10 Hakiki

30. Tarekat Kehidupan Harian
Setiap orang yang hidup dalam dunia ini membina kehidupan masing-masing berdasarkan dorongan naluri semulajadi seperti keinginan berkeluarga, mencari rezeki, memiliki tempat tinggal dan sebagainya yang mensejahterakan kehidupan di dalam alam ini. Hasilnya seseorang itu berjaya memiliki sesuatu seperti pekerjaan yang baik, tempat tinggal yang selesa dan kemudahan asas yang lain yang diperlukan. Masing-masing juga sudah berkeluarga, hidup bahagia bersama isteri dan anak-anak. Bukan mudah mahu membina kehidupan yang selesa dan bahagia itu. Seseorang itu perlu melalui kesusahan dan pengorbanan bagi memperolehinya. Adakah jika seseorang itu mahu memasuki bidang kerohanian dia mesti meninggalkan atau membuang apa sahaja yang telah dimilikinya itu? Patutkah dia meninggalkan pekerjaan, rumah tangga, isteri, anak-anak dan masyarakat lalu lari ke hutan dan gua?

Orang yang cenderung kepada aliran tarekat tasauf gemar menjadikan kehidupan wali-wali yang dibaca daripada buku-buku sebagai contoh tauladan. Aspek kewalian yang paling menarik perhatian adalah kekeramatan. Kekeramatan dianggap sebagai bukti ketinggian makam seseorang wali itu. Kebolehan wali mengeluarkan kekeramatan dikaitkan dengan sifat zuhud dan bertawakal penuh yang dimiliki oleh wali tersebut. Orang yang berminat kepada tarekat tasauf itu mengandaikan jika mahu memperolehi pangkat kewalian dan boleh mengeluarkan kekeramatan, perlulah dia memilih hidup bertajrid sepenuhnya dengan meninggalkan ikhtiar dan dia perlu bertawakal sepenuhnya kepada Allah s.w.t. Sikap melulu bertajrid membuat seseorang meninggalkan pekerjaan, isteri, anak-anak, masyarakat dan dunia seluruhnya. Dia lari ke hutan, ke puncak gunung dan ke gua-gua. Dia mengasingkan dirinya daripada segala-galanya yang dia anggap boleh menghalang perkembangan kerohaniannya. Ketika di dalam pengasingan itu dia meniru cara hidup wali-wali. Dia memaksa dirinya supaya menjadi kuat beribadat dan berzikir. Tidak memperdulikan keselamatan dirinya dan tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekelilingnya.

Biasanya orang yang bertajrid secara melulu ini tidak dapat bertahan lama. Kesabarannya tidak cukup kuat untuk menanggung kesusahan yang mendatanginya semasa dalam pengasingan. Kerinduan kepada anak-anak selalu mengganggu jiwanya. Kecemburuan terhadap isteri yang jauh di mata merisaukan fikirannya. Harta yang banyak ditinggalkan mungkin sudah direbut oleh orang lain. Dia pula tidak dapat makan dengan mencukupi, tidurnya juga tidak selesa. Tubuhnya menjadi lemah dan semangatnya juga lemah. Akhirnya dia tidak tahan lagi menanggung penderitaan dan kegelisahan. Dia lari daripada alam pengasingan dan kembali kepada kehidupannya yang lama. Setelah kembali dia melihat kerugian yang sudah dialaminya selama dia lari ke hutan. Kerugian perlu dituntut ganti. Kali ini dia menggunakan apa juga cara untuk menebus semula masa dan peluang yang telah terlepas daripadanya. Kelakuannya menjadi lebih buruk daripada sebelum dia lari ke dalam alam pengasingan dahulu.

Bertajrid secara melulu memberi kesan yang tidak baik kepada orang yang mencintai jalan kerohanian. Tidak mungkin seseorang yang baharu mahu memulakan latihan tarekat kerohanian beramal seperti wali-wali yang sudah berpuluh-puluh tahun melatihkan diri. Tindakan mencampakkan segala-galanya yang dimilikinya secara tergesa-gesa membuatkan dia berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang menggoncangkan imannya dan boleh menyebabkan dia berputus asa. Dia tidak seharusnya meniru secara melulu kehidupan wali-wali yang sudah mencapai makam keteguhan. Seseorang perlu melihat kepada dirinya sendiri; mengenalpasti kedudukannya, kemampuannya dan daya tahannya.

Ketika masih di dalam makam asbab dia perlu bertindak sesuai dengan hukum sebab akibat. Dia harus bekerja untuk mendapatkan rezekinya. Dia juga perlu mengadakan sebab bagi mensejahterakan kehidupannya. Sebagai persediaan memasuki bidang kerohanian dia terlebih dahulu perlu bergerak di atas landasan sebab musabab yang boleh memperkuatkan daya tahan dan kesabarannya. Dia masih lagi terikat dengan sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih melihat tindakan makhluk mempunyai kesan dan pengaruh. Oleh yang demikian adalah wajar jika dia juga mengadakan tindakan menurut hukum sebab musabab dengan menggunakan bakat kemanusiaannya demi mengatur perancangan dengan rapi agar apa yang dia hajati boleh tercapai. Jika niatnya benar dan baik, perjalanan sebab musabab akan membantunya menuju ke arah yang dihajatinya. Tanda seseorang itu diletakkan di dalam sempadan asbab sebagai kenderaannya menuju matlamat, adalah urusan dan tindakannya menurut peraturan sebab musabab tidak menyebabkannya mengabaikan kewajipannya terhadap tuntutan agama. Dia tetap berasa mudah untuk berbakti kepada Allah s.w.t, tidak menggunakan cara yang diharamkan oleh Allah s.w.t, tidak gelojoh dengan nikmat dunia dan tidak dengkikan nikmat yang Allah s.w.t kurniakan kepada orang lain. Apabila ahli asbab berjalan menurut hukum sebab musabab yang tidak menyalahi syarak, jiwanya akan berkembang dengan baik dan teratur, tanpa menghadapi kegoncangan yang dia tidak berdaya menanggungnya. Rohaninya akan menjadi kuat sedikit demi sedikit dan menolaknya ke dalam suasana tajrid secara teratur dan selamat. Akhirnya dia mampu bertajrid sepenuhnya.

Dalam kehidupan harian ada juga orang yang dipaksa oleh takdir supaya terjun ke dalam lautan tajrid. Orang ini asalnya tergolong di dalam kumpulan ahli asbab yang hidup menurut hukum sebab musabab seperti orang ramai. Kehidupan dalam daerahasbab itu tidak menambahkan kemantapan rohaninya. Dia memerlukan perubahan bidang kehidupan baharulah rohaninya boleh berkembang maju. Bagi tujuan menambahkan kekuatan kerohaniannya takdir memisahkannya daripada apa sahaja yang menghalangnya daripada berjalan kepada Tuhan. Pada peringkat permulaan menerima kedatangan takdir yang demikian, sebagai seorang yang masih terikat dengan hukum sebab akibat, dia akan berusaha sedaya upayanya untuk menahan takdir yang tidak diingininya itu. Bila dia tidak berdaya menolong dirinya sendiri dia akan meminta pertolongan dengan orang lain yang mempunyai kuasa. Kuasa yang ada dengan manusia tidak mampu juga menolongnya menyekat kemaraan takdir yang mendatanginya itu. Dia boleh mengadakan sebab tetapi akibat yang diharapkan tidak berlaku. Dia menghadapi keadaan di mana hukum sebab akibat tidak berdaya menembusi benteng takdir. Setelah puas berusaha dan meminta pertolongan orang lain, dia tidak ada pilihan lagi kecuali lari kepada Tuhan. Dia merayu sambil menangis, memohon Tuhan menolongnya, melepaskannya daripada takdir yang menimpanya itu. Walau bagaimana sekalipun dia merayu namun tangan takdir yang mencengkamnya tidak juga terlepas. Akhirnya dia tidak berkuasa melawan lagi. Dia mengaku kalah dan tunduk kepada perjalanan takdir yang menguasainya. Redalah dia dengan apa juga takdir yang menimpanya. Dia tidak lagi merayu kepada Tuhan, sebaliknya dia menyerah bulat-bulat kepada-Nya. Tidak ada lagi ikhtiar, pilihan dan kehendak diri sendiri. Jadilah dia seorang hamba Allah s.w.t yang bertajrid sepenuhnya. Bila seseorang hamba benar-benar bertajrid maka Allah s.w.t akan menguruskan kehidupannya.

Beberapa banyak binatang yang melata yang tidak sanggup membawa rezekinya. Allah yang menjamin rezekinya, juga terhadap kamu. Dia Maha Mendengar Maha Mengetahui. ( Ayat 60 : Surah al-‘Ankabut )

Makhluk Tuhan seperti burung, ikan, ulat, semut, kuman dan berbagai-bagai lagi tidak memiliki kebun dan kilang makanan. Mereka adalah ahli tajrid yang dijamin rezeki mereka oleh Tuhan. Manusia tajrid juga dijamin rezekinya oleh Tuhan. Bukan sekadar rezeki yang dijamin oleh Tuhan, malah segala aspek kehidupannya diuruskan oleh Tuhan. Tuhan mencabut kehendak dirinya yang lama dan digantikan-Nya dengan kehendak yang lain yang sesuai dengan kehendak-Nya. Tuhan memeliharanya daripada melakukan apa yang Dia murkai. Apa sahaja yang Dia mahu hantarkan kepada hamba-Nya yang bertajrid, ditapis-Nya agar ia tidak merosakkan iman dan iktikadnya. Dia memelihara hamba-Nya yang demikian daripada gangguan manusia lain yang tidak mengerti. Dia yang membela hamba-Nya yang demikian yang teraniaya. Penjagaan Tuhan terhadap hamba-Nya yang bertajrid melebihi penjagaan seorang ibu terhadap anaknya yang masih bayi. Allah s.w.t menghalang tangan manusia yang kotor dan aniaya daripada sampai kepada hamba-Nya yang menyerahkan urusan kepada-Nya.

Tanda Allah s.w.t meletakkan seseorang hamba-Nya itu dalam daerah tajrid adalah Dia memudahkan baginya rezeki dan penyelesaian masalahnya dengan cara yang tidak disangkanya. Jiwanya dijaga agar sentiasa tenteram walaupun berlaku kekurangan rezeki atau dia ditimpa oleh kesusahan. Allah s.w.t membela hamba-Nya yang bertajrid secara langsung atau dihantarkan-Nya makhluk-Nya untuk membantu hamba-Nya itu. Orang yang berperang dengan hamba Allah s.w.t yang bertajrid sebenarnya berperang dengan Allah s.w.t kerana hamba tersebut telah menyerahkan segala urusannya kepada Tuhannya dan Tuhan menghantarkan tentera-Nya yang tidak kelihatan bagi melindungi hamba-Nya yang bertajrid itu.

Seseorang hamba perlulah menerima dengan rela kedudukan yang Tuhan kurniakan kepadanya. Berserahlah kepada Allah s.w.t Yang Maha Mengerti dan Maha Mentadbir. Apa yang penting dilakukan bukanlah mengubah dengan serta merta bentuk kehidupan yang sedang dimiliki. Tumpuan awal hendaklah ditujukan kepada mengubah suasana hati walaupun suasana kehidupan belum berubah. Ketika masih dalam daerahasbab tidaklah wajar jika seseorang mencampakkan segala-galanya. Mulailah dengan kehidupan yang sedia ada tetapi dengan suasana hati yang berbeza. Hati hendaklah dipaksakan supaya sentiasa mengingati Allah s.w.t, ada hubungan dengan-Nya. Segala sesuatu dan segala perkara hendaklah dilihat sebagai ada pertalian dengan urusan dan pentadbiran Tuhan. Tidak ada sesuatu yang bebas bergerak sendiri tanpa tadbir Ilahi.

Beriman kepada Qadak dan Qadar memainkan peranan yang penting dalam tarekat kehidupan harian. Qadak dan Qadar adalah urusan Tuhan. Apa sahaja yang dinisbahkan sebagai urusan Tuhan walaupun boleh dijelaskan melalui bakat dan nilai yang ada dengan manusia tetapi maksud yang sebenar melampaui penjelasan tersebut. Beriman kepada Qadak dan Qadar mengandungi penyerahan tanpa takwil terhadap apa yang tidak mampu dihuraikan secara terperinci melalui kekuatan akal, logik dan dalil. Walau bagaimana pun bolehlah dikatakan Qadak dan Qadar adalah suasana Ilmu Tuhan mengenai segala perkara yang Dia berkehendak menciptakan. Suasana dalam Ilmu Tuhan adalah awalnya itulah akhirnya dan zahirnya itulah batinnya, tidak ada perpisahan. Penciptaan manusia pertama dengan penciptaan manusia terakhir tidak ada jarak masa, ruang dan zaman dalam Ilmu Tuhan, tetapi perkara tersebut ada pada penciptaan yang nyata atau makhluk. Oleh sebab itu Tuhan mengetahui hal-ehwal manusia pertama dan terakhir sekaligus. Tuhan mengetahui yang azali dan yang abadi sekaligus. Tidak ada sesuatu yang melindungi sesuatu yang lain pada pengetahuan Tuhan. Tuhan mengetahui roh seseorang dan pada masa yang sama juga Dia mengetahui jasadnya. Tidak akan berlaku keadaan Tuhan tersalah meletakkan roh kepada jasad yang bukan untuknya. Roh adalah urusan Tuhan. Segala maklumat yang berhubung dengan penciptaan sesuatu makhluk itu telah disimpankan pada roh urusan-Nya itu. Roh urusan-Nya akan bergerak menurut ketentuan yang Tuhan letakkan padanya dan ia mengheret yang di bawah jagaannya menurut ketentuan yang sama. Dengan cara yang demikian apa yang Tuhan telah tentukan pada Ilmu-Nya berlaku dalam alam makhluk.

Qadak dan Qadar memperkenalkan Kudrat, Iradat dan Ilmu Tuhan yang menguruskan segala perkara mengenai makhluk seperti penciptaan, keutuhan sebagai ciptaan yang mampu mengeluarkan kesan dan ciptaan itu menjadi asas kepada kewujudan di dunia dan di akhirat. Medan takdir menjadi cermin yang padanya manusia dapat melihat sesuatu mengenai Tuhan dan melaluinya manusia mengenal Tuhan. Beriman kepada Qadak dan Qadar mempereratkan hubungan hamba dengan Hadrat Tuhan yang “Dia beserta kamu walau di mana kamu berada”; ” Ke mana kamu hadapkan muka kamu di sana ada Wajah Tuhan (perihal tentang Tuhan”; “Tidak ada daya dan upaya melainkan beserta Allah”. Tanpa iman kepada Qadak dan Qadar tidak boleh wujud hubungan yang erat di antara hati hamba dengan Tuhan.

Beriman kepada Qadak dan Qadar juga membuatkan manusia mengakui keberkesanan bakat-bakat yang Tuhan kurniakan kepadanya menyertai penciptaannya. Pengakuan tersebut membuat manusia menghargai bakat-bakat kurniaan Tuhan itu dan menggunakannya menurut peraturan Tuhan demi mencari keredaan-Nya. Beriman kepada Qadak dan Qadar cara begini membuat manusia melihat bakat-bakat dirinya sebagai alat yang Tuhan amanahkan kepadanya untuk dijaga dan digunakan sebaik mungkin. Alat-alat tersebut akan diserahkan kembali kepada Tuhan, Pemilik sebenar yang akan memerikasanya.

Dalam perjalanan takdir seseorang manusia, muncul kehendak diri kepada sesuatu. Bakat-bakat diri digerakkan bagi mendapatkan apa yang dikehendaki itu. Biasa terjadi kekuatan bakat diri tidak mampu mendapatkan apa yang diingini. Kejadian seperti ini menambahkan kesedaran manusia kepada Pemilik sebenar yang berkuasa mengatasi hak yang ada pada pengguna. Dengan demikian pengguna akan rasa bersyukur dalam menggunakan alat yang dipinjamkan kepadanya dan dia juga sentiasa ingat kepada Pemilik sebenar, berhajat kepada-Nya dan tunduk kepada keputusan-Nya yang Mutlak. Manusia itu juga sedar bahawa Pemilik sebenar boleh mengambil balik apa yang dipinjamkan-Nya kepada hamba-Nya, pada bila-bila masa yang Dia kehendaki dan tiada siapa dapat menghalang-Nya.

Terjemahan kepada suasana beriman kepada Qadak dan Qadar bergantung kepada kedudukan seseorang. Orang yang didudukkan di dalam medan asbab perlu melihat kepada perjuangan, usaha, ikhtiar, doa dan sebagainya dalam melaksanakan tuntutan imannya itu. Orang yang berada dalam medan tajrid tidak melihat kepada perkara-perkara yang demikian. Mata hatinya tertutup daripada melihat kepada kekuatan dirinya dan bakatnya. Walaupun seseorang itu bermakam pada asbab atau tajrid, pasti ada sesuatu yang berlaku pada dirinya, ada perbuatan, perkataan dan lain-lain. Perkara yang berlaku pada ahli asbab adalah serupa dengan yang berlaku pada ahli tajrid. Misalkan, pada ahli asbab ada perbuatan memanjat pokok kerana mahu memetik buah kelapa. Pada ahli tajrid juga ada perbuatan yang serupa. Ahli asbab melihat perbuatan tersebut sebagai perbuatan dirinya. Dia menggunakan bakat-bakat yang lahir bersama kelahirannya. Ahli tajrid melihat perbuatan tersebut sebagai takdirnya. Takdir yang menggunakan bakat-bakat yang tersimpan pada dirinya. Oleh yang demikian, orang yang berada dalam medan asbab secara fikiran dan perasaannya, tidak seharusnya menggunakan hujah ahli tajrid untuk merombak kepercayaan kepada Qadak dan Qadar. Ahli tajrid pula tidak seharusnya menyalahkan huraian mengenai Qadak dan Qadar yang dibuat oleh ahli asbab dengan menggunakan fikiran dan perasaan asbab. Mengetahui kedudukan masing-masing boleh mengelakkan perbalahan yang tidak berkesudahan tentang Qadak dan Qadar.

Fitnah kehidupan harian lebih banyak mengenai ahli asbab daripada ahli tajrid. Orang tajrid dipertahankan oleh perasaan reda dengan apa juga takdir yang menimpanya. Ahli asbab pula perlu bertahan dengan kepercayaan kepada hari akhirat. Beriman kepada Akhirat menjadi benteng yang mempertahankan ahli asbab daripada jatuh ke dalam jurang kemusnahan, sama ada kemusnahan pada jiwa atau pada akidah apabila berhadapan dengan kegoncangan yang berlaku pada kehidupannya. Akhirat adalah pemisah di antara orang yang beriman dengan orang yang kafir. Di dalam dunia ini orang yang beriman boleh mengadakan ikhtiar sebagaimana yang dilakukan oleh orang kafir, tetapi sering terjadi usaha orang kafir lebih mendatangkan keuntungan. Orang yang beriman mesti meyakini bahawa pengadilan di dunia tidak muktamad. Banyak daripada balasan baik untuk orang yang beriman disimpan di akhirat, bukan kerana Tuhan berkira dengan orang yang beriman tetapi kerana balasan yang Tuhan sediakan itu tidak layak dimuatkan di dalam dunia. Dunia ini terlalu sempit untuk dimuatkan dengan balasan baik yang Tuhan sediakan untuk orang mukmin. Orang mukmin melakukan kebaikan dengan kekuatan rohani yang berunsur nur atau cahaya. Cahaya boleh meliputi ruang yang luas dan melintasi zaman. Cahaya daripada sebahagian bintang mengambil masa beratus tahun untuk sampai ke bumi dan ada pula bintang yang cahayanya tidak akan sampai ke bumi. Cahaya rohani manusia lebih latif daripada cahaya bintang. Nabi Ibrahim a.s yang mempunyai kekuatan rohani yang tinggi, berdoa kepada Tuhan agar Kaabatullah dikunjungi orang bagi mengerjakan haji. Kekuatan doa Nabi Ibrahim a.s yang timbul daripada rohani yang suci bersih itu menarik manusia berduyun-duyun ke Makkah, sehingga ke hari kiamat. Ruang yang ada dalam dunia ini tidak cukup memuatkan balasan kepada kebaikan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s yang hanyalah sepotong doa, belum dicampurkan dengan kebaikan-kebaikan yang lain. Ruang yang cukup luas bagi memuatkan balasan orang mukmin berada di akhirat. Oleh kerana orang mukmin perlu menunggu untuk mendapatkan balasannya maka Tuhan menggandakan balasan tersebut.

Keadaan orang kafir berbeza daripada orang mukmin. Orang kafir berbuat kebaikan bukan atas dasar beriman kepada Allah s.w.t. Oleh itu tidak ada balasan kebaikan bagi mereka di akhirat. Balasan kebaikan orang kafir diselesaikan di dunia ini juga. Sebab itulah usaha mereka yang sedikit mendapat pulangan yang banyak. Tuhan sentiasa memberi lebih banyak daripada apa yang mereka usahakan supaya mereka tidak ada hak lagi untuk membuat tuntutan di akhirat.

Allah s.w.t ciptakan manusia sebagai hamba-Nya dan untuk-Nya. Sebab itu hati hamba cenderung untuk kembali kepada-Nya. Dia telah sediakan jalan kembali kepada-Nya. Itulah jalan yang lurus. Orang yang mengikuti jalan yang lurus bertindak sesuai dengan tujuan dia diciptakan dan citarasanya yang asli. Apabila tujuan, tindakan dan citarasa bersepakat akan lahirlah kedamaian dalam hati. Kesejahteraan hati diperolehi di atas jalan yang lurus. Jika seseorang hamba lari dari jalan yang lurus hatinya akan memberontak. Akibatnya dia tidak akan merasakan kedamaian. Dia akan merasakan kekosongan di dalam jiwa. Rasa kekosongan itu menggerakkannya mencari tetapi dia sendiri tidak tahu apa yang dicarinya. Ketidak-pastian yang menguasainya membuatnya mencari menurut sangkaan. Sangkaan tidak menemukannya dengan yang sebenarnya dicari. Bila pencarian berlaku di luar daripada sempadan yang lurus yang ditemui hanyalah bayangan. Bayangan tidak membawa kebahagiaan yang sejati. Harta kekayaan, pangkat kebesaran dan lain-lain yang digunakan bagi mencari di luar daripada sempadan jalan yang lurus hanya memberi pulangan yang sia-sia. Hanya jalan yang lurus boleh membawa hamba kepada kebenaran yang dicari. Pada jalan yang lurus, harta dan pangkat akan mendatangkan keberkatan kepada dirinya dan memberi manfaat kepada makhluk Tuhan. Segala pemilikan menjadi alat bagi mendapatkan keredaan Allah s.w.t, berbakti kepada-Nya dan membantu makhluk-Nya. Bila tindakan dibuat sesuai dengan peraturan jalan yang lurus hati akan menjadi damai dan sejahtera. Tiada lagi pemberontakan dan tiada lagi kekosongan.

Suka, duka, senang, susah, bahagia, celaka dan semuanya ditanggung oleh hati kerana hati yang memerintah sekalian anggota dan hati yang membuat keputusan dan pilihan. Hati perlu diperkuatkan agar ia dapat membuat pilihan yang baik dan benar dan mengawal anggotanya daripada lari ke jalan yang tidak lurus. Kekuatan hati boleh dipertingkatkan dengan amalan zikir. Hati perlu dibenamkan ke dalam suasana zikir sebanyak mungkin. Kekuatan zikir hati menyata sebagai zikir anggota. Bila anggota sudah dikuasai oleh zikir ia tidak lagi keluar daripada jalan yang lurus.

Tarekat kehidupan harian perlu dilakukan dalam suasana hati yang mengingati Allah s.w.t iaitu zikir. Seseorang itu perlu berzikir ketika berjalan, memandu, memasak, berbaring dan pada semua keadaan. Kepenatan bekerja perlu direhatkan dengan zikir. Biar roh zikir menguasai semua aktiviti kehidupan. Berjalan ke bilik mesyuarat dengan zikir, bagi memperolehi keberkatan pada semua keputusan yang akan dibuat nanti. Menunggu kapal terbang sampai dengan berzikir, menaiki kapal terbang dengan zikir dan turun dari kapal terbang juga dengan zikir. Jika seseorang itu dicabut nyawanya maka dia ‘keluar’ bersama ingatan kepada Allah s.w.t.

Selain daripada melakukan zikir beserta kegiatan harian, zikir perlu juga dibuat secara khusus, terutamanya pada waktu malam, setelah segala kegiatan harian berakhir. Zikir secara khusus memudahkan zikir secara perbuatan dan perkataan dalam kehidupan harian.

Zikir mengubah suasana hati. Tarekat kehidupan harian mengubah kerohanian tanpa mengubah penghidupan harian. Orang masih boleh bekerja, menjaga isteri dan anak-anak serta berkhidmat kepada masyarakat. Bila tidak ada perubahan yang mendadak tidak ada pula kegoncangan yang mencabar iman. Dunia dan kehidupannya menjadi tarekat. Takwa (memelihara batasan yang ditentukan Tuhan) menjadi suluk. Perkataannya menjadi zikir, perbuatannya menjadi zikir dan perasaannya juga zikir. Roh amal bagi tarekat kehidupan harian adalah ikhlas. Apabila seseorang sudah berjaya mencapai makam ikhlas dalam menjalani kehidupannya dengan mematuhi perintah Tuhan, sesungguhnya dia sudah memperolehi nikmat yang sangat besar. Dia sudah berjaya mengikuti kehidupan Rasulullah s.a.w dan sahabat-sahabat baginda s.a.w.

 31. Tarekat Ujian Bala Bencana
Allah s.w.t memilih dari kalangan orang-orang yang beriman orang-orang yang tertentu bagi menjalankan sesuatu tugas menurut kehendak-Nya. Mereka yang akan diberi tugas khusus akan dibawa melalui latihan kerohanian yang disusun secara langsung oleh Tuhan. Melalui latihan tersebut mereka mengalami perubahan kerohanian sehingga rohani mereka menjadi cukup kuat untuk menanggung beban tugas yang diamanahkan oleh Tuhan.

Latihan kerohanian secara khusus biasanya melibatkan ujian bala bencana. Ujian ditujukan kepada jiwa dan jiwa yang menghadapi tekanan ujian biasanya akan mengadakan tindak balas bagi menghadapi tekanan tersebut. Tindak balas itu membuat jiwa menjadi kuat dan berkemampuan menghadapi keadaan yang kan ditemui semasa menjalankan tugas khusus nanti.

Al-Quran telah menceritakan dengan indah kesah hamba Allah s.w.t yang telah berjalan dalam tarekat ujian bala. Surah Yusuf, surah yang ke dua belas, menceritakan kesah suka duka Nabi Yusuf a.s. Ketika kecilnya beliau a.s didengki dan dikhianati oleh saudara-saudara sendiri. Yusuf a.s dicampakkan ke dalam perigi yang dalam. Beliau a.s terpaksa tinggal di dalam perigi tersebut beberapa lama sehinggalah satu kumpulan pengembara datang ke tempat itu. Yusuf a.s diselamatkan daripada perigi tetapi dijual pula sebagai hamba. Beliau a.s dibeli oleh seorang bangsawan Mesir.

Zaman remaja Yusuf a.s menemukan beliau a.s dengan fitnah kaum wanita. Keelokan paras rupa Yusuf a.s menyebabkan beliau a.s menjadi idaman setiap wanita yang memandang kepada beliau a.s, termasuklah isteri tuannya sendiri. Keremajaan tidak membuat Yusuf a.s hilang pedoman. Beliau a.s berjaya melepaskan diri daripada perangkap wanita bangsawan, isteri tuannya itu, tetapi sebagai natijah kepada keengganannya melayani keinginan wanita tersebut beliau a.s telah dianiaya dan dimasukkan ke dalam penjara. Yusuf a.s menerima semua ujian itu dengan hati yang reda.

Ujian bala bencana yang dihadapinya satu persatu itu telah mematangkan jiwa Yusuf a.s. Bila jiwa beliau a.s sudah cukup kuat, tarekat ujian bala pun berakhir. Datang pula tarekat kehidupan harian. Yusuf a.s dikeluarkan daripada penjara dan dilantik sebagai Perdana Menteri Mesir secara terhormat.

Kesah suka duka Yusuf a.s memberi pengajaran kepada orang yang beriman bahawa hidup ini bukan selalunya senang, selesa dan mudah. Tidak semua yang diidamkan boleh diperolehi dan tidak semua yang dirancangkan boleh terlaksana. Kadang-kadang seseorang itu perlu melalui penderitaan yang lama sebelum menemui kebahagiaan. Yusuf a.s telah menempuh semua peringkat penderitaan dengan hati yang sabar dan tabah, sentiasa bertenang tanpa berkeluh-kesah. Setelah tamat tempuh ujian datanglah peringkat mempraktikkan apa yang sudah dipelajari selama berada dalam kursus intensif dahulu.

Nabi Musa a.s juga melalui tarekat ujian bala sebelum diangkat menjadi Rasul. Musa a.s berasal daripada keturunan Bani Israil. Kaumnya ditindas oleh kaum Kibti yang berkuasa. Pemerintah Kibti adalah Firaun. Ketika kaumnya ditindas oleh kaum Kibti, Musa a.s hidup dengan aman di dalam istana Firaun, kerana beliau a.s adalah anak angkat Firaun. Kehidupan yang tidak berhadapan dengan cabaran, penderitaan dan kesusahan tidak mampu membuat Musa a.s layak menerima jawatan sebagai Rasul Allah. Oleh itu Musa a.s dibawa kepada tarekat ujian bala bagi memantapkan kerohanian beliau a.s. Musa a.s dengan tidak sengaja telah membunuh seorang Kibti. Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan kaum Kibti. Mereka berpakat untuk membunuh Musa a.s. Musa a.s terpaksa melarikan diri, meninggalkan negerinya dan kesenangan yang dinikmatinya. Beliau a. s terpaksa merantau dari satu tempat ke satu tempat sehingga beliau a.s sampai ke negeri Nabi Syuaib a.s. Beliau a.s tinggal bersama-sama Nabi Syuaib a.s dan bekerja sebagai pengembala kambing. Setelah beberapa tahun kemudian Musa a.s berkahwin dengan anak Nabi Syuaib a.s yang bernama Siti Safar.

Setelah berkahwin Musa a.s membawa isteri beliau a.s merantau. Semasa dalam perantauan itu Siti Safar yang sarat mengandung mengalami kesakitan. Ketika itu hari hujan. Musa a.s tidak dapat menghidupkan api untuk memanaskan isteri beliau a.s. Beliau a.s keluar mencari api. Beliau a.s melihat cahaya api dari kejauhan. Beliau a.s pergi ke sana. Sampai di sana bukan api yang beliau a.s temui. Musa a.s menemui destininya. Beliau a.s menyaksikan kenyataan Tuhan dan beliau a.s diangkat menjadi Rasul.

Sebagai pesuruh Allah s.w.t, Musa a.s menerima perintah yang sangat berat. Beliau a.s mesti kembali kepada kaum Bani Israil dan kaum Kibti, menyeru mereka supaya kembali kepada ajaran tauhid. Musa a.s mesti berhadapan semula dengan kaum yang masih lagi menyimpan dendam mahu membunuh beliau a.s. Perintah Allah s.w.t mesti dilaksanakan tanpa ragu-ragu dan dengan membuang segala kepentingan diri sendiri.

Tarekat ujian bala bermula daripada manusia yang pertama lagi. Adam a.s dan Hawa hidup senang lenang di dalam syurga. Kehidupan syurga adalah abadi. Di dalamnya tidak ada kematian, tidak ada penyakit, tidak ada susah, tidak ada panas, tidak ada lapar dan tidak ada apa sahaja yang tidak menyenangkan. Rupanya kehidupan syurgawi tidak cukup untuk memantapkan kerohanian seseorang manusia bagi mencapai makam pilihan Tuhan dan mampu menanggung tugas khusus yang Tuhan tentukan. Selama Adam a.s tinggal di dalam syurga beban sebagai khalifah di bumi tidak dipikulnya. Beliau a.s perlu menjalani perubahan bentuk kehidupan, untuk itu beliau a.s dihantar ke bumi, ke dalam dunia. Di bumi Adam a.s menjalani tarekat ujian bala. Beliau a.s mesti menjalani tarekat yang ada kematian, ada penyakit, ada kesusahan, ada panas, ada lapar ada berbagai-bagai perkara yang tidak menyenangkan. Tarekat ujian bala mengajar dan memperkenalkan apa yang tidak dialami dan dikenal di dalam syurga, dengan demikian pengalaman dan pengenalan Adam a.s menjadi sempurna. Baharulah Adam a.s layak memikul tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Mahkota khalifah itu hanya boleh dipakai oleh Adam a.s setelah beliau a.s menjalani tarekat ujian bala dan memasuki pintu taubat. Ujian bala bencana dan taubat adalah dua perkara yang sangat penting dan berkesan dalam menaikkan taraf kerohanian seseorang insan.

Umat manusia yang dari keturunan Adam a.s akan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan oleh bapa mereka itu. Bahang syurgawi dirasakan juga oleh keturunan beliau a.s. Syurga adalah kekal abadi dan manusia merasakan tempat mereka tinggal ini juga abadi. Semasa di dalam syurga Adam a.s sangat menginginkan kehidupan yang abadi dan itulah yang membuatnya boleh diperdayakan oleh iblis supaya memakan buah daripada pokok larangan yang kononnya boleh membuatkan Adam a.s menjadi abadi di dalam syurga. Keturunan Adam a.s juga akan mendekati pokok larangan di dalam dunia kerana menyangkakan ia akan membuat mereka hidup kekal di dalam dunia. Pokok larangan di dalam dunia itu adalah hawa nafsu. Orang yang merasai buah daripada pokok hawa nafsu akan merasakan dunia ini sebagai syurga yang kekal abadi. Timbullah keasyikan kepada dunia dan lalailah mereka di dalam arus keseronokan. Dalam kelekaan itulah mereka dijajah oleh iblis.

Ketika manusia sedang asyik di dalam kelekaan dan dikuasai oleh iblis itu, jatuhlah kemurkaan Allah s.w.t ke atas mereka. Hancurlah syurga dunia mereka. Lenyaplah khayalan mereka tentang keabadian dunia dan kelazatan hawa nafsu. Tahulah mereka bahawa hawa nafsu adalah pokok larangan yang membuat manusia lupakan amanat Allah s.w.t. Manusia yang telah menerima padah daripada pokok larangan itu akan menjadi menyesal. Mereka bertaubat bersungguh-sungguh kepada Tuhan. Bercucuranlah air mata mereka membasahi pipi, misai dan janggut. Sujudlah mereka ke Hadrat Ilahi Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang.

Taubat telah menjadikan Adam a.s sebagai manusia pilihan dan diberi kedudukan istimewa sebagai khalifah Allah di bumi. Taubat juga menjadikan keturunan Adam a.s sebagai manusia pilihan yang akan meneruskan tugas kekhalifahan di bumi. Manusia yang diheret kepada taubat adalah manusia istimewa yang dipilih oleh Allah s.w.t untuk mendapatkan rahmat dan kasih sayang-Nya.

Seseorang hamba yang akan memikul tugas kekhalifahan di bumi akan dipersiapkan melalui cara yang sesuai bagi memantapkan kerohaniannya. Ujian bala bencana merupakan satu bentuk latihan yang perlu bagi membentuk kewibawaan seseorang. Orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala dipisahkan daripada kesenangan dan punca yang menyenangkannya. Dia dikeluarkan daripada alam keasyikan dan kelalaian. Beban dunia yang sedang dipikulnya, seperti kebesaran, kemuliaan dan kekayaan dicabut daripadanya. Dia dijadikan miskin sesudah kaya, hina sesudah mulia dan kerdil sesudah berkedudukan tinggi. Hamba yang melalui tarekat kemiskinan ini akan menjadi sangat miskin sehingga dia hampir-hampir mengemis untuk mendapatkan keperluannya. Tuhan selamatkannya daripada menjadi pengemis. Dibukakan sedikit pintu rezeki untuknya. Bekerjalah dia sesuai dengan bidang rezeki yang dibukakan kepadanya. Bidang kerja peringkat ini berbeza daripada bidang kerja yang lalu. Kali ini medan rezeki yang boleh diterokainya sangat sempit, tidak memadai untuk dia menyelesaikan masalah kehidupan yang dihadapinya, hinggakan dia hampir-hampir meminjam. Bila dia sampai hampir kepada keadaan akan meminjam, Tuhan bukakan sedikit lagi bidang rezekinya. Selamatlah dia daripada keperluan meminjam.

Latihan melalui tarekat ujian bala sehingga ke peringkat ini sudah berjaya menghancurkan sebahagian besar daripada keegoan dirinya. Dia sudah sampai ke pintu mengemis dan meminjam. Tuhan selamatkannya daripada mengemis dan meminjam kerana masih ada lagi sisa-sisa ego diri yang menghalangnya untuk mengemis dan meminjam dengan rela. Ujian bala bencana kan terus menekan keegoan dirinya sehingga sisa-sisa itu juga terhapus. Dia memasuki peringkat latihan kerohanian yang lebih berat. Pada peringkat ini pintu rezekinya ditutup sama sekali sehingga tidak ada jalan langsung untuknya mencari rezeki. Pintu meminjam juga tertutup baginya. Tuhan menghalang tangan manusia daripada memberinya pinjaman. Hiduplah dia dalam keadaan yang sangat susah. Beban berat yang menekan jiwanya itu menyebabkan hatinya ‘pecah’. Peringkat ini merupakan peringkat peralihan kepada perkembangan kerohaniannya. Dirinya yang lama ‘digantikan’ dengan diri yang baharu. Hati yang telah ‘pecah’ itu ‘digantikan’ dengan hati yang baharu. Dalam suasana hati yang baharu inilah dia dapat merasakan sesuatu hubungan yang unik dengan alam ghaib. Dia merasakan seakan-akan petunjuk dan bimbingan ghaib mendatangi hatinya. Dia merasai kemunculan gerak hati yang datang dari daerah kesedaran yang dalam. Gerak hati yang demikian menguasai jiwanya. Dia bergerak dan melakukan sesuatu dengan ‘arahan’ atau cetusan rasa yang seni, yang kuat menguasai hatinya dan dia yakin dengan cetusan rasa tersebut. Cetusan rasa atau gerak hati itulah yang menjadi pembimbingnya. Pada tahap ini baharulah dikatakan dia benar-benar memasuki bidang kerohanian.

Dia memasuki latihan kerohanian peringkat selanjutnya. Dia menerima cetusan rasa, gerak hati atau ‘perintah dari dalam’ agar dia mendapatkan apa yang diperlukan dengan cara meminta kepada orang lain. Tuhan bukakan tangan orang ramai supaya memberi kepadanya. Jika dia meminta dia akan memperolehi apa yang diperlukannya dan jika dia enggan meminta dia tidak akan memperolehi apa-apa. Peringkat meminta-minta ini merupakan latihan menghancurkan keegoan tahap paling halus. Sisa-sisa ego diri terhapus daripada hatinya. Tidak ada apa-apa lagi baginya kecuali mematuhi cetusan rasa atau gerak hati yang dinisbahkan kepada ilham yang dihantar oleh Tuhan. Perbuatan meminta-minta kepada orang lain tidak sedikit pun membuatnya berasa aib. Apabila orang ramai memberi apa yang dia minta, bertambahlah keyakinannya bahawa gerak hatinya adalah benar. Akhirnya dia sampai kepada tahap kematangan jiwa tanpa ego diri. Jadi, latihan di atas tidak diperlukannya lagi.

Bentuk latihan kerohaniannya diubah daripada meminta kepada meminjam. Tuhan bukakan hati orang ramai yang berkemampuan untuk memberinya pinjaman, walaupun pada zahirnya kelihatan dia tidak akan mampu membayar pinjaman tersebut. Dalam peringkat meminta-minta dahulu dia melihat makhluk sebagai sumber rezekinya. Pada peringkat meminjam ini pula dia melihat rezekinya datang daripada Tuhan melalui makhluk. Walaupun tangan manusia menghulurkan bantuan kepadanya tetapi dia melihat ‘Tangan’ Tuhan yang sebenarnya memberi. Dia melalui proses latihan yang demikian beberapa lama. Kemudian bentuk latihan diubah lagi.

Dalam peringkat latihan kerohanian yang berikutnya dia tidak boleh lagi melihat makhluk sebagai sumber rezeki dan juga tidak boleh bergantung kepada Tuhan melalui makhluk. Dia dibawa kepada suasana mesti bergantung kepada Tuhan semata-mata, tiada perantaraan. Pada peringkat ini Tuhan putuskan hubungannya dengan makhluk. Orang-orang yang dahulunya tidak keberatan memberi apa sahaja yang dia meminta dan meminjam, kini terhalang berbuat demikian. Tangan makhluk tertahan daripada memberinya sesuatu jika dia meminta kepada mereka. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan secara langsung. Jika dia memerlukan sesuatu, dia hanya perlu menadah tangannya, memohon kepada Tuhan, pasti Tuhan akan hantarkan apa yang diperlukannya itu melalui cara yang Dia pilih. Latihan yang begini membuat hatinya bergantung kepada Tuhan sahaja, tidak lagi melihat keberkesanan makhluk.

Kemudian latihan yang dikenakan kepadanya diubah dalam bentuk lain pula. Dia hanya boleh meminta kepada Tuhan dengan hatinya, dengan berharap penuh kepada Tuhan, tanpa ucapan lisan, tanpa menadah tangan. Jika dia meminta dengan lisan atau menadah tangan dia tidak akan memperolehi apa yang diperlukannya. Jika dia meletakkan harapan kepada Tuhan di dalam hatinya Tuhan akan memberi. Latihan begini menambahkan kesedaran dan penghayatannya bahawa Tuhan mengetahui yang zahir dan yang batin, yang diucapkan dengan lidah dan yang dibisikkan oleh hati, yang meminta dan yang mengharap. Bertambahlah pengenalannya tentang Tuhan.

Apabila dia sudah mengenali Tuhan secara demikian, dia dibawa kepada suasana latihan yang lain pula. Pada peringkat ini dia tidak boleh meminta apa-apa, baik secara lisan atau pengharapan dalam hati. Dia tidak boleh lagi berdoa atau menyampaikan hajatnya kepada Tuhan. Jika dia meminta atau berharap, apa yang diminta dan diharapkan itu tidak akan diperolehinya. Dia hanya boleh menyerah sepenuhnya kepada Tuhan. Terserah kepada-Nya mahu memberi atau tidak dan apa yang mahu diberi-Nya. Dalam suasana yang demikian dia dapati Tuhan tetap memberikan keperluannya walaupun dia tidak meminta dan mengharap. Tuhan tetap memeliharanya dan memberikannya apa yang patut. Pada peringkat ini dia mengenali Tuhan al-Karim yang memberi apabila diminta, memberi tanpa diminta, memberi hanya dengan hamba berhajat sahaja, memberi menurut keperluan hamba tanpa hamba meminta atau berharap, memberi yang lebih baik daripada apa yang hamba minta atau harapkan, memberi pada waktu yang sesuai hamba menerimanya dan memberi tanpa had, tanpa terpengaruh kepada permintaan, harapan atau kehendak sesiapa pun. Allah s.w.t adalah Tuhan yang berbuat apa yang Dia kehendaki. Pada tahap ini tidak ada lagi kehendak dan hawa nafsu yang mengingkari Tuhan pada si hamba itu. Inilah peringkat kewalian umum. Peringkat seterusnya bergantung kepada tugas khusus yang akan dipikul oleh hamba yang mencapai kewalian umum itu. Dari kalangan wali-wali yang umum itulah dipilih dan diberi latihan yang lebih khusus untuk menjalankan sesuatu tugas yang Tuhan kehendaki bagi manfaat makhluk-Nya.

Latihan kerohanian yang disusun oleh Tuhan secara langsung atau yang diistilahkan sebagai tarekat ujian bala memberi kesan yang lebih mendalam dan lebih cepat dalam mempertingkatkan kekuatan rohani, berbanding dengan latihan secara suluk dan lain-lain. Para sahabat Rasulullah s.a.w yang melalui tarekat ujian bala tidak perlu memasuki tarekat yang ada suluk atau khalwat, tetapi mereka merupakan golongan yang paling teratas dalam senarai wali-wali Allah s.w.t. Latihan secara bersuluk dan berzikir adalah jalan biasa, sementara pembentukan kerohanian secara ujian bala bencana adalah jalan pintas yang cepat menyampaikan kepada matlamat. Ahli ibadat dan ahli zikir mungkin mengambil masa dua tahun untuk mencapai tahap kerohanian yang dicapai oleh ahli bala dalam masa dua bulan.

Istilah ujian membawa maksud yang sangat luas. Ujian boleh ditakrifkan sebagai rangsangan atau pengaruh alam benda kepada rohani manusia. Alam benda pada hakikatnya tidak mempunyai sebarang kekuasaan dan kekuatan, tetapi percantumannya dengan alam rohani menyebabkan alam benda mampu mengeluarkan kesan dan pengaruh. Kesan dan pengaruh alam benda itu tertuju kepada rohani, iaitu menarik rohani agar melupakan kedudukannya yang asli yang hanya tahu bertauhid. Maksud ujian yang sebenarnya adalah ujian kepada pegangan tauhid. Rohani yang berpegang kepada tauhid diuji apakah alam benda akan membuatnya melakukan syirik. Dalam segi ini bolehlah dikatakan kewujudan alam benda hanyalah daya yang merangsang untuk menguji rohani. Ujian tersebut menjadi dalil sama ada rohani mampu bertahan dalam tauhid dan sampai kepada kedudukannya sebagai amr Tuhan atau pun jatuh ke dalam lembah syirik. Rohani yang dapat bertahan menerima ujian alam benda akan mengasihi Tuhan dan merindui-Nya. Rohani yang tewas di dalam ujian itu akan memanjai syahwatnya dan meletakkan sepenuh perhatian kepada alam benda.

Tujuan latihan kerohanian sama ada dengan cara berzikir atau ujian bala bencana adalah untuk mengeluarkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t daripada hati. Hati hanya layak diisi dengan Allah s.w.t, kecintaan kepada-Nya dan ketaatan kepada-Nya, sementara yang selain-Nya hanya layak duduk di pinggiran sahaja. Bagi mencapai tahap ini diperlukan kesabaran. Kesabaran merupakan sumber kepada segala kebaikan dan melaluinya orang yang beriman dapat meningkat kepada taraf menyerah diri dengan sepenuh kerelaan kepada Tuhan. Daripada makam sabar orang mukmin melompat ke makam reda. Ketika di dalam makam kesabaran ada perjuangan menentang yang batal. Bila sudah sampai kepada makam reda perjuangan tidak ada lagi kerana yang batal sudah hancur. Tipu daya syaitan, rangsangan hawa nafsu dan tarikan dunia tidak ada kuasa terhadap orang yang reda sepenuhnya dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t. Hati yang demikian dinamakan hati yang bertauhid.

Pada peringkat permulaan menerima ujian daripada Tuhan si hamba banyak berdoa memohon Tuhan mengangkatkan kesusahannya dan memberikannya kesenangan. Tuhan tidak menerima rayuannya dan dia dibiarkan berterusan di dalam kesusahan. Dia menghadapi perjuangan batin yang hebat. Senjatanya adalah sabar. Dia bersabar dan terus bersabar sambil meletakkan harapan kepada Tuhan. Setelah beberapa lama, kesusahan dan masalah yang dihadapinya tidak juga terangkat daripada bahunya, mulalah berubah pandangannya. Dia mula menilai kembali apa yang menyusahkan dan menjadi masalahnya itu. Penilaian semula membuatnya melihat bahawa perkara yang dianggap sebagai kesusahan dan masalah itu sebenarnya bukanlah perkara besar yang perlu ditakuti untuk bertembung dengannya. Kesusahan dan masalah itu timbul daripada keinginannya terhadap sesuatu dan yang diingininya itu bukanlah sesuatu yang berharga, terutamanya pada sisi Tuhan dan pada kehidupan akhirat. Dia menyedari bahawa dia hanya mengejar sesuatu yang tidak berharga, yang diingini oleh hawa nafsunya, dan dia lari daripada sesuatu yang sangat berfaedah. Berubahlah keadaan hatinya dan hilanglah keinginannya kepada apa yang dia mahukan selama ini. Bila dia dapat mengalahkan keinginannya maka menanglah rohaninya. Rohani mula celik dan melihat kepada perjalanan takdir Tuhan, tidak lagi melihat kepada kekuatan makhluk yang bergerak di dalam arus takdir. Dia melihat bahawa segala perkara berada di dalam genggaman Tuhan. Tidak ada sesiapa yang berkuasa mendatangkan kebaikan dan kemudaratan kecuali dengan izin Allah s.w.t. Fanalah dia dalam lautan takdir.

Kefanaan di dalam lautan takdir memperlihatkan aspek ketuhanan pada segala kejadian. Dia melihat Tuhan yang mentadbir dan mengurus. Jika dia memperolehi sesuatu pengetahuan dia merasakan Tuhan yang mendatangkan pengetahuan itu kepadanya. Keadaan ini membuatnya merasakan seolah-olah Tuhan bertutur-kata dengannya. Bertambahlah keseronokannya mengenang Tuhan dan bertambahlah keinginannya mahu menghampiri Tuhan. Orang yang berada pada peringkat ini tidak berminat lagi untuk mendampingi makhluk Tuhan. Dia lebih suka bersendirian sambil mendengar ‘tutur-kata’ Tuhan. Fikirannya telah bebas daripada urusan orang ramai dan dunia seluruhnya. Dia juga telah membuang usaha dan ikhtiar untuk mendapatkan sesuatu. Dia tidak lagi menggunakan cara keduniaan untuk mendapatkan sesuatu faedah atau menghindarkan sesuatu bahaya. Dia bergantung dan menyerah bulat kepada Tuhan. Ini menandakan dia sudah berjaya menundukkan hawa nafsunya. Apabila dia maju ke hadapan lagi dia sampai kepada suasana tidak mempunyai sebarang matlamat dan tujuan, baik berupa keduniaan atau pun keakhiratan. Maksud dan tujuannya hanya satu, iaitu Allah s.w.t. Ini menandakan dia tidak lagi dikuasai oleh sebarang kehendak dan keinginan. Pada tahap ini apa yang muncul daripadanya terjadi secara spontan, tanpa berfikir atau merancang dan pada masa yang sama dia merasakan kedamaian dan kelazatan berhubungan dengan Allah s.w.t.

Apabila hawa nafsu, kehendak diri dan segala sesuatu telah hancur dari hatinya, maka hati itu menjadi sesuai untuk diisi dengan kehendak Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikannya insan baharu yang dilengkapi dengan kehendak dan tenaga yang baharu. Kehendaknya sesuai dengan kehendak Allah s.w.t dan tenaganya bergantung kepada kekuasaan Allah s.w.t. Allah s.w.t akan memeliharanya agar sisa-sisa nafsu dan kehendak diri tidak kembali menguasainya. Apabila sisa-sisa nafsu dan kehendak diri cuba muncul, Allah s.w.t akan menghancurkannya sehingga selamatlah hamba itu berada di dalam suasana yang baharu. Bila hamba telah sesuai dengan Allah s.w.t, perintah-Nya, peraturan-Nya dan kehendak-Nya, maka seluruh alam akan tunduk kepada hamba Allah itu. Bila hamba menetap di dalam menjaga agar tidak terjerumus ke dalam yang haram, maka apa sahaja yang haram akan lari daripadanya walau di mana dia berada. Begitulah keadaan wali Allah (hamba yang dipelihara dan dilindungi oleh Allah s.w.t).

Di dalam tarekat ujian bala si hamba bukan sahaja menjadi sasaran anak panah bala, malah kadang-kadang dia juga menjadi busur panah yang menghantar bala kepada orang lain, seperti peranan tanah, air, api dan angin yang menyampaikan bala kepada makhluk Tuhan. Bila Tuhan perintahkan air menghanyutkan apa sahaja, api membakar apa sahaja, angin menerbangkan apa sahaja dan tanah menimbuskan apa sahaja tanpa kasihan belas atau timbang rasa dan tidak ada ragu-ragu. Suami dipisahkan daripada isteri. Anak-anak dipisahkan daripada ibu bapa. Pemilik dipisahkan daripada harta miliknya. Tanaman dipisahkan daripada peladang. Ternakan dipisahkan daripada penternak. Hamba Tuhan iaitu manusia, juga sering berfungsi sebagai alat yang menyampaikan bala kepada orang lain. Khaidir a.s diperintahkan menebuk kapal dan membunuh kanak-kanak yang masih kecil. Ibrahim a.s diperintahkan menyembelihkan anaknya sendiri. Manusia lain juga biasa mendatangkan kesusahan kepada orang lain. Ada orang yang terlanggar orang lain dan menyebabkan kematiannya, meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa tempat bergantung. Ada pula orang yang tertembak rakan sendiri semasa berburu. Ada juga kejadian seorang yang membawa anak jirannya bermain di pantai dan si anak tersebut mati lemas. Menjadi alat yang menyampaikan bala kepada orang lain lebih berat daripada menjadi sasaran bala, tetapi bila Tuhan kehendaki, perkara yang demikian tetap juga berlaku. Bila hamba reda menerima ujian bala dari Tuhan dan reda juga menjadi alat menyampaikan bala maka Allah s.w.t pun reda kepadanya:

Wahai nafsu muthmainnah! Kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan reda (dan) diredai. Iaitu masuklah ke dalam (golongan) hamba-hamba-Ku. Dan masuklah ke dalam syurga-Ku. (Ayat 27 – 30 : Surah al-Fajr )

Hamba pilihan Tuhan dibawa kepada sesuatu matlamat yang khusus untuknya. Jika muncul di dalam hatinya sesuatu yang boleh mengubah haluannya menuju matlamat yang ditetapkan oleh Allah s.w.t, akan didatangkan ujian kepadanya agar kecenderungan yang cuba memesungkannya itu segera hilang dan dia kembali kepada haluan yang betul. Demikianlah hamba pilihan itu dijaga agar hatinya tidak terpengaruh dengan apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Melalui proses yang demikian hatinya menjadi bersih dan langkahnya akan sentiasa berada di atas jalan yang lurus. Kesabarannya menghadapi ujian menjadi bertambah kuat. Bila Allah s.w.t reda dengannya, Dia akan menjaganya dan menyelamatkannya daripada kejahatan makhluk-Nya. Hati hamba itu menjadi kuat dalam mengawal anggotanya. Darjat takwanya bertambah dan tenteramlah dia di sisi Tuhan Yang Maha Perkasa.

Orang mukmin pilihan melalui dua peringkat kehidupan. Dalam peringkat pertama dia hidup dalam kesejahteraan, keberkatan dan menerima nikmat yang tidak terhingga. Perjalanannya sesuai dengan peraturan Tuhan. Rumah tangganya aman damai. Pekerjaan yang dibuatnya mendatangkan keberkatan. Doanya sangat makbul. Dia memperolehi ilmu yang halus-halus dan diberi pula kesempatan untuk menyaksikan perkara ghaib. Hiduplah dia dalam kedamaian, kesejahteraan, tidak diganggu oleh apa-apa pun. Kehidupan yang demikian menetap padanya beberapa lama sehingga dia menyangkakan itulah penetapan dan makamnya.

Kemudian datanglah peringkat kehidupannya yang kedua. Secara tiba-tiba sahaja Tuhan melontarkan batu-batu ujian kepadanya. Dia ditimpa oleh bala yang datang berturut-turut dan dari berbagai-bagai jurusan. Dia tidak berupaya menahan apa yang datang itu. Seluruh kehidupannya dibolak-balikkan oleh gelombang ujian. Dia menghadapi kesusahan dan penderitaan yang amat sangat. Perubahan yang berlaku secara mendadak itu membuatkan orang mukmin tadi tercengang-cengang, tidak mengerti. Dia kehilangan segala yang berharga. Orang-orang yang segolongan dengannya terpisah daripadanya tanpa sesuatu sebab yang kukuh. Dia tidak dapat mencari penjelasan. Jika datang sesuatu alamat atau mimpi dia tidak mampu menghuraikannya. Dia kehilangan pedoman untuk memahami sesuatu perkara yang sampai kepadanya. Bila dia membuat sesuatu janji dia tidak pasti apakah dia dapat melaksanakan janji tersebut. Bila dia berdoa tidak ada tanda-tanda yang doanya akan dimakbulkan. Bila dia cuba merenung ke dalam lubuk hatinya untuk mencari sesuatu keterangan, dilihatnya hatinya dibungkus oleh kejahilan. Apa juga cara yang digunakannya hanya kekecewaan yang ditemuinya. Hanya nasib malang yang menyata pada penglihatannya. Dia ditinggalkan dalam keadaan demikian beberapa lama. Dalam keadaan yang sudah sangat berat itu kadang-kadang kesusahan dan penderitaan ditambah lagi ke atas bahunya. Hatinya digoncangkan dengan sesungguhnya. Masuklah dia ke dalam ruang di mana semua pintu tertutup dan semua langkah terikat. Pada masa itu hatinya akan menjadi kosong. Tidak ada apa-apa lagi yang tinggal dalam hatinya. Tabiat dan sifat kemanusiaannya hilang terus. Kesedarannya terhadap dirinya tidak ada lagi. Dia tidak memperdulikan lagi kesusahan dan penderitaan yang menimpanya. Tatkala itu dia hanya mempunyai kesedaran rohani semata-mata.

Ujian yang datang dengan hebatnya secara bertimpa-timpa telah menghancurkan dirinya yang mempunyai kehendak dan nafsu, yang sebelum itu datang dan pergi bersilih ganti Setiap kali diri yang hilang itu kembali ia menggerakkan sisa-sisa nafsu dan kehendaknya yang masih tinggal. Ujian yang datang dengan hebat itu telah benar-benar menghapuskan sisa-sisa nafsu, keinginan dan syahwatnya. Baharulah dia benar-benar mencapai tahap yang suci murni iaitu kesucian roh sebelum berkait dengan jasad. Baharulah dia benar-benar masuk ke dalam makam penetapan yang tidak akan berubah lagi. Bebaslah hatinya daripada lintasan dan rangsangan. Pancainderanya tidak ada kekuatan lagi untuk melakukan maksiat. Dia adalah umpama malaikat suci yang dipelihara daripada dosa dan noda. Allah s.w.t pun membuka pintu rahmat dan keredaan-Nya. Hatinya dipenuhi oleh cahaya iman dan ilmu. Dia dikembalikan kepada kedudukannya yang mulia. Keberkatan dan kesejahteraan hidup dikurniakan semula kepadanya. Dia menjadi tumpuan orang ramai. Mereka bersedia untuk berkhidmat kepadanya. Manusia dari berbagai-bagai lapisan mengunjungi dan memuliakannya. Dia dipelihara secara zahir melalui makhluk tetapi pada hakikatnya melalui kasih sayang dan rahmat Allah s.w.t. Bila dia sudah sampai kepada makam penetapan keadaan yang ada dengannya berkekalan sehingga dia meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya.

Orang yang sedang dilatih pada jalan kerohanian akan mengalami ujian yang mengubah suasana hatinya. Perkara biasa jika doa mereka menjadi tidak makbul sesudah makbul, perkataannya tidak terlaksana sesudah ia mudah menjadi kenyataan. Ada orang yang diberi kebolehan untuk mengubati penyakit. Apa sahaja penyakit yang diubatinya akan sembuh. Kemudian keadaan berubah. Apa sahaja penyakit yang diubatinya tidak akan sembuh. Sesudah itu dia masuk kepada suasana di mana kadang-kadang sembuh dan kadang-kadang tidak sembuh, ada doanya yang makbul dan ada yang tidak makbul, ada firasatnya yang menyata dan ada yang tidak. Latihan yang demikian perlu bagi meyakinkannya bahawa dia tidak akan terlepas daripada pergantungan dengan Allah s.w.t walau dia berada pada makam mana sekali pun. Timbullah keyakinannya bahawa pada setiap makam kerohanian mesti ada pengharapan dan ketakutan kepada Allah s.w.t. Hamba Allah yang dijaga akan ditetapkan untuk menyaksikan kehambaannya pada setiap masa, pada semua makam. Sesiapa yang inginkan kejayaan pada jalan kerohanian dan mencapai ketetapan, hendaklah melazimi kehambaan sepanjang masa dengan sebenar-benar kehambaan pada segala keadaan dan makam.

Orang yang belum mencapai makam penetapan perlu berwaspada dengan dirinya sendiri. Dirinya yang menjadi sumber kepada nafsu dan berbagai-bagai keinginan akan kembali kepadanya dan meninggalkannya beberapa kali. Setiap kali ia datang ia akan cuba mengheretnya kepada apa yang telah ditinggalkannya sebelum tenggelam ke dalam lautan kerohanian dahulu. Ketika ia muncul seketika itu, timbullah keinginannya kepada harta, perempuan dan kedudukan yang pernah dimiliki dan dikasihinya dahulu. Nafsunya meminta dipuaskan dan keinginannya meminta dipenuhi. Nafsu dan keinginannya meminta dia kembali kepada alam yang telah ditinggalkannya. Oleh yang demikian, berhati-hatilah dengan diri sendiri. Jihad terhadap diri perlu dilakukan secara berterusan. Jangan terpedaya dengan helah hawa nafsu dan keinginan yang banyak muslihatnya. Berjihadlah sehingga ia tidak kembali lagi buat selama-lamanya. Baharulah diri itu bangkit semula sebagai insan baharu, bertenaga baharu, berpandangan baharu, mempunyai selera dan citarasa baharu, berwawasan baharu dan segala-galanya pada dirinya adalah baharu yang melayakkannya bergelar hamba Tuhan.

Orang yang sedang melakukan mujahadah perlu mendirikan benteng di sekeliling hatinya. Hati itu perlu dipelihara agar apa sahaja yang selain Allah s.w.t tidak dapat masuk ke dalamnya. Hati mesti dipertahankan dengan pedang tauhid. Apa sahaja yang mahu masuk ke dalam hati dan mencabar kedudukan Allah s.w.t mestilah dipancung dengan pedang tauhid sehingga bebaslah hati daripada yang selain Allah s.w.t. Hati hanya dipenuhi oleh kecintaan kepada Allah s.w.t, ketaatan kepada Allah s.w.t, penyembahan hanya untuk Allah s.w.t, pemujian hanya untuk Allah s.w.t dan tidak ada apa lagi yang mencabar kedudukan Allah s.w.t pada hatinya. Bila keadaan ini sudah sebati dalam hatinya Allah s.w.t memasukkannya ke dalam pemeliharaan-Nya (kewalian). Tugas mengawal hatinya diambil alih oleh tentera-tentera Allah s.w.t yang bertugas melindunginya secara berterusan dengan menggunakan pedang tauhid. Syaitan, hawa nafsu kebinatangan, pengaruh dunia dan makhluk yang merosakkan, angan-angan kosong dan apa sahaja yang tidak baik tidak berupaya lagi menawan hati hamba yang dipelihara oleh Allah s.w.t. Keberkatan, kekeramatan dan kemuliaan yang dikurniakan kepadanya tidak menggoncangkan hatinya. Isteri-isteri, anak-anak dan kaum keluarganya dijaga agar tidak menjadi fitnah kepadanya. Apa sahaja yang daripada dunia ditapis terlebih dahulu sebelum sampai kepadanya agar yang datang itu tetap bersih dan tidak membahayakannya. Beban yang ditanggungnya akan diangkatkan supaya tidak ada lagi penguasaan makhluk ke atasnya. Jadilah dia hamba yang merdeka daripada sekalian makhluk. Dia hanya memperhambakan dirinya kepada Tuhan. Dia masuk ke dalam penjagaan ar-Rahim yang mendakapnya dengan rahmat, kasih sayang dan keredaan-Nya. Penghidupannya adalah berenang dalam lautan takdir, bertindak secara spontan menurut firasat hatinya yang dipenuhi oleh nur suci.

Tanda seseorang itu telah sampai kepada makam takdir dan berada dalam ketetapan adalah Tuhan mengembalikan keinginannya (dalam keadaan terpelihara) dan dia diperintahkan supaya mengambil bahagiannya yang selama ini disimpan bagi keselamatannya. Bahagiannya itu ditahan buat sementara kerana dia masih di dalam perjalanan dan belum mencapai ketetapan. Tanpa ketetapan hati apa yang diingini boleh merosakkan hati itu sendiri. Bila dia sudah memperolehi ketetapan dia boleh menerima bahagiannya tanpa dicederakan oleh apa yang diterimanya itu. Apa yang diperuntukkan kepadanya hanya dia yang berhak mengambilnya. Tidak ada sesiapa yang dapat merebut haknya.

Allah s.w.t menetapkan keadaan hamba-Nya itu sebagai manusia biasa yang bertubuh badan dan hidup di dalam dunia supaya Dia dapat menyerahkan haknya yang Dia sebagai Pemegang amanah telah menyimpannya demi kebaikan si hamba itu sendiri. Bila hatinya sudah teguh dan kuat, tidak boleh digugat oleh apa yang diperuntukkan kepadanya, maka ia diserahkan kepadanya untuk dinikmatinya sebagai balasan terhadap perjuangannya menahan diri dan melawan hawa nafsu. Allah s.w.t bukakan pintu-pintu kebaikan supaya nyatalah kedudukannya pada sisi-Nya dan terbuktilah kebenaran janji-janji-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang bersungguh-sungguh dalam mentaati-Nya. Allah s.w.t bukakan keinginannya terhadap apa yang disediakan untuknya dan dia digerakkan supaya meminta yang demikian. Permintaannya pasti dimakbulkan kerana Allah s.w.t tidak mahu menyekat bahagian yang Dia telah tentukan untuk hamba-Nya, juga supaya terbukti kedudukan hamba itu, keredaan Allah s.w.t kepadanya dan keberkatan doanya. Itulah nikmat yang Allah s.w.t sediakan untuk hamba-hamba-Nya yang benar-benar ikhlas kepada-Nya, bersabar terhadap ujian-Nya dan reda dengan takdir-Nya, sekalipun panjang masa perjuangannya dia sentiasa mengawal diri agar tidak keluar daripada sempadan yang Dia tentukan dan melalui berbagai-bagai peringkat kerohanian sehinggalah mencapai makam penetapan dan pemeliharaan Allah s.w.t. Setelah melengkapi bulatan perjalanannya dia kembali kepada kedudukannya sebagai seorang individu untuk mengambil bahagiannya dalam kehidupan dunia ini sehingga berakhir hayatnya.

Tarekat ujian bala adalah sistem latihan kerohanian yang Allah s.w.t susun kepada hamba-hamba-Nya yang dipilih untuk melaksanakan kewajipan sebagai khalifah atau wakil-Nya di bumi, menyeru umat manusia supaya kembali kepada jalan-Nya. Mereka mengajar manusia supaya mengenal Tuhan, mentaati peraturan-Nya, memakmurkan bumi ini dengan kebaikan dan membasmi kemunkaran. Tuhan Yang Maha Mengasihi tidak berhenti menghantarkan wakil-wakil-Nya kepada umat manusia supaya orang yang benar-benar ikhlas mahu mencari-Nya akan menemui-Nya melalui bimbingan wakil-Nya.

32. Tarekat Orang majzub
Manusia pilihan kelas tertinggi adalah Nabi-nabi. Tuhan kurniakan kepada mereka kekuatan rohani yang luar biasa. Mereka mampu menempuh alam ghaib dan berhadap kepada Hadrat Ilahi tanpa berlaku kegoncangan kepada akal fikiran, kesedaran dan sifat-sifat kemanusiaan mereka. Mereka diperkenalkan dengan berbagai-bagai suasana ketuhanan (hakikat ketuhanan) dan mengalami berbagai-bagai perkara yang ganjil dalam keadaan jaga, tidak terbalik pandangan, tidak terlepas kehambaan dan tidak hilang kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya. Mereka tidak terdorong kepada suasana fana dan jazbah, tidak ada bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan berpisah dengan Tuhan. Nabi-nabi menghadap kepada Tuhan tanpa melupai makhluk. Mereka juga melayani makhluk tanpa lalai daripada Tuhan. Makhluk tidak melindungi Tuhan dan Tuhan tidak menghapuskan makhluk. Kedua-duanya berada dalam kesedaran nabi-nabi.

Manusia yang selain nabi-nabi akan menerima kesan yang kuat daripada pengalaman kerohanian yang dinisbahkan kepada suasana ketuhanan. Keadaan ini lebih kuat lagi berlaku kepada orang yang dibawa kepada tarekat ujian bala. Kegoncangan yang hebat oleh ujian bala menyebabkan hati mereka ‘pecah’. Akibatnya kesedaran kepada alam maujud dan diri sendiri hilang. Tabiat dan sifat kemanusiaan juga tertanggal. Kesan yang muncul daripada ‘pertembungan’ dengan suasana ketuhanan itu dinamakan jazbah dan orang yang mengalami jazbah dinamakan majzub.

Jazbah adalah hal yang dialami oleh hati berhubung dengan aspek ketuhanan yang tidak dapat dicapai oleh akal. Hijab diangkatkan dan mata hati mereka menyaksikan perkara ghaib dan kenyataan tentang Tuhan. Suasana jazbah itu berbeza bagi seorang dengan seorang yang lain. Secara umumnya orang yang mengalami jazbah atau ahli majzub boleh dibahagikan kepada empat jenis.

Majzub jenis pertama adalah orang yang dibawa oleh Tuhan kepada beberapa pengalaman kerohanian yang berkait dengan ketuhanan dan mencapai beberapa makam yang tinggi dalam tempuh yang singkat serta mereka mendapat keasyikan terhadap Allah s.w.t tanpa berguru dengan sesiapa dalam hidup mereka. Jazbah merombak keperibadian mereka secara menyeluruh. Mereka menjadi orang yang sangat berlainan daripada keadaan mereka sebelum kedatangan jazbah. Mereka tidak suka bergaul dengan orang ramai. Mereka lebih merasakan kedamaian dan kebahagiaan jika mereka bersendirian dalam keasyikan dengan Allah s.w.t. Apa yang berlaku di sekeliling mereka, baik atau buruk, tidak menarik minat mereka. Kegoncangan yang berlaku dalam masyarakat dan keluarga tidak mampu menarik mereka keluar daripada keasyikan mereka. Mereka hanya gilakan Allah s.w.t. Setiap detik mereka teringatkan Allah s.w.t sahaja. Mereka tidak suka mendengar cerita yang selain Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t dan yang mengenai Allah s.w.t sahaja yang dapat menembusi hati mereka. Bila mereka dikuasai oleh jazbah hilanglah kesedaran, fikiran, penglihatan, pendengaran dan pergerakan mereka. Orang majzub tidak sedarkan diri mereka dan alam maujud sekaliannya. Dalam keadaan demikian mereka mengalami berbagai-bagai hal atau pengalaman kerohanian. Mereka berpindah dari satu makam ke satu makam yang lain dengan cepat. Orang majzub seperti ini dikasihi oleh Allah s.w.t dan Dia melindungi mereka daripada orang jahil yang jahat perangai. Oleh kerana mereka sudah hilang kesedaran dan sifat kemanusiaan, maka hilang juga keupayaan mereka untuk membezakan yang baik daripada yang buruk. Majzub yang seperti ini tidak boleh dijadikan pembimbing orang ramai kerana adab sopan dan peraturan masyarakat tidak ada dalam kesedaran mereka.

Majzub jenis kedua, setelah dilenyapkan akal dan kesedaran seperti jenis pertama, mereka dikembalikan semula kepada kesedaran kemanusiaan sedikit demi sedikit. Mereka diturunkan dari satu makam kepada makam yang lain. Penurunan tersebut mengurangkan kesan jazbah sehingga akhirnya mereka sampai kepada penetapan dan kesedaran sepenuhnya. Ketika menaik kesedaran mereka terhadap yang selain Allah s.w.t hilang dengan cepat dan dalam keadaan demikian mereka ‘menemui’-Nya. Ketika penurunan kesedaran terhadap diri sendiri dan makhluk lainnya tidak kembali dengan cepat. Mereka mengambil masa yang agak lama sebelum kesan jazbah hilang sepenuhnya daripada kesedaran mereka. Ada sebahagian daripada mereka yang kesan jazbah tidak hilang sampai ke akhir hayat mereka. Bagi majzub kumpulan kedua ini jazbah berperanan sebagai ‘kuasa pemaksa’ yang mengheret mereka keluar daripada alam kelalaian dan memasukkan mereka ke jalan yang memperadabkan mereka dengan Tuhan. Rahmat Tuhan yang menarik mereka kembali kepada jalan yang lurus. Perubahan yang berlaku kepada mereka terjadi dengan pantas. Mungkin dalam masa kurang daripada dua bulan mereka sudah melalui semua stesen kerohanian dan mengalami hal ketuhanan yang mencukupi untuk mereka mengenal Tuhan secara hakiki. Setelah kembali kepada sifat kemanusiaan semula mereka meneruskan kehidupan menurut jalan kenabian, menurut Sunah Rasulullah s.a.w dan menjadikan kehidupan nabi-nabi dan wali-wali sebagai iktibar. Proses penurunan majzub jenis kedua ini merupakan pembalikan kepada proses menaik orang salik.

Majzub jenis ke tiga tidak hilang akal fikiran dan kesedaran mereka. Perubahan kerohanian berlaku dalam sedar dan jaga. Tidak ada perpisahan dengan sifat kemanusiaan, tidak ada fana dan bersatu dengan Tuhan. Mereka menetap dalam kehambaan, tidak terbalik pandangan, tidak mengalami mabuk dan tidak mengeluarkan ucapan latah yang menyalahi syariat. Orang yang di dalam kesedaran ini didatangkan jazbah kepada mereka sebagai kurniaan Tuhan untuk memperkenalkan mereka kepada Yang Hakiki kerana ilmu dan amal mereka tidak berupaya menyampaikan mereka kepada yang demikian. Kaum sufi umumnya berpendapat majzub yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan lebih baik daripada majzub yang mengalami kefanaan dan mabuk. Majzub yang di dalam kesedaran boleh menjauhkan diri mereka daripada perkara-perkara yang mendatangkan fitnah.

Majzub jenis ke empat adalah orang yang memasuki jalan suluk terlebih dahulu. Ketika bersuluk itulah akal fikiran dan kesedaran mereka dihapuskan. Majzub jenis ini mengenali alam terlebih dahulu sebelum mengenal Tuhan (mengalami hakikat ketuhanan). Bimbingan guru yang mursyid membuat perjalanan jazbah mereka teratur. Mereka meningkat dari satu makam kepada makam yang lain dengan bersistematik. Mereka melalui stesen-stesen kerohanian dengan bimbingan yang benar. Guru yang telah melalui semua stesen kerohanian, memperolehi makam-makam, mengetahui suasana kefanaan, kebaqaan dan Kebenaran Hakiki sesudah fana dan baqa, diperlukan bagi membimbing salik yang didatangi jazbah. Guru yang demikian dapat menyapu kekeliruan daripada mengelabui pandangan hati muridnya. Murid itu dapat maju ke matlamat terakhir dengan selamat dan teratur. Bimbingan guru membuat salik mengalami dan mengetahui pengalaman mereka. Pengenalan melalui pengalaman yang diterangi oleh pengetahuan mempercepatkan salik menjadi orang arif. Majzub jenis inilah dipersetujui oleh kaum sufi.

Majzub jenis pertama hidup terus menerus sebagai orang majzub, tidak kembali lagi kepada kehidupan manusia biasa. makrifat mereka berdasarkan pengalaman kerohanian mereka. Pengalaman mereka hanya untuk diri mereka sahaja, bukan untuk orang lain. Tanpa tajalli ilmu (terbuka pengetahuan tentang pengalaman yang dilalui) mereka tidak boleh dipanggil orang arif dan mereka tidak dibolehkan menjadi pembimbing orang ramai yang di dalam kesedaran biasa.

Majzub jenis ke dua melalui stesen-stesen kerohanian dan mencapai berbagai-bagai makam dalam tempuh yang singkat. Kumpulan ini biasanya memasuki jazbah tanpa persediaan dari segi ilmu dan juga mereka tidak mempunyai guru. Setelah mengalami jazbah mereka kembali kepada kesedaran biasa. Akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka dikembalikan. Mereka mendapati sukar untuk menghuraikan pengalaman kerohanian yang telah mereka lalui. Ketika di dalam zauk pengetahuan tidak penting, tetapi bila kembali sedar akal fikiran memerlukan kefahaman. Dari sini orang majzub yang kembali sedar itu digerakkan untuk menyelidik, mengambil iktibar dan bertanya kepada orang-orang yang arif. Keadaan mereka adalah umpama orang yang bermimpi pada malam hari dan termenung pada siangnya untuk mengingati apa yang dimimpikan dan apa pula maksud mimpi tersebut. Proses memahami dan menyusun perjalanan kerohanian jauh lebih lambat daripada proses pengalaman kerohanian itu sendiri. Pengalaman kerohanian yang dilalui dalam tempuh dua bulan mungkin mengambil masa lebih daripada lima tahun untuk memahaminya dengan jelas dan menyusunnya secara terperinci. Kelambatan proses ini juga disebabkan oleh kesan jazbah yang sukar hilang dari kesedaran seseorang. Kebenaran yang ditemui melalui akal fikiran akan berubah-ubah mengikut kadar kesan jazbah yang sudah hilang daripada mereka. Apabila mereka bebas sepenuhnya daripada kesan jazbah, mereka akan temui Kebenaran Hakiki yang sesuai dengan al-Quran dan as-Sunah. Walaupun mereka mengalami hakikat tetapi tanpa kematangan ilmu mengenai pengalaman tersebut, mereka tidak layak dipanggil orang arif. Ilmu mereka benar-benar matang setelah mereka kembali kepada al-Quran dan as-Sunah.

Majzub jenis ke tiga biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai bekalan ilmu yang mencukupi. Kumpulan ini memasuki jalan kerohanian secara berhati-hati dan diselubungi oleh keraguan. Mereka memerlukan masa untuk mengharmonikan pengalaman yang dilalui dengan pengetahuan yang sedia ada. Apa yang diketahui sebelum mendapat jazbah berbeza daripada apa yang diketahui sesudah mendapat jazbah. Kedua-dua pengetahuan yang kelihatan berbeza itu kemudiannya dapat dipastikan bahawa perbezaan berlaku pada sudut pandangan sedangkan kebenarannya tidak berbeza. Pengalaman mengsahkan apa yang sudah diketahui. Bila kedua-dua jenis pengetahuan itu bersepakat keraguan mereka pun hilang. Pengetahuan yang lahir daripada cantuman dua sudut itu meneguhkan keyakinan.

Majzub jenis ke empat memasuki bidang suluk terlebih dahulu. Ketika menjalani suluk itulah mereka memperolehi jazbah. Tempuh mendapatkan jazbah berbeza-beza di antara seorang salik dengan salik yang lain. Ada yang cepat dan ada yang lambat. Tidak kurang juga yang langsung tidak mendapat jazbah. Salik yang tidak mendapat jazbah atau lambat memperolehinya tidak seharusnya berasa kecewa. Jazbah bukanlah matlamat suluk. Kebaikan bagi orang yang menjalani jalan kerohanian adalah menjaga makam mereka. Jangan meminta makam yang lebih tinggi atau lebih rendah. Intisari bagi perjalanan kerohanian adalah kesabaran dalam menjalankan perintah Allah s.w.t dan kesabaran menanggung takdir-Nya. Salik hanya perlu menjaga takdir yang mereka berada di dalamnya. Sabar mengawal diri dan tidak bertelingkah dengan takdir merupakan kejayaan yang besar bagi salik, sekalipun mereka tidak mendapat jazbah. Teruskan tegak berdiri kerana Allah s.w.t, demi Wajah-Nya semata-mata bukan kerana sebarang keperluan. Salik jenis ini dibawa kepada ikhlas tanpa melalui jazbah. Ikhlas dan benar dengan Allah s.w.t merupakan matlamat perjalanan kerohanian, baik melalui jazbah atau secara sedar. Salik yang menetap dalam kesedaran beriman kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya dengan ikhlas. Mereka beriman kepada perkataan al-Quran dan Hadis dengan ikhlas tanpa memasuki bidang hakikat. Bagi salik yang mengalami jazbah pula berdampingan dengan guru menjadi syarat penting. Mereka perlu merujukkan kepada guru mereka semua pengalaman kerohanian yang mereka lalui semasa jaga mahupun secara mimpi. Salik jangan mudah membuat tafsiran sendiri mengenai sesuatu perkara.

Setiap orang majzub mempunyai jalannya sendiri yang berbeza dengan majzub yang lain. Masing-masing ditarik kepada jalannya oleh ‘kuasa ghaib’ yang diistilahkan sebagai Tarikan Rahmani (ketuhanan), Pembimbing Hakiki ataupun Perintah Batin. Orang majzub menerima Tarikan Rahmani tanpa mereka boleh menahannya. Tarikan tersebut membawa mereka kepada jalan khusus yang Tuhan sediakan untuk mereka. Tarikan tersebut juga mengarahkan mereka melakukan sesuatu perkara tanpa terikat dengan hukum logik. Tarikan yang langsung dari Tuhan itu juga memandu orang majzub sehingga selamat sampai kepada matlamat. Orang yang di dalam keadaan demikian sering mendapat peringatan dari dalam diri mereka sendiri. Peringatan yang demikian dinamakan Suara Hakiki. Jika timbul cita-cita mereka untuk berhenti tatkala terjadi kasyaf suara dari dalam diri mereka akan memberi peringatan: “Apa yang kamu cari masih jauh di hadapan. Oleh itu jangan berhenti!” Jika terbuka kepada mereka rahsia alam maya, mereka diperingatkan oleh hakikat alam maya: “Sesungguhnya kami adalah ujian, kerana itu janganlah kamu kufur!” Hamba yang dipimpin itu menafikan apa juga yang ditemui di sepanjang jalan. Apa yang mereka saksikan adalah gubahan Tuhan, hikmat kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal terhijab, tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun. Akhirnya hamba menemui kenyataan bahawa Dia yang sebenarnya mengenali Diri-Nya. Dia yang mencari, Dia yang dicari dan Dia yang menemui. Tidak ada sesiapa yang ikut campur dalam urusan-Nya.

Orang yang sedang dikuasai oleh Tarikan Rahmani akan kehilangan kekuatan akal fikiran dan kesedaran diri mereka. Pengaruh pancaindera dan alam sekeliling menjadi lemah kepada hati mereka. Rangsangan yang datang dari kehendak diri sendiri menjadi tumpul. Pada peringkat permulaan mengalami hal yang demikian, ketika akal fikiran, kesedaran dan kehendak diri masih mempunyai kekuatan, mereka tidak mengerti apakah yang sedang berlaku kepada diri mereka. Mereka merasakan kelainan tetapi tidak mengerti mengenainya. Walaupun begitu mereka terus juga berjalan menurut cetusan yang muncul dari dalam diri mereka. Setelah beberapa lama mereka mula menyedari kehadiran ‘kuasa ghaib’ yang menguasai mereka, memberi petunjuk dan bimbingan. Kelainan yang mereka alami mereka hubungkan dengan kehadiran kuasa ghaib tersebut. Mereka tidak tahu apakah hakikat kuasa ghaib itu tetapi mereka yakin bahawa ia adalah sesuatu yang suci dan berhubung rapat dengan pekerjaan Tuhan. Mereka yakin hanya dengan mengikuti petunjuk ghaib itu mereka dapat menghampiri Tuhan. Kehadiran kuasa ghaib tersebut dirasakan bertambah kuat dari masa ke masa. Ia membuat mereka berasa tenang dan mereka merasakan jalan menuju Tuhan semakin terang.

Penguasaan petunjuk ghaib ke atas diri mereka membawa mereka kepada peringkat di mana mereka menyaksikan kelakukan dan perbuatan muncul daripada diri mereka tanpa mereka berkehendak melakukannya, tanpa berfikir dan merancang dan juga tanpa menggunakan kekuatan diri sendiri. Segalanya berlaku secara spontan. Mereka tidak ikut campur dalam menghasilkan perbuatan diri mereka sendiri. Mereka hanya menyaksikan ‘kuasa ghaib’ menghasilkan kelakuan dan perbuatan diri mereka. Mereka tidak ada kehendak untuk membantah hal yang demikian, malah hal tersebut membuat mereka memerhatikan sesuatu tentang Tuhan. Apa yang berlaku secara spontan itu membukakan kefahaman mereka tentang Tuhan. Dalam keadaan yang demikian akal mereka menjadi umpama bekas yang dituangkan dengan kefahaman. Banyak perkara mengenai ketuhanan yang mereka tidak fahami sebelumnya ‘difahamkan’ pada peringkat ini. Hal yang demikian membuat hati mereka merasakan kewujudan hubungan di antara Tuhan dengan mereka. Jika kehendak kepada sesuatu yang lain menjadi lemah tetapi kehendak berjumpa dengan Tuhan menjadi kuat. Hati mereka sudah ada rasa kasihkan Tuhan. Mereka juga dapat merasakan kasihan belas Tuhan kepada mereka. Mereka mendapat penghayatan bahawa Tuhan tidak melupakan mereka, Tuhan sentiasa mengambil tahu tentang hal-ehwal mereka. Bertambahlah keseronokan mereka mengintai Tuhan.

Orang yang sedang diheret oleh petunjuk ghaib hilang minat kepada makhluk dan kehidupan dunia seluruhnya. Hati mereka hanya mencintai Allah s.w.t. Mereka menjadi hamba yang gilakan Allah s.w.t. Apa sahaja yang dipandang membalikkan sesuatu tentang Allah s.w.t. Dalam keasyikan mereka mengalami berbagai-bagai hakikat ketuhanan yang menambahkan pengenalan mereka tentang Tuhan. Puncak kecintaan hamba kepada Allah s.w.t adalah pengalaman Allah Maha Esa, tiada sesuatu beserta-Nya. Selepas pengalaman tersebut mereka memasuki suasana baqa dengan Allah s.w.t. Suasana kebaqaan membuat mereka merasakan yang mereka tidak berpisah dengan Allah s.w.t yang mereka cintai, walau di mana mereka berada dan apa juga yang mereka lakukan. Bila suasana demikian sudah menguasai hati mereka baharulah mereka boleh terima kehadiran makhluk kerana pada tahap ini kehadiran makhluk tidak lagi memisahkan mereka dengan Tuhan.

Perjalanan seterusnya membawa mereka kepada kesedaran mengenai tujuan mereka diciptakan. Kesedaran, akal fikiran dan sifat kemanusiaan mereka sudah dikembalikan. Mereka mula bergerak jauh daripada Tuhan tetapi dalam keadaan tidak berpisah. Bila kesedaran, fikiran dan sifat kemanusiaan mereka kembali sepenuhnya, mereka dapat melihat perbezaan di antara Tuhan dengan hamba. Mereka berpindah daripada suasana baqa kepada suasana kehambaan sepenuhnya. Mereka kembali kepada kewujudan diri sendiri dan menghabiskan sisa-sisa hidup mereka sebagai ahli syariat yang taat. Lengkaplah perjalanan kerohanian mereka. Pengalaman jazbah menjadi ingatan yang paling berharga bagi mereka kerana melalui pengalaman tersebut mereka berubah menjadi manusia baharu, mempunyai kehendak dan citarasa yang baharu. Jazbah telah menghancurkan ‘patung-patung’ dalam diri mereka yang mereka tidak berupaya menghancurkannya dengan kekuatan diri sendiri.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: