semua mukminin dan mukminat adalah saudara.

Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah.

Pada makam penetapan orang arif bergerak dalam masyarakat seperti air yang mengalir pada bumi, menghidupkan bumi yang mati. Bila bumi sudah hidup akan tumbuhlah pokok Islam yang akar tunjangnya teguh di dalam bumi dan pucuknya menggamit langit. Daunnya rendang menjadi tempat berteduh bagi musafir yang lalu sebentar di atas muka bumi. Buahnya enak dan lazat memberi kekuatan kepada musafir berjalan menuju destinasi.

Muhammad Pesuruh Allah! Dan orang-orang yang besertanya keras terhadap orang kafir (dan) berkasih sayang sesama mereka. Engkau lihat mereka rukuk, sujud, mencari kurniaan dan keredaan Allah. Tanda-tanda mereka (ada) di muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat mereka di Taurat dan sifat mereka di Injil, sebagai tanaman yang keluarkan tunasnya, lalu Dia teguhkan ia. Maka jadilah ia gemuk dan tegap berdiri di atas pangkalnya. (Adalah) kerana Dia hendak jengkilkan kafir-kafir itu dengan (kesuburan) mereka (yang mukmin). Allah janjikan mereka yang beriman dan beramal salih dari mereka keampunan-Nya dan ganjaran yang besar. ( Ayat 29 : Surah al-Fat-h )

Setiap Muslim mestilah memilih benih yang baik untuk di tanam. Tuhan hanya menyediakan satu tempat sahaja sebagai kebun untuk bercucuk tanam. Tuhan memberikan kepada manusia satu peluang sahaja untuk mengusahakan ladangnya. Kebun tersebut adalah dunia dan peluang tersebut adalah hidup di dalam dunia ini. Tidak ada kebun lain dan tidak ada peluang lain. Pokok yang paling baik ditanam adalah pokok yang batangnya berdiri tegak, dahannya rukuk merendahkan diri dan julainya yang berat dengan buah sujud mencecah bumi dengan penuh kehambaan. Pokok yang baik mengeluarkan buah yang baik untuk kehidupan dunia dan ia terus berbuah di dalam kubur. Di akhirat kelak buahnya akan memberikan kegembiraan yang abadi.

Pengalaman zauk dan jazbah hanyalah kedudukan yang sementara, bukan penetapan dan bukan matlamat. Nabi Muhammad s.a.w memasuki pengalaman Israk dan Mikraj hanya satu bahagian daripada malam sahaja. Dalam perjalanan yang mengambil masa yang singkat itu baginda s.a.w menerima perintah sembahyang lima waktu. Perintah sembahyang yang diterima dalam masa yang singkat itu membawa Nabi Muhammad s.a.w mengerjakan sembahyang sepanjang hayat baginda s.a.w. Pengalaman yang singkat membuka jalan kepada penetapan. Baginda s.a.w yang dikeluarkan daripada dunia sebahagian daripada malam kembali semula ke dunia untuk meneruskan baki umur baginda s.a.w dan di dunia ini juga baginda s.a.w menghabiskan umur baginda s.a.w. Di sini juga jasad baginda s.a.w disemadikan. Begitulah jalan yang Tuhan tentukan untuk manusia yang paling mulia, paling sempurna.

Tuhan ciptakan Adam a.s tanpa ibu dan ayah. Tuhan ciptakan Isa a.s tanpa ayah. Tuhan ciptakan Kekasih-Nya, Muhammad s.a.w dengan beribu dan berbapa. Tuhan jadikan Kekasih-Nya itu merasai lapar, dahaga, sakit dan mati di dalam dunia. Sahabat-sahabat baginda s.a.w yang merupakan manusia pilihan kelas pertama melalui jalan yang demikian juga. Orang-orang yang benar yang datang kemudian melalui jalan itu juga. Itulah sebaik-baik jalan dan ia dinamakan Jalan Nabi atau Sunah Nabi Muhammad s.a.w.

Pada Jalan Nabi tentera Muslimin berperang dengan menggunakan pedang, kepintaran akal dan kekuatan jasmani. Mereka memukul dan dipukul. Mereka menerima luka-luka. Mereka membunuh dan dibunuh. Mereka selalu menang tetapi ada juga kekalahan. Namun mereka terus juga berjuang di dalam perbatasan manusia biasa. Mereka tidak bersandar kepada ilmu kebal atau ilmu menutup pandangan musuh. Mereka tidak bersandar kepada mukjizat. Jika Tuhan kirimkan mukjizat melalui Nabi-Nya mereka menerimanya dengan syukur. Jika Tuhan tetapkan mereka berperang dengan menggunakan bakat kemanusiaan biasa mereka terus juga berjuang dengan penuh semangat dan kesabaran.

Rasulullah s.a.w dan para sahabat telah menunjukkan cara menghadapi kehidupan sebagai manusia biasa. Baginda s.a.w bersama-sama sahabat yang paling mulia, Abu Bakar as-Siddik, telah menunjukkan contoh yang paling baik dalam menghadapi cabaran sewaktu melakukan hijrah. Konsep bertawakal yang sebenarnya diajarkan oleh Rasulullah s.a.w melalui peristiwa hijrah tersebut. Baginda s.a.w diutuskan untuk membimbing umat manusia yang tidak boleh terbang di udara atau berjalan di atas air dan juga tidak kebal. Jika orang yang membimbing menggunakan cara terbang di udara, berjalan di atas air, kenyang tanpa makan, tidak ditimpa penyakit, maka yang boleh mengikuti pembimbing yang demikian hanyalah para malaikat. Nabi Muhammad s.a.w dan pewaris perjuangan baginda s.a.w perlu bergerak dan bertindak di dalam sempadan kemanusiaan agar orang ramai boleh mengikuti mereka. Orang kerohanian yang kembali kepada kesedaran kemanusiaan akan bergerak sebagai manusia biasa juga. Mungkin ada perkara yang luar biasa keluar daripada mereka. Itu adalah sebagai anugerah Tuhan kepada mereka. Perkara tersebut tidak boleh dipandang sebagai identiti mereka.

Ahli hakikat yang kembali kepada kesedaran biasa akan hidup seperti manusia lain juga. Pekerjaan utama mereka adalah menyeru umat manusia ke jalan Tuhan. Di samping itu mereka juga melakukan apa yang layak dilakukan sebagai manusia. Mereka membuat pekerjaan menurut bakat dan keupayaan yang Tuhan kurniakan kepada mereka. Sebahagian daripada mereka menceburkan diri ke dalam bidang perdagangan untuk menjadi model kepada pedagang-pedagang yang lain. Ada yang menjadi pengusaha, nelayan, pemandu teksi, petani dan lain-lain. Golongan pilihan itu menyerap ke dalam masyarakat melalui semua bidang kehidupan agar umat manusia boleh menguruskan setiap bidang dengan mencontohi model yang Tuhan hantar kepada mereka. Manusia pilihan itu akan meneruskan kehidupan masing-masing menurut warna pencelupan pilihan Tuhan, sehinggalah mereka kembali kepada Tuhan dalam keadaan reda meredai.

Kami datang dari Allah dan kepada Allah kami kembali. Di awal perjalanan kerohanian seseorang itu merasakan kehadiran Pembimbing Ghaib yang mengiringinya. Hadrat (kehadiran) tersebut sentiasa bersama-samanya sehingga dia sampai ke gerbang penetapan. Selama ‘dikuasai’ oleh Hadrat tersebut si hamba berada dalam suasana tidak bernama atau tidak ada identiti sendiri. Apa juga keberkatan yang diperolehinya diisbatkan kepada keberkatan Hadrat tersebut. Segala pengetahuannya diisbatkan kepada pengetahuan Hadrat berkenaan. Si hamba tidak mengakui sesuatu kebaikan itu sebagai kebaikan dirinya. Semuanya diisbatkan kepada Hadrat yang bersamanya.

Penguasaan Hadrat ghaib itu menjadi jazbah yang paling kuat menguasai seseorang yang berjalan pada jalan kerohanian. Hadrat inilah yang paling akhir berpisah dengan si hamba berbanding dengan semua pengalaman jazbah yang lain. Apabila si hamba masuk ke dalam kota penetapan, secara tiba-tiba sahaja si hamba menyedari Hadrat ghaib itu sudah kembali ke Hadrat Ilahi. Tugas Hadrat ghaib itu sebagai Pembimbing dan Protokol sudah selesai. Hadrat tersebut telah melaksanakan tugasnya membentuk si hamba itu menurut kehendak Allah s.w.t. Bila si hamba sudah boleh menguruskan dirinya sendiri Hadrat tersebut pun kembali kepada kedudukan urusan Allah s.w.t. Si hamba telah kembali kepada dirinya dengan lengkap dan sempurna. Dia sudah boleh memakai identitinya semula. Dia kembali kepada namanya yang sekian lama terpisah daripadanya. Peringkat perpisahan dengan Hadrat ghaib dan bersatu dengan nama dan identiti sendiri merupakan penetapan yang sebenarnya. Ia dinamakan makam penetapan yang teguh. Si hamba kembali kepada kedudukan sebagai satu individu yang memikul amanah dan ada tugas yang perlu dilaksanakannya. Pada tahap ini baharulah bakat khalifah yang dikenalinya pada peringkat Hakikat Khalifah dahulu menjadi bakat dirinya. Khalifah Allah berurusan secara langsung dengan Allah s.w.t, tidak melalui perantaraan yang nyata atau yang ghaib, tidak ada tawasul. Orang yang masih menggunakan cara tawasul menandakan kesan mabuk belum lagi habis daripadanya.

Khalifah pada makam penetapan bukan seperti khalifah pada makam hakikat. Khalifah Allah pada makam penetapan berpijak pada bumi nyata, tidak lagi ‘mencari-cari’ atau ‘memandang ke atas’ atau ‘menantikan sesuatu.’ Khalifah yang sudah menetap adalah golongan salihin dan siddiqin. Benar kedudukan syariat, benar kedudukan tarekat, benar kedudukan hakikat dan benar kedudukan makrifat pada satu kedudukan iaitu syariat yang lengkap. Inilah makam khalifah Allah yang menjadi pewaris nabi.

Khalifah Allah menguruskan daerah kekhalifahannya iaitu dirinya sendiri dan bidang pengkhususannya. Bidangnya yang paling penting adalah berdakwah ke jalan Allah. Bagi melakukan semua itu dia kembali ke dunia, menghadapi dunia yang diporak-perandakan oleh syaitan dan hawa nafsu. Dalam melaksanakan tugasnya dia dijaga oleh Allah s.w.t. Apabila Allah s.w.t menentukannya menguruskan hal-ehwal makhluk maka diberinya petunjuk dan kekuatan dalam melaksanakan tugasnya.

Allah s.w.t kurniakan kepada para khalifah-Nya kurniaan yang tidak rosak binasa. Mereka diberi kebahagiaan yang tidak ada lagi kesusahan dan kesedihan. Nasib mereka menjadi baik dan tidak buruk lagi. Apa sahaja perkara keduniaan yang sampai kepada mereka sudah ditapis dan mereka menerima yang baik-baik sahaja. Kedudukan mereka akan ditinggikan dan tidak rendah lagi. Mereka menjadi pusat pertemuan orang ramai. Melalui sembahyang mereka kesulitan orang ramai dapat diselesaikan. Melalui doa mereka bala terangkat daripada orang ramai. Mereka menjadi pengawal kerohanian kepada orang-orang yang di dalam daerah kekhalifahan mereka. Apabila mereka sudah bersesuaian dengan Allah s.w.t dan perintah-Nya maka seluruh alam tunduk kepada mereka dalam keadaan merendah diri. Apabila mereka teguh menjaga diri daripada perkara yang haram, maka yang haram akan lari daripada mereka walau ke mana sahaja mereka pergi. Khalifah Allah adalah mereka yang kuat memerhatikan larangan Allah s.w.t, menjaga diri daripada terjerumus ke dalam perkara yang tidak disukai oleh Allah s.w.t dan mereka sangat bersegera di dalam melakukan ketaatan kepada-Nya.

Apa sahaja yang dari Allah s.w.t adalah nur. Malaikat yang bertugas menjalankan perintah Allah s.w.t adalah nur. Khalifah Allah diselimuti oleh nur suci. Nur pada matanya, nur pada telinganya, nur pada lidahnya, nur di kanannya, nur di kirinya, nur di hadapannya, nur di belakangnya dan seluruh maujudnya diselimuti oleh nur.

Takutlah kamu firasat orang mukmin kerana mereka melihat dengan nur Ilahi. ( Maksud Hadis ) Si hamba yang dibaluti oleh nur tidak dibahayakan oleh kegelapan. Ilmunya adalah nur yang dari Allah s.w.t. Nur membuka tutupan sehingga yang benar nyata kebenarannya dan yang salah tidak dapat berselindung. Tidak ada lagi syak dan wasangka. Nur Ilmu menghapuskan kesamaran dan teka teki. Segala perkara adalah jelas dan nyata. Yang jelas dan nyata itu adalah kebenaran al-Quran dan as-Sunah.

Si hamba yang telah kembali kepada kesedaran kemanusiaan dan berupaya menguruskan hal-ehwal dirinya dan orang lain, diizinkan menikmati sepenuhnya bahagian yang baik-baik yang diperuntukkan kepadanya. Bahagian tersebut telah dipegang oleh Pemegang Amanah iaitu al-Waliyyu (Yang Memelihara) selama si hamba itu di dalam perjalanan demi kebaikan si hamba itu sendiri. Bila keupayaan khalifah dikurniakan kepadanya bahagiannya juga dikembalikan. Apa yang menjadi bahagiannya tidak dapat diambil oleh orang lain.

Ketika berjalan kepada Allah s.w.t dahulu diserahkannya semua hak dirinya kepada Allah s.w.t. Diserahkannya dirinya, namanya, sifatnya, bahagiannya dan sekalian makhluk kepada Allah s.w.t. Kini Allah s.w.t mengembalikan semuanya itu kepadanya. Dirinya, namanya, sifatnya dan bahagiannya kembali kepadanya. Makhluk juga kembali kepadanya. Dia menjadi pengurus terhadap apa yang Allah s.w.t kembalikan kepadanya. Pada zahirnya dia yang menguruskan tetapi pada hakikatnya Allah s.w.t, al-Waliyyu, yang menguruskan hal-ehwal si hamba itu. Hamba yang diuruskan oleh Allah s.w.t itulah yang dimaksudkan sebagai wali Allah dan khalifah Allah.

Si hamba yang sampai kepada makam penetapan menjadikan seluruh kehidupan ini sebagai ibadat. Lidahnya basah dengan zikir. Dia mengucapkan zikir yang biasa diucapkan oleh orang Islam biasa dan hatinya terikat dengan masjid. Dia juga berbakti kepada orang tuanya selaku anak yang salih. Allah s.w.t kurniakan kedudukan yang tinggi lagi mulia kepada hamba-Nya yang sentiasa ingat kepada-Nya, yang hatinya terikat dengan masjid dan yang berbakti kepada orang tuanya. Kedudukannya satu tingkat di bawah kedudukan nabi-nabi. Hamba yang demikian diliputi oleh Nur Arasy, sebagaimana yang telah disaksikan oleh Rasulullah s.a.w sewaktu baginda s.a.w Mikraj melepasi Sidratul Muntaha. Maha Suci Allah s.w.t yang menciptakan satu golongan daripada umat manusia sebagai hamba-Nya yang pilihan untuk Dia taburkan rahmat-Nya kepada seluruh umat manusia, sekalian makhluk-Nya dan sekalian alam ciptaan-Nya.

40. Umat Yang Diasuh Oleh nabi Muhammad s.a.w
Para sahabat Rasulullah s.a.w boleh dibahagikan kepada tiga golongan. Pertama adalah mereka yang memeluk Islam sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Kedua adalah mereka yang memeluk Islam selepas Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Ke tiga adalah mereka yang memeluk Islam sesudah pembebasan Makkah. Al-Quran telah meletakkan ketentuan bahawa golongan pertamalah yang paling mulia, diikuti oleh golongan ke dua dan seterusnya golongan ke tiga. Berdasarkan kenyataan al-Quran itulah Abu Bakar as-Siddik berhujah dengan kaum Ansar berhubung dengan isu perlantikan pengganti Rasulullah s.a.w. Kaum Ansar memperakui memang demikianlah kenyataan al-Quran. Oleh yang demikian golongan pertamalah yang berhak memegang jawatan amir dan golongan kedua jawatan wazir. Di antara yang paling mulia dalam golongan pertama, maka Abu Bakar as-Siddik adalah yang paling mulia. Neraca keadilan Umar al-Khattab telah menunjukkan keutamaan Abu Bakar as-Siddik. Sekalian kaum Muslimin membenarkan pertimbangan Umar dan Abu Bakar as-Siddik dilantik menjadi khalifah umat Islam yang pertama.

Golongan pertama telah melalui jalan yang tidak dilalui oleh golongan-golongan yang lain. Mereka adalah yang pertama beriman kepada Rasulullah s.a.w. Mereka terpaksa membayar harga yang mahal demi agama mereka dan iman mereka. Hak asasi mereka dirampas oleh kaum Quraisy. Ketahanan iman mereka benar-benar diuji. Setelah mereka lulus ujian iman baharulah Allah s.w.t mengeluarkan mereka daripada Makkah untuk melakukan satu laku pekerjaan yang sangat mulia, yang tidak dilakukan oleh golongan yang lain. Mereka memperolehi fadilat hijrah.

Setelah hijrah golongan pertama ini menjadi seumpama air meresap ke dalam golongan kedua untuk memberi kehidupan kepada mereka. Golongan kedua yang telah bersatu dengan golongan pertama telah menjadi kuat, dan kedua-duanya menjadi tentera Allah, para mujahidin. Hasil daripada perjuangan mereka itulah muncul golongan ke tiga dan seterusnya berkembang hingga ke hari ini dan sampai ke hari kiamat.

Di dalam golongan ke tiga terdapat orang-orang yang satu ketika dahulu sangat-sangat memusuhi Rasulullah s.a.w, kaum Muslimin dan agama Islam. Dari kalangan mereka ada orang yang pernah menyiksa kaum Muslimin, malah ada yang pernah membunuh orang Islam. Perjuangan golongan pertama dan ke dua bukanlah untuk membalas dendam atau untuk mencari keuntungan diri. Mereka adalah tentera Allah yang berkewajipan membawa agama Allah kepada umat manusia. Mereka adalah golongan manusia yang dipilih khusus untuk memimpin umat manusia agar selamat daripada neraka.

Ada sebahagian cendikiawan yang datang kemudian tidak bersetuju dengan beberapa tindakan para Mujahidin itu. Mereka perlu memahami daya nilai kemanusiaan dan daya nilai Muslim. Manusia umum menggunakan bakat fitrah kemanusiaan dalam membuat penilaian. Fitrah kemanusiaan hanya berupaya menggunakan kekuatan akal fikiran sebagai sumber yang paling kuat. Fitrah Muslim pula tunduk menyerah kepada wahyu. Penyerahan kepada wahyu Tuhan dilakukan dengan iman, bukan dengan hujah dan takwil. Kaum Muslimin berkewajipan menundukkan fitrah asas kepada fitrah Muslim yang menyerah kepada berita yang datang dari Tuhan. Kaum Muslimin hendaklah tidak membuang perkataan Tuhan kerana melihat kepada hukum logik fitrah asas.

Golongan pertama dan kedua menerima dengan baik orang-orang yang telah memusuhi mereka, menindas mereka, berperang dengan mereka dan membunuh saudara-saudara mereka. Keadaan demikian boleh terjadi kerana sifat pemaaf yang kuat tertanam dalam jiwa kaum Muslimin yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w.

Umat yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w berpusat kepada dua perkara penting iaitu al-Quran dan masjid. Mereka menjadi umat yang belajar al-Quran, mengamalkan al-Quran dan menyebarkan al-Quran. Islam dan al-Quran bergandingan. Tidak dinamakan Islam tanpa al-Quran. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan mempelajari al-Quran secara membaca, menghafal dan mengamalkan. Mereka juga berkewajipan menyebarkan apa yang mereka pelajari dan amalkan. Sesiapa yang menerima agama Islam daripada Nabi Muhammad s.a.w melalui proses yang demikian. Setiap orang dibawa tunduk kepada perkataan Tuhan, bukan kepada fikiran, ilham atau kasyaf orang tertentu. Orang yang memiliki fikiran, ilham atau kasyaf berkewajipan mengharmonikan apa yang ada dengan mereka itu dengan perkataan Tuhan. Apa sahaja yang bercanggah dengan perkataan Tuhan mesti ditolak.

Masjid adalah tempat yang paling mulia bagi umat Nabi Muhammad s.a.w. Rasulullah s.a.w banyak menghabiskan waktu baginda s.a.w di dalam masjid. Baginda s.a.w bersembahyang di dalam masjid. Baginda s.a.w menerima tetamu di dalam masjid. Baginda s.a.w menyusun strategi peperangan di dalam masjid. Peraturan yang baginda s.a.w lakukan di salam masjid menjadi asas kepada perlantikan Abu Bakar sebagai pengganti baginda s.a.w, kerana Abu Bakar dipilih oleh baginda s.a.w menjadi imam sembahyang semasa ketiadaan baginda s.a.w. Orang yang menjadi ketua kaum Muslimin adalah imam bagi saf yang berjemaah di dalam masjid. Begitulah pentingnya institusi masjid yang kepada umat yang dididik oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Al-Quran dan masjid menjadi dasar yang kukuh kepada umat Nabi Muhammad s.a.w menjadi golongan yang mencintai jihad. Mereka adalah golongan yang telah menjualkan harta dan nyawa mereka kepada Tuhan. Kecintaan mereka adalah kepada Allah s.w.t, Rasul-Nya dan berjihad pada jalan-Nya. Tidak ada yang mereka cintai melebihi yang tiga itu.

Semangat jihad pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w yang tidak ada tolok bandingnya dapat dilihat pada peristiwa Perang Uhud. Dalam peperangan tersebut 70 orang tentera Muslimin gugur syahid. Setelah para syuhada tersebut dikebumikan Nabi Muhammad s.a.w membawa mereka yang masih hidup pulang ke Madinah. Kebanyakan daripada mengalami kecederaan yang serius. Abdul Rahman bin Auf mendapat luka 20 liang. Hanya satu malam sahaja mereka berkesempatan berehat dan merawat luka mereka. Keesokan paginya para petugas telah menyeru semua tentera Muslimin yang menghadiri Perang Uhud kelmarin keluar untuk mengejar tentera musyrikin yang dipimpin oleh Abu Sufyan. Hanya mereka yang menyertai peperangan kelmarin sahaja yang dibenarkan ikut serta. Betapa iman mereka diuji begitu hebat sekali oleh Tuhan. Mereka menyahut seruan tersebut tanpa ragu-ragu dan membuktikan bahawa mereka adalah orang-orang yang benar-benar menjualkan diri dan harta mereka kepada Allah s.w.t. Mereka keluar semula daripada Madinah mengejar musuh yang telah mengalahkan mereka kelmarin. Mereka sanggup berbuat demikian kerana iman. Mereka percaya kepada janji Allah s.w.t bahawa para syuhada sebenarnya tidak mati. Mereka terus memperolehi nikmat dan kurniaan Tuhan sekalipun mereka tinggal di dalam alam yang berbeza.

Selepas Perang Uhud, Jabir bin Abdullah duduk termenung mengenangkan ayahnya yang telah syahid, di antara 70 syuhada Uhud itu. Rasulullah s.a.w bertanyakan keadaannya dan dia menceritakan punca kesugulannya. Rasulullah s.a.w bersabda: “Kalau Tuhan hendak berbicara dengan seseorang hanyalah dari sebalik hijab tetapi ayahmu dihidupkan dan Tuhan bercakap dengannya berhadapan. Lalu Tuhan berfirman, ‘Wahai hamba-Ku! Sebutlah apa yang engkau ingini nescaya Aku beri’. Dia menjawab, ‘Pintaku hanya satu wahai Tuhanku. Hidupkan aku sekali lagi supaya aku mati terbunuh kali ke dua pada jalan-Mu’. Tuhan menjawab, ‘Telah tertulis bahawa orang yang mati tidak akan kembali lagi’. Maka berkata pula hamba yang memohon tadi, ‘Wahai Tuhanku! Jika demikian sampaikanlah kepada makhluk-Mu yang telah aku tinggalkan bahawa betapa bahagianya daku sekarang'”. Rasulullah s.a.w bersabda: “Kawan-kawanmu yang syahid di Uhud itu, arwah mereka disimpan oleh Tuhan di dalam rongga burung hijau, terbang dan hinggap di sekitar sungai-sungai syurga, makan buah-buahannya dan hinggap pada kidil-kindil emas yang tergantung di bawah naungan Arasy. Setelah mereka merasai kelazatan makanan dan minuman dan sambutan yang amat baik atas mereka, berkatalah mereka, ‘Alangkah baiknya kalau kawan-kawan kita yang masih hidup di dunia mengetahui apa yang diperbuat oleh Tuhan untuk menyambut kita ini. Siapakah agaknya yang kan menyampaikan kepada mereka di dunia bahawa kita ini hidup di dalam syurga dan tetap diberi rezeki, supaya mereka jangan enggan berjihad dan jangan takut berperang’. Tuhan menjawab, ‘Aku sendiri akan menyampaikannya'”.

Para mujahidin bergerak ke medan perang dengan ucapan: “Cukuplah Allah bagi kami dan Dia jualah sebaik-baik Penjaga“. Tekad mereka bulat. Keyakinan mereka penuh kepada kempimpinan Rasul Allah. Penyerahan mereka hanyalah kepada Allah s.w.t. Tugas mereka adalah menyebarkan apa yang Allah s.w.t sampaikan kepada Rasul-Nya. Mereka bekerja untuk menyelamatkan diri mereka, ahli mereka dan umat manusia umumnya daripada azab api neraka.

Pengikut Nabi Muhammad s.a.w hidup bersama-sama tiga perkara pokok iaitu al-Quran, masjid dan jihad. Jihad bukan sahaja mengangkat senjata. Dalam keadaan aman jihad mereka adalah memperkuatkan umat Islam secara rohani dan jasmani. Ahli ilmu memberi tumpuan kepada urusan mempelajari ilmu dan menyampaikannya kepada orang ramai. Dalam keadaan aman juga mereka berjihad merombak apa juga adat, kebudayaan dan peraturan yang tidak bersesuaian dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Apabila datang hukum Tuhan mengharamkan arak, maka dengan senang hati mereka melepaskan keinginan dan tabiat meminum arak. Begitu juga dengan lain-lain peraturan yang diperintahkan oleh Allah s.w.t. Mereka menerima perintah Tuhan dengan penuh kerelaan, tidak berdolak-dalih atau berhujah dengan kekuatan akal mereka bagi tujuan mengabaikan perintah Tuhan.

Nabi Muhammad s.a.w mengajar umat baginda s.a.w supaya memelihara ketulinan, keaslian dan kemurnian Islam. Baginda s.a.w mahu umat baginda s.a.w membawa identiti sendiri yang mudah dikenal dan dibezakan daripada kaum lain. Umat Nabi Muhammad s.a.w berkewajipan memelihara ibadat mereka, upacara keagamaan mereka, adat dalam masyarakat, kebudayaan dan sebagainya agar semua itu benar-benar bersih daripada pengaruh agama lain.

Kaum Muslimin diberi kesedaran bahawa kemasukan pengaruh agama atau adat lain walaupun dipandang kecil, akan membuka jalan kepada kemasukan pengaruh yang lebih besar. Mempertahankan ketulenan Islam merupakan jihad juga. Umat Islam seharusnya boleh berkata dan menunjukkan dengan pasti bahawa yang ini Islam dan yang itu bukan Islam. Seharusnya ada sempadan yang jelas di antara Islam dengan bukan Islam. Misalnya, bagi upacara perkahwinan, seharusnya dikenalpasti sempadan Islam, yang dibolehkan oleh Islam dan yang dilarang oleh Islam. Begitu juga bagi bidang-bidang perekonomian, politik pendidikan dan lain-lain. Apa juga yang datang dari luar yang boleh diterima oleh peraturan Islam hendaklah ‘diIslamkan’ terlebih dahulu, seumpama kulit binatang halal yang hendak digunakan disamakkan terlebih dahulu. Pekerjaan ‘menyamakkan’ segala ilmu, sistem, adat, kebudayaan, hukum dan lain-lain menjadi medan jihad yang sangat luas bagi cendikiawan Muslim. Setiap Muslim yang diberi kepakaran dalam sesuatu bidang sebenarnya diberi amanah oleh Tuhan supaya memelihara bidang yang menjadi kepakarannya itu agar berada dalam keadaan Islam. Kepentingan ekonomi, politik, kuasa atau sesuatu tidak seharusnya melunturkan warna Islam. Jihad cendikiawan Muslim dalam medan ini tidak akan habis sampai ke hari kiamat.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: