3 Hakiki

07. Jalan kesufian
Nabi Muhammad s.a.w adalah sebaik-baik penyampai, sebaik-baik pembimbing. Baginda s.a.w berkemampuan menyampaikan menurut tahap akal dan suasana kebatinan seseorang. Ahli falsafah mampu menerima pengajaran baginda s.a.w dan ahli kerohanian juga mampu menerimanya. Orang yang semata-mata bertaklid kepada baginda s.a.w juga mampu menerima pengajaran baginda s.a.w. Apa yang baginda s.a.w ajarkan akan terhunjam ke dalam akal fikiran dan hati nurani seseorang. Kalam yang keluar daripada mulut baginda s.a.w menanamkan pengertian pada akal dan penghayatan pada jiwa. Apabila baginda s.a.w mengajarkan ayat-ayat al-Quran, maksud yang sebenar dari ayat-ayat tersebut akan terpahat pada fikiran dan hati sahabat-sahabat baginda s.a.w. Walaupun baginda s.a.w menyampaikan melalui perkataan dan perbuatan tetapi baginda s.a.w juga mampu berkomunikasi secara langsung dengan akal dan hati nurani. Perbuatan dan perkataan baginda s.a.w bertindak sebagai kunci yang membuka tabir hijab yang menutupi akal dan hati. Mata akal dan mata hati menjadi celik apabila menerima sentuhan perkataan dan perbuatan baginda s.a.w. Para sahabat yang menerima pengajaran secara langsung daripada baginda s.a.w akan mengalami perubahan dengan mudah, sesuai dengan apa yang baginda s.a.w ajarkan. Sebaik sahaja baginda selesai membaca ayat yang mengharamkan arak maka pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w membuang tabiat meminum arak. Sebaik sahaja baginda s.a.w selesai menyampaikan perintah sembahyang fardu lima waktu sehari semalam, maka pada ketika itu juga para sahabat baginda s.a.w masuk ke dalam arus sembahyang fardu lima waktu sehari semalam. Apabila baginda s.a.w menyampaikan kewajipan berpuasa pada bulan Ramdhan, maka pada bulan Ramdhan tahun itu juga para sahabat baginda s.a.w melakukan fardu puasa. Apabila baginda s.a.w melantik wakil-wakil untuk menyampaikan surat-surat kepada semua penguasa umat manusia di sekitar Semenanjung Arab, maka dengan rela mereka menjalankan tugas tersebut tanpa menghiraukan mereka akan dibunuh atau tidak dalam melaksanakan tugas tersebut. Apabila baginda s.a.w membacakan ayat tentang Allah s.w.t, maka pada ketika itu juga para sahabat mengenal Allah s.w.t. Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w memancarkan nur yang menerangi akal dan hati manusia.

Kebolehan baginda s.a.w yang luar biasa menembusi akal dan hati manusia itu adalah kerana baginda s.a.w dilengkapkan dengan sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah. Baginda s.a.w membawa dan menyampaikan yang benar, tidak menyembunyikan, tidak mengubah kebenaran dan disampaikan dengan penuh kebijaksanaan. Apabila datang yang benar maka yang batal akan menyingkir. Cahaya kebenaran yang dipancarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w menghalau kegelapan yang menyelubungi akal dan hati. Kekuatan cahaya kebenaran yang mampu dipancarkan oleh seseorang pembimbing adalah bergantung kepada setakat mana kesempurnaan sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang dimilikinya. Sifat-sifat tersebut dimiliki oleh Nabi Muhammad s.a.w pada tahap kesempurnaan paling tinggi, paling kuat dan paling sempurna. Oleh yang demikian baginda s.a.w meninggalkan kesan yang paling maksima di dalam penyampaian baginda s.a.w. Baginda s.a.w mampu menyampaikan sesuatu perkara dengan menggunakan perkataan paling mudah dan paling ringkas tetapi memberi pengertian yang sangat luas dan kesan yang sangat mendalam kepada pendengarnya. Selama baginda s.a.w berdakwah 13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah, baginda s.a.w menyampaikan 6,666 ayat al-Quran dan kata-kata baginda s.a.w yang dikumpulkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal berjumlah 40,000, dengan kata-kata yang hanya sebanyak itu selama 23 tahun baginda s.a.w sudah menyampaikan dengan lengkap satu agama yang mencangkupi seluruh kehidupan dunia dan akhirat, yang mampu bertahan sehingga hari kiamat. Pekerjaan yang begitu besar dan bidang yang begitu luas baginda sempurnakan dengan tutur-kata yang sangat sedikit. Kemampuan Nabi Muhammad s.a.w itu tidak mungkin dapat dicabar oleh sesiapa pun, walau pada zaman mana sekalipun.

Nabi Muhammad s.a.w, mahaguru yang paling arif, pembimbing yang paling bijaksana, telah mengasuh satu kumpulan kaum Muslimin untuk memikul tugas berat membimbing umat manusia. Para pembimbing yang diasuh oleh Rasulullah s.a.w merupakan kumpulan pembimbing yang paling baik di kalangan yang melakukan tugas tersebut. Setelah Rasulullah s.a.w wafat, matahari yang mengeluarkan cahaya petunjuk mula condong, awan mendung mula berarak, muncullah bayang menghijab perjalanan. Semakin lama Rasulullah s.a.w meninggalkan dunia ini semakin kurang kesan dan pengaruh yang mampu dihasilkan oleh seseorang pembimbing. Orang ramai telah mengalami kesulitan di dalam mendapatkan bimbingan menuju kepada Yang Haq. Sifat-sifat siddik, amanah, tabligh dan fatanah yang ada dengan orang-orang yang seharusnya menjadi pembimbing sudah sangat berkurangan. Ilmu yang mereka sampai tidak lagi berkemampuan membuka pintu akal dan pintu hati. Dalam keadaan yang demikian orang yang benar-benar mencari Yang Haq hilang keyakinan kepada mereka yang memikul tugas sebagai pembimbing di dalam masyarakat. Pencari kebenaran, setelah gagal memperolehi yang di cari melalui ahli ilmu, telah kembali kepada fitrahnya sendiri. Orang yang kembali kepada fitrahnya melihat satu-satunya jalan yang memberi harapan kepadanya adalah memulakan perjalanan seperti yang dilakukan oleh Nabi Muhammad s.a.w ketika dunia diselubungi oleh kegelapan akidah dan akhlak dahulu. Orang ini memilih jalan bersendirian, berkhalwat di tempat yang tidak dikunjungi oleh manusia. Walaupun lari dari manusia tetapi orang fitrah itu membawa bersama-samanya pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu al-Quran dan as-Sunah. Di dalam suasana bersendirian itulah dia melakukan amalan yang diajarkan oleh al-Quran dan as-Sunah berhubung dengan bidang perhubungan hamba dengan Tuhan. Dalam suasana yang demikian, tidak ada perhubungan sesama manusia. Aspek ini ditinggalkan.

Jalan fitrah yang diterokai oleh kumpulan manusia yang mengasingkan diri itu menjadi asas kepada jalan yang kemudian hari dikenali sebagai jalan kesufian. Pengasas aliran sufi adalah manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian. Mereka lari daripada kegelapan, kekeliruan dan ketidak-pastian itu sebagaimana Rasulullah s.a.w lari dari suasana jahiliah dahulu. Manusia fitrah yang tinggal sendirian itu melakukan amalan yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w iaitu bersembahyang, berpuasa, berzikir dan lain-lain. Amalan mereka tidak bersalahan dengan syariat, cuma bidang syariat yang ada hubungan dengan orang ramai tidak diamalkan. Amalan cara yang demikian kemudian harinya dipanggil suluk.

Manusia fitrah yang hidup di dalam masyarakat yang penuh dengan kegelapan jahiliah akan merasai tekanan dan kegelisahan pada jiwanya. Jalan keluar bagi orang yang seperti ini adalah mengasingkan diri di tempat yang jauh daripada orang ramai dan menghabiskan masanya dengan beribadat kepada Allah s.w.t. Sebahagian daripada golongan yang memilih jalan mengasingkan diri akan terus menerus berada di dalam keadaan demikian sementara sebahagiannya pula kembali kepada masyarakat setelah rohani mereka mencapai kematangan. Orang yang memasuki jalan bersendirian terus menerus berada pada jalan kesufian dan yang kembali kepada masyarakat adalah orang sufi yang berpindah dari jalan kesufian kepada jalan kenabian. Orang yang kembali kepada jalan kenabian lebih sempurna perjalanannya dan dari golongan inilah muncul para pendakwah yang membimbing umat manusia kepada jalan Allah s.w.t. Kebanyakan sufi yang telah matang kembali kepada jalan kenabian. Abdul Qadir Jilani, Ibrahim Adham, Junaid, Hasan Basri dan ramai lagi merupakan sufi yang kembali kepada jalan kenabian setelah menyempurnakan jalan kesufian. Mereka adalah ahli sufi yang mengikuti jalan kenabian. Sufi yang kembali kepada jalan kenabian ini mempunyai keperibadian yang kuat dan percampuran dengan orang ramai tidak lagi memberi tekanan kepada jiwa mereka, malah mereka mampu membimbing orang lain untuk berjalan kepada Yang Haq. Bagi orang yang seperti ini pengembaraan pada jalan kesufian merupakan sebahagian daripada latihan memantapkan kerohaniannya bagi melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah di bumi. Golongan tersebut adalah orang yang menjadi pilihan Allah s.w.t dalam menegakkan syariat-Nya di atas muka bumi dan memimpin umat manusia kepada jalan lurus yang sebenarnya.

Peringkat kewalian pada jalan kesufian berbeza dengan peringkat kewalian pada jalan kenabian. Kewalian sufi masuk kepada suasana meninggalkan semua makhluk dan membenamkan ingatan secara terus menerus kepada Allah s.w.t. Kewalian sufi bergerak menghapuskan kehendak diri sendiri dan sifat-sifat kemanusiaan. Sebutan dan ingatan yang terus menerus kepada Allah s.w.t membawa sufi fana diri atau melupakan diri sendiri. Di dalam fana sufi memperolehi jazbah iaitu pengalaman yang berkaitan dengan suasana ketuhanan. Setelah melepasi peringkat fana sufi sampai kepada peringkat baqa atau kekal bersama-sama Allah s.w.t. Di dalam menuju baqa, pada peringkat fana yang paling tinggi sufi hilang kesedaran diri sepenuhnya. Wujudnya hilang dari pandangan dan perasaannya. Hanya Wujud Allah s.w.t sahaja yang menguasainya. Pada peringkat tersebut sufi mengalami apa yang diistilahkan sebagai wahdatul wujud, di mana wujud hamba dengan Wujud Tuhan tidak lagi berbeza pada alam perasaan sufi. Suasana demikian diperolehi akibat didorong oleh rasa kecintaan kepada Allah s.w.t secara asyik mahsyuk yang bersangatan dan pada masa yang sama kesedaran terhadap diri sendiri hilang. Pengalaman wahdatul wujud menimbulkan apa yang diistilahkan sebagai mabuk. Sufi hanya melihat kepada Wujud Tuhan, tidak lagi kepada wujud dirinya dan sekalian wujud yang selain Tuhan. Bila kewujudan diri sendiri hilang dari alam perasaan sufi sering mengucapkan perkataan yang diistilahkan sebagai latah seperti pengakuan bahawa dirinya adalah Tuhan atau Tuhan yang menjadi bakat dirinya.

Kebanyakan sufi sangat mementingkan pengalaman bersatu dengan Tuhan. Mereka menjalani latihan yang berat-berat bagi menghilangkan kesedaran terhadap diri sendiri, iaitu mencapai fana dan dikuasai oleh kecintaan kepada Allah s.w.t yang mengasyikkan. Bagi memperolehi yang demikian sufi perlu menghapuskan semua keinginannya, sifatnya dan identiti dirinya secara menyeluruh. Pekerjaan yang demikian sangat berat, perlu dilakukan latihan menindas jasad. Latihan yang merbahaya dan luar biasa terkenal di kalangan para sufi di dalam proses meleburkan kedirian mereka. Latihan yang demikian membawa sufi melupakan dunia dan akhirat.

Orang sufi percaya rohnya adalah Roh yang dari Allah s.w.t, yang suci bersih. Roh yang suci itu dipenjarakan oleh jasad. Sufi berasa berkewajipan membebaskan rohnya daripada penjara jasad dan mencapai tujuan iaitu bersatu dengan Tuhan. Oleh yang demikian sufi mengistiharkan perang terhadap jasad dengan cara menindas keperluan jasad seperti makan, minum, tidur, tutur-kata, pergaulan dan sebagainya. Selagi rohaninya tidak bebas dari pengaruh jasad sufi tidak akan berasa aman. Sikap penindasan terhadap jasad ini menimbulkan kegelisahan, kehangatan dan kemarahan di dalam roh haiwaninya yang menghubungkan rohnya dengan jasad. Tindak-balas daripada roh haiwani itu sering menimbulkan sikap kasar dan agressif pada orang sufi, terutamanya bagi mereka yang berada pada peringkat permulaan melatihkan diri. Setelah dapat menguasai peringkat roh haiwani sufi akan beransur-ansur menjadi tenang dan kesedaran pancainderanya mengecil sehinggalah hilang terus. Dia mencapai kehampiran dengan Tuhan dan seterusnya memasuki suasana bersatu dengan-Nya. Baharulah sufi merasakan kerihatan daripada jihadnya terhadap jasad.

Jalan yang ditempuh itu menyebabkan sufi gemar kepada yang indah-indah, mendengar suara yang merdu, lagu-lagu kasih, puisi dan cerita-cerita percintaan. Sebahagian daripada para sufi terbawa-bawa kepada berzikir secara menyanyi dan menari sambil diiringi oleh muzik. Keadaan yang demikian menambahkan rasa kecintaan mereka kepada Allah s.w.t dan mengubati kerinduan mereka kepada-Nya. Kerinduan kepada Tuhan sangat menekan jiwa dan menimbulkan kegelisahan yang amat sangat. Aktiviti yang mengasyikkan dapat meredakan tekanan dan kegelisahan tersebut. Perjalanan yang demikian menyebabkan timbul sikap kasar dan tidak terkawal di kalangan sebahagian sufi, selama kecintaan kepada Tuhan belum mereka kuasai dan kerinduan kepada-Nya belum terubat. Kerinduan dan keasyikan menyebabkan sufi lupa bukan sahaja kepada diri dan makhluk, malah sering juga terjadi peraturan syariat dan etika moral tidak diambil berat oleh sebahagian mereka. Sebahagian sufi masih melakukan peraturan syariat tetapi semata-mata kerana menghormati syariat Tuhan bukan kerana menghayati peraturan tersebut.

Para sufi yang bersungguh-sungguh dengan latihan kerohanian mereka, setelah memperolehi keasyikan, akan masuk ke dalam suasana kebatinan di mana mereka menyaksikan rupa, bentuk, cahaya dan warna. Pengalaman yang demikian banyak berlaku pada peringkat awal perjalanan sufi. Penyaksian yang demikian sangat menggembirakan mereka, menambahkan keyakinan dan semangat untuk maju terus. Oleh kerana penyaksian tersebut terjadi di dalam suasana kebatinan yang ghaib, sufi mudah menghubungkan yang disaksikan itu dengan Allah s.w.t. Timbullah konsep ketuhanan yang tidak jelas dan mengelirukan.

Penghujung jalan para asyikin adalah bersatu dengan Tuhan. Sufi mengalami kefanaan, dirinya hilang dia berkamil dengan Tuhan. Dia dikuasai oleh suasana ketuhanan. Pada peringkat ini sering terjadi ucapan latah seperti: “Ana al-Haq!” Ucapan latah yang meletakkan ketuhanan pada diri itu berlaku kepada sufi ketika kesedaran terhadap diri sendiri hilang lenyap. Suasana yang demikian diistilahkan sebagai mabuk. Dalam suasana yang demikian hubungan hati orang sufi dengan Tuhan sangat erat. Dia telah melepaskan segala-galanya demi Tuhannya. Dia telah membuang makhluk dan dirinya demi kecintaannya kepada Tuhan. Gelombang kefanaan yang melanda hati sufi itu mengubah suasana kebatinannya menyebabkan sering muncul keajaiban daripada dirinya, doanya cepat makbul, perkataannya menjadi kenyataan, dia boleh melakukan perkara yang luar biasa seperti berjalan di atas air atau masuk ke dalam api. Hasilnya bertambah teguhlah keyakinannya terhadap apa yang dipegangnya.

Perkara luar biasa yang muncul daripada sufi yang di dalam zauk itu menyebabkan orang ramai menjadi percaya kepada apa yang sufi itu iktikadkan. Sufi yang di dalam kefanaan diri menyaksikan satu wujud lalu memperkatakan mengenainya. Muncullah fahaman wahdatul wujud. Orang ramai yang melihat keajaiban pada sufi itu dengan mudah menerima fahaman wahdatul wujud yang dipegang oleh sufi itu. Sufi membina fahaman wahdatul wujud melalui pengalaman kerohaniannya, melalui penyaksian mata hatinya. Dia mengalami sendiri suasana semua wujud hilang dan hanya satu wujud sahaja yang menyata. Orang ramai pula berpegang kepada fahaman wahdatul wujud secara ikut-ikutan, tanpa mengalaminya dan tanpa benar-benar mengerti mengenainya. Pegangan sufi dibentuk melalui pengalaman rasa sementara orang lain pula melalui khayalan dan andaian. Sufi yang berkata atau melakukan sesuatu yang menyalahi syariat, bertentangan dengan perkataan al-Quran dan perkataan Rasulullah s.a.w ketika dia dikuasai oleh hal atau mabuk, boleh dimaafkan kerana dia berbuat demikian tanpa kesedaran. Orang lain yang di dalam kesedaran biasa yang mengikuti orang sufi secara meniru-niru perlu diberi penjelasan bahawa perbuatan mereka adalah sesat dan kufur.

Pengalaman wahdatul wujud adalah umpama bayangan yang muncul akibat awan mendung menutupi sinar matahari. Setelah awan berlalu bayangan pun hilang. Orang sufi yang berjalan terus akan melepasi peringkat bayangan tersebut. Fahaman wahdatul wujud ditinggalkan di belakang dan dia masuk kepada jalan kenabian, berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunah. Kebenaran yang sejati terletak dalam al-Quran dan as-Sunah bukan pada zauk, jazbah dan mabuk. Oleh yang demikian orang sufi yang belum melepasi suasana mabuk dilarang keras bercampur gaul dengan orang ramai dan menyampaikan fahaman yang terbentuk ketika mabuk.

08. Kewalian Jalan Nabi dan Jalan sufi
Terdapat banyak perbezaan dari segi pengalaman, penyaksian, fahaman dan pegangan di antara pengembara pada jalan kesufian dengan pengembara pada jalan kenabian. Kewalian sufi diliputi oleh bayangan yang menyata sebagai tajalli-tajalli, sedangkan ia adalah hijab kepada Yang Haq. Kewalian sufi memasuki suasana menyaksikan rupa bentuk, cahaya dan warna. Cinta yang menguasai kewalian sufi adalah cinta yang mengasyikkan dan memabukkan, menghilangkan rasional. Kewalian pada jalan kenabian atau kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w tidak melalui suasana tajalli dan penyaksian kepada rupa bentuk, cahaya dan warna. Pada jalan kenabian, cinta para sahabat kepada Allah s.w.t menyata sebagai ketaatan yang sejati berlandaskan kehambaan yang sebenar-benarnya. Kewalian sufi berpisah daripada dunia dan akhirat. Pada kewalian para sahabat pula, dunia dan akhirat menjadi daerah kekhalifahan mereka. Mereka bertanggung-jawab kepada kehidupan dunia dan mereka bekerja untuk keselamatan di akhirat.

Kehampiran dengan Tuhan pada kewalian sufi bercampur dengan unsur bayangan dan terdapat hijab padanya. Penyaksian sufi sering tertumpu kepada bentuk-bentuk misal yang dinisbahkan kepada Tuhan. Orang sufi biasa mengatakan mereka melihat Tuhan sebagai cuaca subuh atau sebagai satu bentuk atau satu warna. Gambaran misal itu menjadi hijab yang menutupi penyaksian terhadap Allah s.w.t yang tidak berupa, tidak berbentuk, tidak berwarna, tidak bercahaya dan tidak ada sesuatu yang menyerupai-Nya: “Laisakamislihisyaiun” .Pada kewalian terdapat husul iaitu sampai kepada Tuhan. Pada husul terdapat hijab atau bayangan iaitu gambaran misal, dan orang yang memasuki peringkat husul menyatu dengan bayangan atau misal yang dinisbahkan kepada Tuhan, sama ada misal itu cahaya, warna, dirinya sendiri atau apa sahaja. Penyatuan dengan hijab atau misal ketuhanan itu dirasakan sebagai bersatu dengan Zat Tuhan. Oleh itu melalui husul perbezaan di antara hamba dengan Tuhan dihapuskan. Hamba dengan Tuhan dipertemukan pada satu wujud dan dinamakan wahdatul wujud. Wahdatul wujud hanyalah bayangan, bukan Yang Haq. Kemabukan ketika dilambung gelombang kefanaan yang menghasilkannya. Yang Hakiki hanya ditemui selepas meninggalkan peringkat fana dan mabuk.

Kewalian pada jalan kenabian, kewalian para sahabat, tidak bercampur dengan suasana mabuk, tidak ada fana, bebas daripada bayangan yang menghijab Yang Hakiki. Kewalian para sahabat memperolehi wusul atau berjumpa Tuhan tanpa dihijabkan oleh gambaran misal yang dinisbahkan kepada Tuhan. Pertemuan di antara hamba dengan Tuhan berlaku secara jaga, sedar, bukan dalam suasana mabuk. Bila tidak diganggu oleh mabuk dan gambaran misal, hamba menyaksikan kehambaan dirinya dan hamba menyaksikan ketuhanan Tuhannya. Hamba menyaksikan Tuhan yang :  “Laisakamislihisyaiun” – tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya, bagaimana Dia dimisalkan oleh sesuatu. Wujud Tuhan dengan wujud hamba boleh dibezakan. Mata keyakinan wali pada jalan kenabian menyaksikan Tuhan Yang Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan, digambarkan dan dimisalkan. Penemuan wali pada jalan kenabian sama dengan kenyataan al-Quran dan pengajaran Rasulullah s.a.w. Kewalian pada jalan kenabian itulah yang benar-benar berjumpa dengan Yang Haq. Bila Yang Hakiki ditemui seseorang itu bebas daripada tarikan keasyikan kepada nyanyian dan tarian, bebas daripada mabuk dan pengaruh wahdatul wujud. Tidak terjadi tajalliyat, tidak ada gangguan bayangan dan misalan dan lain-lain yang biasa ditemui pada jalan kesufian. Sebab itu kelakuan ganjil yang biasa menyerang orang sufi tidak didapati berlaku kepada para sahabat Rasulullah s.a.w. Kewalian para sahabat melahirkan kecintaan kepada Allah s.w.t secara ketaatan dengan penuh kerelaan di atas landasan kehambaan yang sebenar-benarnya.

Tajalliyat, sama ada berlaku dalam rupa bentuk, atau di bawah hijab cahaya dan warna, berlaku pada kewalian sufi terutamanya pada peringkat awal perjalanan. Penjelmaan dan tajalliyat adalah bayangan kepada Yang Haq. Tajalli dan penyaksian tertuju kepada bayangan. Orang yang menolak bayangan bebas daripada tajalliyat. Orang yang memasuki jalan kenabian bebas daripada tajalliyat tetapi jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian, pengalaman tajalliyat ditemuinya.

Orang yang memasuki jalan kesufian bekerja untuk menghapuskan semua kehendak. Pada jalan kenabian penghapusan kehendak tidak dituntut. jalan kenabian memperakui bahawa kehendak yang asli adalah baik. Kehendak menjadi jahat apabila diarahkan kepada bahan-bahan dan perkara-perkara jahat. Jadi, bahan dan perkara jahat yang perlu dihapuskan daripada kehendak, bukan kehendak itu sendiri secara keseluruhannya. Kehendak perlu diarahkan kepada sesuatu yang baik menurut petunjuk syariat. Syariat telah menggariskan sempadan yang baik dan yang jahat. Pengembara pada jalan kenabian dikehendaki menjaga dan mengawal kehendak agar tidak keluar daripada daerah yang baik.

Selain daripada penghapusan kehendak, orang yang memasuki jalan kesufian juga menghapuskan sifat-sifat kemanusiaannya. Pada jalan kenabian pula syariat memisahkan sifat kemanusiaan yang baik daripada yang jahat. Orang yang memasuki jalan kenabian hanya perlu menghapuskan sifat yang jahat dan keji, tidak perlu menghapuskan sifat kemanusiaan keseluruhannya. Pada kewalian sufi didapati penafian perbuatan diri sendiri, sifat-sifat diri sendiri dan kewujudan diri sendiri. Semua perkara dan segala sesuatu diisbatkan kepada Allah s.w.t semata-mata. Hal atau suasana penafian diri merupakan ciri kefanaan. Orang yang terus kepada jalan kenabian tidak terlibat dengan penafian diri, sifat dan perbuatan, tetapi jika dia sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian dia mengalami juga hal yang demikian.

Kewalian pada jalan kesufian dinamakan wali kecil dan ia dibaluti oleh bayang-bayang yang bercampur dengan perkara-perkara yang tidak jelas dan samar-samar. Wali pada jalan kenabian, termasuklah wali yang telah melepasi jalan kesufian dan memasuki jalan kenabian, adalah lebih sempurna. Jalannya, fahamannya, pegangannya dan tindak-tanduknya lebih jelas, pasti dan nyata. Wali pada jalan kesufian gemar menggunakan istilah yang ganjil-ganjil dan tidak jelas maksudnya. Mereka suka mengadakan huraian secara berteka-teki yang sukar dimengerti maksudnya. Hujah mereka banyak bersandar kepada pengalaman kerohanian seperti zauk dan kasyaf tanpa merujuk kepada sumber yang lebih kuat iaitu al-Quran, as-Sunah ijmak ulama. Wali pada jalan kenabian pula sentiasa bersikap rasional, bersandar kepada sumber yang muktabar dan boleh diterima oleh akal yang sihat. Apabila wali sufi meningkat dan sampai kepada kewalian cara kenabian dia akan meninggalkan daerah yang kesamaran dan meragukan. Dia akan bergabung dengan wali-wali cara kenabian yang lain di dalam mengembangkan syiar agama Islam menurut ajaran al-Quran, as-Sunah dan muafakat ulama.

Bagi orang yang dipimpin, walaupun pada peringkat permulaannya dia memasuki jalan kewalian sufi namun, akhirnya dia akan sampai kepada jalan kewalian cara kenabian. Pengalamannya dalam bidang kewalian sufi membantunya membentuk keyakinan setelah dia berpindah kepada kewalian cara kenabian. Walaupun kebanyakan sufi yang terkenal memulakan perjalanan cara kewalian sufi dan kemudiannya berpindah kepada kewalian cara kenabian, tetapi kewalian cara sufi bukanlah syarat yang mesti bagi memperolehi kesempurnaan kewalian cara kenabian. Ramai orang yang terus pergi kepada kewalian cara kenabian tanpa melalui cara kesufian, terutamanya pada zaman Rasulullah s.a.w. Para sahabat yang terus memasuki cara kenabian dan menetap pada jalan tersebut tanpa memasuki cara sufi telah mencapai darjat kewalian yang paling tinggi dibandingkan dengan wali-wali pada semua zaman. Selepas Rasulullah s.a.w, para sahabat adalah contoh yang paling baik untuk diikuti. Rasulullah s.a.w telah mengasuh satu kumpulan manusia sempurna yang boleh diikuti oleh kaum Muslimin yang datang kemudian.

Umat Islam umumnya telah lama keliru di dalam memahami maksud kewalian. Kewalian dan kesufian telah diikat kemas di dalam pemikiran sehingga timbul anggapan hanya orang sufi yang boleh menjadi wali. Orang yang menetap pada Jalan syariat, beriman, beramal salih dan bertakwa, jika tidak memasuki jalan kesufian tidak akan sampai kepada makam kewalian. Orang-orang seperti Imam Syafi’e, Imam Malik, Imam Hanafi dan Imam Hanbali tidak disebut sebagai wali Allah. Apakah orang-orang yang dibimbing oleh Allah s.w.t sehingga mereka mampu mengadakan mazhab yang diikuti oleh kebanyakan umat Islam, tidak termasuk ke dalam kelas wali Allah? Apakah orang yang dipimpin oleh Allah s.w.t membentuk kumpulan tarekat yang jauh lebih kecil daripada kumpulan mazhab lebih tinggi kewaliannya daripada orang yang mempelopori mazhab yang besar?

Perlu diketahui bahawa orang yang memasuki aliran kesufian melalui dua peringkat kewalian. Kewalian peringkat pertama dinamakan wali kecil, iaitu kewalian cara sufi yang padanya terdapat amalan suluk, zauk, jazbah, fana, bersatu dengan Tuhan, baqa dengan Tuhan dan lain-lain bentuk pengalaman kerohanian. Setelah menyempurnakan kewalian cara sufi mereka diangkat kepada kewalian cara kenabian, darjat kewalian yang lebih sempurna. Di dalam daerah kewalian cara kenabian orang-orang sufi seperti Abdul Qadir Jilani, Hasan Basri, Ibrahim Adham dan ramai lagi bergabung dengan kumpulan wali yang menetap pada cara kenabian seperti Imam Syafi’e, Imam Malik dan lain-lain. Semua wali-wali pada peringkat tersebut menjadi sesuai dengan perjalanan Nabi Muhammad s.a.w, para sahabat baginda s.a.w dan dengan syariat yang baginda s.a.w bawa. Malangnya peringkat kesesuaian orang sufi dengan syariat tidak menarik perhatian sebahagian daripada kaum Muslimin yang berminat dengan aliran tarekat kesufian. Latihan kesufian lebih dikaitkan dengan kewalian. Kewalian Imam Syafi’e dan Imam Malik yang menetap pada cara kenabian dan berlaku dengan lebih teratur tidak menarik minat mereka. Oleh yang demikian ada kaum Muslimin yang sanggup melepaskan pendapat Imam Syafi’e yang bersandarkan al-Quran dan as-Sunah, demi memegang perkataan wali sufi yang di dalam mabuk. Mereka juga lebih berpegang kepada perkataan wali sufi yang sedang mabuk daripada perkataan wali sufi yang sudah melepasi peringkat mabuk. Konsep ketuhanan yang dinyatakan oleh al-Quran dan diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, dipegang oleh para sahabat dan kaum Muslimin umumnya tetapi ditolak oleh sebahagian kaum Muslimin yang terpengaruh dengan ucapan sufi yang latah. Mereka lebih terpengaruh dengan ucapan kumpulan sufi yang terperangkap dengan bayangan dan misal.

Kesempurnaan sufi dicapai setelah melalui dua peringkat kewalian, iaitu kewalian cara sufi dan kewalian cara kenabian. Seorang sufi perlu melalui proses menaik dan menurun. Di dalam proses menaik sufi memasuki perjalanan menuju Allah s.w.t yang kemudiannya membawanya kepada perjalanan ‘di dalam’ Allah s.w.t. Kemuncak perjalanan ini adalah ‘bersatu’ dengan Allah s.w.t, yang menjadi intisari dan matlamat perjalanan kewalian sufi. Di dalam proses menaik sufi hanya berhubung dengan Allah s.w.t, tidak berhubung dengan sesama makhluk. Sufi terpisah daripada makhluk dan dirinya sendiri. Sufi mencapai fana dan bersatu dengan Tuhan. Pengalaman yang demikian membuat sufi mempunyai satu bentuk kefahaman tentang ketuhanan.

Setelah menyempurnakan proses pertama sufi masuk kepada proses kedua, iaitu proses menurun, menuju kepada kesempurnaan kewalian dengan melalui jalan kenabian. Ketika menurun mental sufi mula berpisah daripada Tuhan. Sufi mula menyaksikan perbezaan di antara Tuhan dengan hamba. Kesedaran sufi terhadap dirinya dan makhluk kembali semula dan akhirnya dia kembali kepada kesedaran sepenuhnya. Proses kedua membentuk kefahaman dan pegangan yang berbeza dengan proses pertama. Pada proses pertama sufi dikuasai oleh pengaruh wahdatul wujud. Proses kedua pula memisahkan sufi daripada kesan wahdatul wujud itu. Sufi yang telah berpisah dengan fahaman wahdatul wujud mengakui perbezaan di antara Tuhan dengan hamba dan menerima kenyataan al-Quran bahawa tidak ada sesuatu yang serupa dengan Tuhan. Dua proses yang menghasilkan dua fahaman dan pegangan yang berlainan berlaku dalam perjalanan sufi.

Orang yang terus kepada cara kenabian tidak mengalami dua peringkat berbeza yang dilalui oleh pada cara kesufian. Pada jalan kenabian tidak berlaku pemutusan hubungan sesama manusia dan penyatuan dengan Tuhan. Tidak ada kefanaan dan kelenyapan diri. Tidak ada zauk, jazbah, mabuk dan tidak berlaku ucapan latah. Pada jalan kenabian akal fikiran sentiasa dalam keadaan sedar. Bila tidak ada peringkat berpisah dengan makhluk tidak ada juga peringkat kembali kepada diri dan makhluk. Bila tidak ada proses bersatu dengan Tuhan tidak ada pula proses berpisah dengan Tuhan. Pengembara pada jalan kenabian tidak dikuasai oleh keasyikan kepada Tuhan yang menyebabkan hilang pandangan terhadap diri sendiri dan makhluk. Mereka juga tidak dikuasai oleh keghairahan terhadap makhluk sehingga melupakan Tuhan. Wali cara kenabian sentiasa berhubung dengan Tuhan walaupun mereka sibuk melayani makhluk Tuhan. Hubungannya dengan Tuhan dan hubungannya dengan makhluk berjalan serentak tanpa gangguan. Tidak berlaku percanggahan di antara perhatian kepada Tuhan dengan perhatian kepada makhluk. Bagi wali yang berada pada jalan kenabian, berkhidmat kepada makhluk Tuhan sebenarnya adalah berkhidmat kepada Tuhan, berdasarkan ingatan dan perhatian kepada Tuhan kerana Tuhan yang memerintahkan berbuat demikian. Dalam menguruskan soal makhluk wali Allah sebenarnya melaksanakan kehendak Allah s.w.t, bertindak sebagai khalifah atau wakil-Nya. Walaupun sibuk melayani orang ramai perhatiannya tetap tertuju kepada Allah s.w.t dan mereka mengajak orang ramai kepada Allah s.w.t, taat kepada-Nya dan menghampiri-Nya. Wali pada jalan kenabian melakukan pekerjaan yang mulia ditengah-tengah masyarakat. Allah s.w.t reda dengan amalan mereka dan mereka senang berbuat demikian. Wali yang di dalam daerah kenabian inilah yang menyambung pekerjaan Nabi Muhammad s.a.w di dalam membimbing dan membawa umat manusia kepada Allah s.w.t.

Nabi Muhammad s.a.w bertugas menyampaikan syariat kepada umat manusia. Wali-wali pada jalan kenabian dan wali sufi yang kembali kepada jalan kenabian meneruskan pekerjaan tersebut. Wali yang tidak keluar dari daerah kesufiannya tidak memperdulikan urusan disekelilingnya, tidak memperdulikan sekalipun berlaku kiamat. Wali-wali yang menetap pada daerah kesufian adalah mereka yang tidak diberi tugas. Wali-wali sufi yang dipilih dan diberi tugas akan dibawa kepada daerah kewalian cara kenabian dan mereka melaksanakan tugas yang diamanahkan Allah s.w.t kepada mereka. Tugas utama adalah menyampaikan syariat. Orang ramai dituntut mentaati Nabi Muhammad s.a.w di dalam menjalankan peraturan syariat, bukan mengikuti cara atau amalan wali sufi. Di akhirat kelak yang dihisab adalah yang berkaitan dengan syariat. Latihan kerohanian dan tasauf juga dihisab berdasarkan peraturan syariat. Ketaatan kepada syariat membawa seseorang kepada syurga dan perlanggaran kepada syariat membawa ke neraka. Nabi Muhammad s.a.w dan wali-wali yang mengikuti baginda s.a.w menyampaikan dan mengamalkan syariat dan mereka bersedia untuk berkorban demi mengembang dan mempertahankan syariat.

Kumpulan manusia yang paling mulia adalah Nabi-nabi. Tujuan diutus Nabi-nabi adalah untuk menyebarkan syariat. Pekerjaan menyebarkan syariat adalah pekerjaan yang paling mulia boleh dilakukan oleh seseorang manusia di atas muka bumi. Tidak ada pekerjaan yang lebih mulia daripadanya. Wali-wali yang menjadi pewaris Nabi meneruskan pekerjaan tersebut. Hanya wali-wali yang telah kembali kepada jalan kenabian yang boleh melakukan pekerjaan tersebut dengan baik dan tepat. Memimpin umat manusia ke jalan yang diredai Allah s.w.t adalah lebih baik daripada melakukan ibadat sendirian tanpa bercampur gaul dengan orang ramai. Ketika masyarakat dilanda oleh kerosakan akidah dan kerosakan akhlak, tuntutan menghidupkan syariat lebih besar lagi. Usaha menghidupkan satu peraturan syariat lebih bermakna daripada latihan kerohanian yang hanya memberi faedah kepada diri sendiri sahaja. Oleh kerana tujuan Allah s.w.t memberi bimbingan kepada wali-wali untuk membimbing umat manusia, maka wali cara sufi yang menerima petunjuk akan kembali kepada cara kenabian serta melaksanakan tugas membimbing umat manusia kepada jalan yang lurus. Ketaatan kepada syariat memelihara seseorang agar teguh di atas jalan yang lurus.

Kemuncak kesempurnaan iman, ilmu, amal, takwa, pengalaman dan pencapaian, terdapat pada Nabi Muhammad s.a.w. Baginda s.a.w menjadi contoh tauladan yang paling baik dan paling tinggi untuk diikuti dan baginda s.a.w juga mestilah dijadikan model di dalam menentukan kedudukan seseorang wali. s.a.w Ketinggian darjat seseorang wali ditentukan dengan setakat mana wali itu menghampiri kualiti-kualiti yang ada pada Nabi Muhammad. Ada wali yang melibatkan diri semata-mata dalam urusan hubungan dengan Tuhan. Wali yang fana dalam Tuhan ini melakukan tuntutan agama yang paling minima, seperti bersembahyang, tetapi sangat kurang penglibatannya dalam kebaktian kepada sesama manusia. Ada pula wali yang di samping bersungguh-sungguh di dalam urusan perhubungan dengan Allah s.w.t, mereka juga bersungguh-sungguh di dalam melaksanakan kewajipan sesama manusia. Wali jenis kedua menjalani kehidupan yang lebih sesuai dengan kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan mereka merupakan wali yang lebih baik, lebih tinggi dan lebih sempurna. Wali yang bermukim di dalam daerah kewalian sufi, menjadi majzub atau fana dalam Allah s.w.t secara terus menerus, perjalanannya tidak lengkap. Wali yang demikian hanya berjalan separuh jalan sahaja. Mereka berhenti sebelum menemui Yang Hakiki. Wali tersebut melengkapkan perjalanan kepada Tuhan dan dalam Tuhan sehingga mencapai peringkat bersatu dengan Tuhan. Suasana bersatu dengan Tuhan menimbulkan mabuk yang melahirkan tingkah-laku dan tutur-kata yang ganjil-ganjil. Kemabukan menyebabkan wali tersebut terputus daripada peraturan dan sopan santun kemanusiaan. Dalam keadaan demikian juga peraturan syariat tidak dihormati. Wali jenis ini tidak dibolehkan menjadi pembimbing manusia lain kerana sifat-sifat kemanusiaannya sudah lenyap. Wali yang layak membimbing manusia lain adalah yang mara terus melepasi peringkat bersatu dengan Tuhan, bergerak jauh dari Tuhan dengan Tuhan, menyaksikan perbezaan di antara hamba dengan Tuhan, menyaksikan wujud hamba yang berpisah dengan Wujud Tuhan, keluar dari suasana mabuk dan kembali kepada keinsanan untuk menceburkan diri dalam kegiatan masyarakat. Wali jenis ini merupakan wali yang melepasi kewalian sufi dan masuk kepada kewalian cara kenabian. Merekalah yang menjadi khalifah Allah di bumi, memikul satu-satu bidang tugas khusus untuk kemanfaatan manusia umum. Inilah kumpulan wali yang menyambung perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w. Kumpulan ini memikul tugas berdakwah membimbing orang ramai kepada jalan Tuhan. Orang-orang yang kembali kepada jalan Tuhan dipersucikan zahir dan batin agar menjadi hamba Tuhan yang sebenar-benarnya. Hamba yang dipersucikan, berjalan pada jalan Tuhan, bekerja menegakkan syariat Allah s.w.t di atas muka bumi. Pekerjaan wali-wali yang sampai kepada cara kenabian merupakan pekerjaan yang paling mulia kerana mereka melakukan pekerjaan Nabi-nabi. Mereka mendapat kedudukan yang paling mulia, sebagai sahabat Allah s.w.t dan Rasul-Nya yang akrab.

Perilaku Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w hendaklah dijadikan neraca dalam menentukan sesuatu perkara agar penilaiannya benar dan tepat. Dalam menilaikan kedudukan seseorang wali, neraca yang didirikan oleh Nabi Muhammad s.a.w hendaklah digunakan Sikap menjadikan kekeramatan sebagai pengukur kewalian adalah sikap yang tidak benar. Kekeramatan bukanlah petanda ketinggian darjat seseorang wali, malah kekeramatan bukanlah syarat kewalian. Biasa terjadi wali yang lebih rendah kedudukannya mengeluarkan kekeramatan yang lebih banyak daripada wali yang lebih tinggi kedudukannya. Wali yang paling tinggi yang muncul pada zaman di belakang ini tidak dapat menyamai kedudukan kewalian para sahabat Rasulullah s.a.w yang paling rendah. Para sahabat yang berkedudukan sebagai wali peringkat tertinggi pada semua zaman jarang atau tidak ada yang mengeluarkan kekeramatan, tetapi wali yang datang kemudian banyak mengeluarkan kekeramatan. Perlu diambil perhatian bahawa orang kafir, ahli maksiat dan ahli silap mata juga biasa mengeluarkan perkara yang luar biasa seperti yang terjadi di kalangan wali-wali. Perkara luar biasa yang dikeluarkan oleh orang kafir, ahli maksiat dan ahli silap mata, tidak ada kaitan dengan kedudukan iman.

Konsep kewalian telah lama mengelirukan umat Islam. Pengagungan kewalian cara sufi dan pengabaian kewalian cara kenabian telah lama menguasai pemikiran mereka. Fahaman wahdatul wujud, isu bersatu dengan Tuhan, pengguguran taraf kehambaan dan tidak mengambil berat kepada peraturan syariat telah dikaitkan kewalian. Kekeliruan ini sudah sangat jauh mengheret umat Islam. Ia mesti diperbetulkan dengan cara menyebarkan konsep kewalian yang sebenar, yang bersesuaian dengan ajaran al-Quran dan as-Sunah. Perlu difahamkan bahawa wahdatul wujud adalah kesan sampingan yang bersifat sementara yang dialami oleh wali sufi yang masih di dalam perjalanan. Jika dia menetap pada kewalian sufi kesan tersebut akan berpanjangan. Jika dia masuk kepada kewalian yang lebih sempurna, iaitu kewalian cara kenabian, kesan itu akan hilang. Dia akan kembali kepada syariat dengan penuh keyakinan. Wali yang sampai kepada cara kenabian adalah lebih benar dan lebih tinggi kedudukannya. Wali cara kenabian bersungguh-sungguh dalam kehambaan, mematuhi peraturan syariat dengan sepenuh jiwa raga mereka. Mereka kuat melakukan ibadat, bertakwa dan beramal salih.

Oleh kerana Islam mencakupi segala bidang maka Allah s.w.t mendatangkan wali-Nya dalam segala bidang juga. Dalam Islam ada fardu ain dan fardu kifayah. Jika tidak ada seorang pun orang Islam yang menunaikan fardu kifayah dalam sesuatu perkara maka kesemua orang Islam menanggung kesalahannya. Begitu juga jika tidak ada seorang pun wali yang melibatkan diri dalam fardu kifayah maka kesemua wali menanggung kesalahannya. Tuhan tidak berkehendak yang demikian berlaku kepada wali-wali-Nya. Oleh itu Tuhan mendatangkan wali dalam segala bidang. Ada wali yang dikhususkan dalam bidang pentadbiran negara, sebagaimana Nabi Daud a.s dan Nabi Sulaiman a.s mewakili kenabian dalam bidang tersebut. Ada wali yang dikhususkan dalam bidang pengurusan pertanian sebagaimana Nabi Yusuf a.s mewakili kenabian dalam bidang tersebut. Begitu juga dalam bidang-bidang yang lain yang memberi manfaat kepada umat manusia dan makhluk Allah s.w.t. Nabi Isa a.s mengambil bahagian dalam bidang perubatan, Nabi Nuh a.s dalam bidang pertukangan, Nabi Musa a.s dalam bidang penternakan dan Nabi-nabi yang lain juga ada bidang kegiatan masing-masing. Nabi Muhammad s.a.w merupakan Nabi yang paling aktif di dalam kegiatan kehidupan harian. Baginda s.a.w pernah memasuki bidang penternakan dan perniagaan. Baginda s.a.w adalah juga pemerintah angkatan perang dan pemimpin agung negara. Baginda s.a.w adalah seorang mufti dan hakim. Ilmu baginda meliputi segala bidang ilmu yang diketahui oleh manusia. Baginda s.a.w mengajarkan ilmu alam, astronomi, kaji hayat, kedoktoran, sains, sejarah, siasah dan lain-lain. Tidak akan ada lagi seorang manusia yang mampu menguasai semua bidang dan semua ilmu seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Manusia lain hanya dikhususkan dalam satu atau beberapa bidang sahaja. Golongan khusus itu adalah wali-wali yang dibekalkan dengan pengetahuan dalam bidang berkenaan. Baik Nabi mahu pun wali yang menceburi sesuatu bidang pengkhususan tersebut, mereka melaksanakan tugas mereka selaras dengan peraturan Allah s.w.t. Kegiatan harian tidak menyebabkan urusan ibadat mereka tertinggal. Inilah perbezaan besar di antara wali yang menceburi bidang kehidupan harian dengan orang lain yang berada dalam bidang yang sama. Seorang wali yang menceburi bidang ekonomi mampu menegakkan sistem perekonomian Islam di tengah-tengah berbagai-bagai sistem ekonomi dunia.

Para ilmuan Islam haruslah menyedarkan umat Islam mengenai kewalian. Tokoh-tokoh ilmu yang menghiasai lembaran sejarah Islam haruslah dikaji dengan mendalam apakah tidak mungkin mereka adalah wali-wali yang dikhususkan dalam bidang berkenaan. Orang-orang yang lebih jelas kewalian dan kekhalifahan mereka seperti Imam Syafi”e, Imam Malik, Imam Hanafi, Imam Hanbali dan lain-lain, hendaklah ditonjolkan sebagai wali sebagaimana layaknya, supaya kewalian mereka boleh dicontohi dan tidaklah orang ramai beranggapan hanya orang sufi sahaja yang menjadi wali.

09. Tujuan latihan kerohanian
Manusia fitrah yang memasuki jalan kesufian dan melakukan berbagai-bagai latihan kerohanian didorong oleh tujuan yang suci iaitu untuk menjadi hamba Allah s.w.t sebaik mungkin.. Mereka telah terlebih dahulu mengikuti jalan yang dilalui oleh orang ramai. Mereka telah bersungguh-sungguh menuntut ilmu dan beramal menurut peraturan syariat. Kehidupan harian dijadikan tarekat buat bermujahadah pada jalan Allah s.w.t, demi memperolehi keredaan-Nya. Dia kuat melakukan ibadat dalam aspek hubungan dengan Tuhan dan juga amalan dalam aspek hubungan sesama manusia. Walaupun mereka sudah menjaga peraturan syariat sekadar kemampuan mereka, namun hati mereka masih merasakan kekosongan. Mereka sudah berjumpa dengan berbagai-bagai guru namun, banyak persoalan yang timbul dalam fikiran mereka tidak dapat dijelaskan secara memuaskan hati mereka. Mereka sampai kepada peringkat mencari sesuatu yang mereka sendiri tidak tahu apa yang dicari. Mereka diganggu oleh persoalan-persoalan yang mereka tidak tahu di mana mahu mendapatkan jawapan. Mereka merasakan kekosongan jauh di dalam lubuk hati, seolah-olah menantikan sesuatu untuk memenuhinya. Kekuatan akal mereka sudah sampai ke perbatasan yang tidak mungkin ditembusi lagi. Jiwa mereka menjadi tidak tenteram dan fikiran mereka keliru. Mereka mencuba mencari kedamaian melalui amalan tetapi tidak berjaya. Mereka mencuba mendapatkan kedamaian melalui orang-orang alim yang mereka kenali, juga tidak berjaya. Orang alim merupakan modal terakhir mereka. Bila modal tersebut gagal memberikan hasil yang mereka harapkan, mereka sampai kepada titik peralihan. Jiwa mereka mudah terangsang apabila melihat kesyirikan, kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran yang berlaku di sekeliling mereka. Mereka melihat kerosakan berlaku tetapi mereka tidak terdaya menahannya. Apabila mereka memandang kepada masyarakat mereka melihat kepada kemunkaran dan kerosakan dan apabila mereka memandang kepada diri sendiri mereka melihat ketidak-upayaan mereka mencegah kerosakan yang berlaku. Mereka melihat kerosakan yang berlaku kepada masyarakat seperti melihat ombak besar yang menggulung diri mereka. Dalam keadaan yang demikian mereka melihat jalan keselamatan buat mereka adalah mengasingkan diri, lalu mereka masuk ke dalam lembah suluk.

Kumpulan tersebut memasuki suluk dengan niat: “Ilahi! Engkau jualah tujuan dan keredaan Engkau jua yang dicari”. Mereka tidak pernah mengetahui, apa lagi terlibat dengan fahaman wahdatul wujud, tidak ada motif mahu bersatu dengan Tuhan, tidak mengimpikan fana, zauk dan jazbah dan tidak bercadang meninggalkan syariat. Keyakinan mereka terhadap syariat tidak pernah bergoyang, cuma sesuatu tentang syariat itu yang mereka tidak jelas. Jawapan kepada yang tidak jelas itu mereka tidak perolehi melalui jalan yang telah mereka lalui. Kesungguhan melakukan ibadat dan menuntut ilmu tidak menghilangkan gangguan rangsangan syaitan. Setiap kebaikan yang dilakukan diiringi oleh bisikan yang mahu merosakkan kebaikan tersebut. Dalam suasana demikian ikhlas adalah sesuatu yang dipaksakan dan mereka mesti bekerja keras mempertahankan keikhlasan itu. Bukan setakat mempertahankan keikhlasan malah kesungguhan melakukan ibadat juga mesti dibaja kerana ada sahaja sesuatu yang cuba menghalang mereka berbuat ibadat. Pergaulan dengan orang ramai menjadi jalan bagi musuh-musuh ibadat dan ikhlas menyerang mereka. Benteng yang paling baik bagi mereka mempertahankan diri adalah suluk. Latihan-latihan yang dilakukannya semasa bersuluk membawa mereka melepasi gangguan rangsangan syaitan. Amal ibadat dapat dilakukan dengan mudah dan ringan. Sabar, reda, tawakal dan ikhlas menjadi keperibadian mereka, berlaku secara spontan, bukan lagi sifat yang dipaksakan.

Semasa bersuluk itu mungkin mereka terbawa kepada pengalaman kerohanian dan terdorong kepada wahdatul wujud, tetapi akar kehambaan yang teguh akan membawa mereka melepasi yang demikian untuk kembali kepada jalan kenabian. Bila rohani mereka telah benar-benar matang, percampuran dengan orang ramai tidak lagi memudaratkan mereka. Pada masa itu mereka ‘diperintahkan’ supaya kembali kepada masyarakat kerana ada tugas yang perlu mereka lakukan. Mereka masuk semula kepada kegiatan masyarakat, membimbing orang ramai agar selamat daripada kemusyrikan, kemunafikan, kefasikan dan kemunkaran, seterusnya kembali kepada Tuhan dengan akidah dan amalan yang bersih.

Kumpulan yang diceritakan di atas merupakan orang yang sampai kepada jalan kenabian melalui jalan kesufian walaupun mereka tidak mengetahui maksud sufi dan istilah-istilah tasauf. Mereka telah memperolehi faedah yang besar daripada latihan kerohanian secara bersuluk. Hati mereka umpama pelita yang mempunyai sumbu tetapi tidak mempunyai minyak. Latihan kesufian umpama memasukkan minyak ke dalam pelita. Gurunya umpama api yang menyalakan pelita tersebut. Setelah pelita hatinya menyala akalnya mampu mendapatkan jawapan kepada persoalan yang mengganggunya selama ini, yang tidak dapat di jelaskan oleh orang lain. Jiwanya menjadi tenang. Darjat kehambaannya meningkat sehingga sampai kepada kesempurnaan. Dia layak bergelar hamba Tuhan yang melaksanakan kehendak dan peraturan Tuhan sebagai yang Dia kehendaki. Tarekat kesufian telah membawanya kepada jalan kenabian yang sebenarnya. Kepercayaan dan keyakinannya kepada kebenaran syariat bertambah dan menjadi teguh serta memudahkannya melaksanakan dan mengamalkan tuntutannya. Mereka bergerak di dalam masyarakat sesuai dengan cara Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w berkecimpung di dalam masyarakat. Mereka telah sampai kepada tujuan mereka diciptakan. Sampai kepada tujuan penciptaan insan itu adalah peringkat paling tinggi. Allah s.w.t menciptakan insan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Kehambaan adalah peringkat paling tinggi dan paling sempurna. Mereka berpegang kepada Kebenaran Hakiki sebagaimana dinyatakan oleh al-Quran dan as-Sunah. Tidak ada kebenaran yang mengatasi kebenaran syariat. Setelah menemui kebenaran syariat dan mencapai peringkat kehambaan yang sejati, berakhirlah latihan kerohanian. Peringkat seterusnya adalah bekerja menurut peringkat yang dicapai dan kebenaran yang ditemui, sebagaimana Rasulullah s.a.w bekerja setelah menghabiskan peringkat khalwat di Gua Hiraa.

Perkembangan kerohanian sufi dalam mencapai kesempurnaan melalui empat peringkat. Peringkat pertama dinamakan perjalanan menuju Allah s.w.t. Sufi bergerak daripada pengetahuan yang rendah kepada pengetahuan yang lebih tinggi sampai kepada pengetahuan mengenai Wajibul Wujud. Dalam proses ini pengetahuan mengenai mumkinul wujud (wujud yang mungkin) berkurangan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya terhapus terus. Keadaan ini dinamakan fana. Fana membawa sufi memasuki peringkat ke dua, dinamakan perjalanan dalam Allah s.w.t. Ia merupakan proses perjalanan yang diistilahkan sebagai makrifat atau mengenal Allah s.w.t dalam suasana yang dinisbahkan kepada ketuhanan atau hakikat-hakikat seperti nama-nama Tuhan, sifat-sifat Tuhan dan hal-hal ketuhanan. Seterusnya sufi sampai kepada suasana yang tiada perkataan dan bahasa boleh bercerita, tiada sifat boleh mengibaratkan, tiada perhubungan boleh dihubungkan dan tiada sesuatu penjelasan. Pengetahuan tidak ada dan makrifat juga tidak ada dalam suasana yang demikian. Tidak ada pengetahuan dan tidak ada pengenalan yang mampu bercerita tentang zat Allah s.w.t. Pengalaman pada suasana kerohanian yang demikian dinamakan baqa atau hidup bersama-sama Tuhan. Ini adalah penghabisan peringkat ke dua. Perjalanan peringkat pertama dan ke dua melengkapkan kewalian cara sufi. Orang yang telah menempuh dua peringkat ini dipanggil sebagai wali sufi atau wali kecil.

Sufi seterusnya bergerak kepada peringkat ke tiga yang dinamakan perjalanan dari Tuhan. Dalam peringkat ini perjalanan bermula dari pengetahuan yang tinggi kepada yang lebih rendah iaitu dari Wajibul Wujud kepada mumkinul wujud. Sufi yang sampai kepada peringkat ini dinamakan orang arif yang lupakan Tuhan melalui Tuhan, yang kembali dari Tuhan dengan Tuhan, yang kehilangan tetapi menjumpai, yang terpisah tetapi bersatu, yang jauh tetapi dekat, yang tidak boleh dikatakan tetapi tahu, yang tidak boleh disifatkan tetapi kenal. Peringkat ke tiga ini merupakan kebalikan kepada peringkat kedua. Ketika berada pada peringkat kedua sufi mengalami suasana yang diistilahkan sebagai fana dalam Tuhan. Pada peringkat ke tiga pula sufi meninggalkan makam ketuhanan dalam keadaan tidak berpisah dengan Tuhan. Pengaruh mabuk dan wahdatul wujud sudah berkurangan. Kesedaran kemanusiaan sudah mula kembali sedikit demi sedikit. Bila kesedaran kemanusiaannya telah bertambah kuat sufi melengkapkan perjalanan pada peringkat ke empat iaitu perjalanan dalam alam kebendaan. Pada peringkat ini sufi kembali mengenali sesuatu yang dilupakannya pada peringkat pertama dahulu. Peringkat pertama membuat sufi lupa tetapi peringkat ke empat membuat sufi kembali mengingati. Alam kebendaan menjadi terang benderang kepadanya dan akhirnya dia kembali sepenuhnya kepada kesedaran dirinya dan alam maujud. Dia kembali kepada tempat dia bermula. Perjalanannya menjadi lengkap.

Perjalanan peringkat ke tiga adalah perubahan dari jalan kesufian kepada jalan kenabian. Peringkat ke empat adalah penyempurnaan cara kenabian untuk memikul tugas yang mulia iaitu membimbing umat manusia kepada Tuhan, meneruskan perjuangan Nabi-nabi.

Ada pula orang yang memasuki jalan kesufian kerana dipaksa bukan dengan disengajakan. Golongan ini boleh diibaratkan sebagai orang-orang yang mempunyai tugas tetapi mereka leka dengan kehidupan harian sehingga tercampak jauh daripada tujuan mereka diciptakan. Dengan rahmat dan belas kasihan Tuhan mereka disentak dari kelalaian tersebut dan diheret menghadap Tuhan. Mereka dipisahkan daripada apa sahaja yang menghalang mereka daripada kembali kepada Tuhan. Dalam golongan inilah terdapat raja yang diturunkan dari takhtanya, orang kaya yang jatuh miskin, orang cantik yang menjadi hodoh dan yang seumpama mereka. Perubahan yang mendadak menimpa mereka memisahkan mereka daripada beban berat yang menghalang mereka berjalan kepada Tuhan dan pada masa yang sama juga mereka terpisah daripada orang ramai. Mereka tidak ada pilihan kecuali mengasingkan diri. Dalam pengasingan itu mereka memperbanyakkan ibadat kepada Tuhan, membentuk penyerahan yang sejati, merelakan apa jua takdir yang sampai kepada mereka. Kesan daripada ujian yang menimpa mereka secara mengejut itu dihapuskan semasa pengasingan atau bersuluk. Dalam keasyikan beribadat itu terbuka kepada mereka peringkat-peringkat perjalanan seperti yang dilalui oleh sufi kumpulan pertama. Kumpulan pertama berjalan kepada Tuhan berbekalkan pengharapan. Kumpulan ke dua ini pula tidak membawa sebarang bekal kerana segala sesuatu telah diserahkan kepada Tuhan. Mereka telah rela dengan apa juga takdir yang sampai kepada mereka. Kumpulan pertama bekerja keras menghapuskan segala kehendak diri sendiri agar kehendak Tuhan menjadi kehendaknya juga. Pada kumpulan ke dua pula segala kehendak diri sendiri telah dihapuskan ketika ujian bala bencana menghempap mereka. Penghapusan kehendak diri berlaku dengan cepat diikuti oleh sifat penyerahan bulat kepada Tuhan, menghapuskan sifat-sifat keji dari hati mereka. Seterusnya kesedaran diri ikut lenyap bersama-sama dengan pengaruh akal fikiran dan perasaan. Mereka masuk kepada suasana yang dipanggil majzub. Orang majzub mengalami berbagai-bagai hal ketuhanan yang menghasilkan makrifat. Kumpulan yang berjalan melalui tarekat ujian bala ini berjalan lebih pantas daripada kumpulan pertama yang melakukan latihan bersuluk secara kesedaran dan kehendak sendiri, tetapi perkembangan kerohanian pada kumpulan pertama lebih teratur daripada kumpulan ke dua. Bimbingan dari guru yang arif dan bekalan ilmu yang mencukupi membantu kumpulan pertama meningkat dalam bidang kerohanian secara bersistematik dan mereka memperolehi penerangan mengenai apa yang mereka alami. Kumpulan ke dua pula biasanya menjadi majzub tanpa berguru dan mengalami hakikat tanpa mendapat penjelasan mengenainya. Kumpulan majzub ini akan berjalan terus melalui berbagai-bagai pengalaman tanpa mendapat pengetahuan yang jelas mengenai apa yang mereka alami. Setelah mereka melepasi peringkat majzub dan kembali kepada kesedaran keinsanan baharulah mereka mempelajari hakikat yang telah mereka alami. Kumpulan yang bergerak secara perguruan selamat daripada fitnah masyarakat. Kumpulan yang tiba-tiba menjadi majzub tanpa berguru sering menimbulkan fitnah kepada orang ramai kerana latar belakang mereka yang tidak kuat dan tidak alim dalam bidang agama, sedangkan mereka mula bercakap tentang ketuhanan, membuat orang ramai curiga kepada mereka. Lebih buruk lagi jika di dalam keadaan hilang kesedaran itu mereka tidak mematuhi peraturan syariat dan adab kemanusiaan. Walau bagaimana pun setelah mereka kembali kepada kesedaran dan memperolehi pengetahuan tentang pengalaman kerohanian mereka, mereka akan bergerak sesuai dengan peraturan syariat dan dapat mengelakkan diri daripada menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Tidak semua orang yang menempuh jalan kerohanian akan kembali kepada kesedaran semula. Ada yang menjadi majzub terus menerus, fana dalam Tuhan secara berterusan dan tidak kembali lagi kepada kesedaran keinsanan. Orang yang seperti ini telah naik ke tempat yang tinggi tetapi tidak menjumpai jalan turun. Suasana kebatinan mereka berbeza daripada orang ramai. Lantaran itu adab dan sopan santun orang ramai tidak memberi apa-apa makna kepada mereka, malah syariat juga boleh tertanggal ketika mereka dikuasai oleh jazbah. Orang yang hilang kesedaran ini tidak boleh dijadikan pembimbing kerana mereka bercakap bahasa zauk sedangkan orang ramai yang dalam kesedaran menggunakan akal untuk mentafsirkan pengalaman zauk. Akal tidak mampu menerangkan pengalaman hakikat.

Orang yang dalam zauk banyak bercakap mengenai perkara ghaib dan hal ketuhanan. Daripada mulut mereka juga mudah keluar cerita mengenai penyaksian mata hati terhadap rupa, bentuk, warna dan cahaya yang dinisbahkan kepada ketuhanan. Orang yang dalam zauk juga melahirkan keasyikan yang mendalam kepada Tuhan. Daripada mereka juga selalu keluar perkara luar biasa yang diistilahkan sebagai keramat. Kekeramatan yang disaksikan menyebabkan orang lain menjadi yakin dengan apa yang mereka perkatakan. Ada orang yang di dalam kesedaran menggubah konsep ketuhanan hanya dengan mendengar ucapan orang majzub. Tuhan dimasukkan ke dalam sempadan rupa, bentuk, warna dan cahaya atau sesuatu menurut khayalan dan sangkaan mereka. Orang yang di dalam kesedaran biasa, tidak pernah mengalami zauk, menjual konsep ketuhanan yang diperolehi dari perkataan orang majzub, adalah orang yang sesat dan menyesatkan. Golongan ini dan pengikut mereka adalah kufur, tetapi orang majzub, walaupun pada zahirnya menyalahi syariat, mereka patut dimaafkan kerana mereka dikuasai oleh mabuk.

Ada juga orang yang memasuki aliran kesufian dengan tujuan mendapatkan kebolehan yang luar biasa kerana mereka terpesona melihat kekeramatan yang keluar daripada wali sufi. Bidang kekeramatan yang paling digemari adalah keramat zahir iaitu kebolehan luar biasa dalam bidang keduniaan. Sufi beramal kerana mahu menyucikan hati bagi mengabdikan diri kepada Tuhan. Kumpulan sufi celup itu pula menggunakan amalan sufi untuk mendapatkan kebolehan yang luar biasa dan ilmu yang mampu menguasai sesuatu perkara bagi kepentingan duniawi. Amalan yang dilakukan orang kerana Allah s.w.t diceduk untuk dijadikan amalan kerana kepentingan diri sendiri. Pekerjaan ibadat menurut peraturan syariat digubah menjadi khurafat. Pengalaman kebatinan pada alam khadam dikatakan alam ketuhanan. Apabila memperolehi keramat khadam mereka mendakwa diri mereka sudah menjadi wali yang agung. Bila sudah menguasai sesuatu kebolehan yang luar biasa mulalah mereka mendakwa ketuhanan diri lalu menanggalkan kehambaan dan mencampakkan syariat. Mereka adalah puak yang sesat dan kufur!

Tarekat sufi bukan bertujuan untuk memperolehi penyaksian terhadap rupa, bentuk, warna dan cahaya. Ia juga bukan untuk mendapatkan kekeramatan. Apa juga yang disaksikan dan apa juga yang diperolehi adalah gubahan Tuhan, bukan Tuhan. Tarekat sufi bukan untuk menukarkan manusia menjadi Tuhan. Tuhan tetap Tuhan dan hamba tetap hamba, tidak boleh diadakan bahasa yang kesamaran mengenai perbezaan dua perkara tersebut. Pada satu peringkat perjalanan sufi mungkin terjadi terbalik pandangan mereka sehingga mereka tidak menyaksikan perbezaan di antara hamba dengan Tuhan. Perkara demikian berlaku bukan disengajakan. Ia terjadi akibat pertembungan diri rohani dengan alam tinggi. Pertembungan tersebut menimbulkan mabuk. Orang yang sedang asyik dengan Tuhan, apabila dikuasai oleh mabuk, tidak melihat lagi kepada yang lain kecuali Tuhan. Bagi mereka semuanya adalah Tuhan. Apa yang ditemui pada peringkat ini bukanlah kebenaran yang muktamad. Ia baharu suasana menuju kebenaran. Suasana demikian hanyalah bayangan atau misal yang muncul dalam alam kebatinan sufi yang sedang dilambung gelombang kefanaan dan keasyikan dengan Tuhan. Keasyikan seorang jejaka kepada seorang gadis sering juga menimbulkan bentuk misal. Lagu-lagu percintaan sering menggambarkan rupa kekasih sebagai bulan purnama dan suara sebagai buluh perindu. Misal yang digubah dalam kesedaran hanyalah khayalan, tetapi misal dalam alam ghaib adalah nyata dalam keghaiban (boleh disaksikan oleh mata hati tetapi tidak boleh dilihat dengan mata zahir). Yang menyata pada hati orang yang sedang dilamun cinta hanyalah gambaran, bayangan atau misalan yang tidak sedikit pun menyerupai yang sebenar. Kecintaan kepada Tuhan memberi kesan yang sangat kuat kepada hati. Orang yang asyik dengan keindahan Tuhan boleh berdiri di tepi pantai dari pagi hingga ke petang, tanpa jemu, tanpa menghiraukan panas matahari. Bila ditanya apa yang dia lihat, dia akan mengatakan dia melihat Tuhan. Keasyikan kepada Tuhan bercampur dengan rindu yang membara membuat seseorang mabuk ketuhanan sehingga tidak ada apa yang disaksikannya melainkan dinisbahkannya kepada Tuhan. Suasana hati yang demikian juga melahirkan rasa bersatu dengan Tuhan. Penyatuan hanya berlaku dalam alam perasaan, bukan penyatuan yang sebenarnya.

Menyaksikan perkara ghaib dan mendengar suara ghaib bukanlah kesudahan jalan sufi. Semua itu hanyalah bayangan. Allah s.w.t berbeza, tiada persamaan sedikit dengan yang demikian. Walau bagaimana tinggi pun anggapan diberikan kepada sesuatu pengalaman kerohanian itu ia tidak ada nilai sebelum diuji dengan al-Quran dan as-Sunah. Jika pengalaman tersebut bersesuaian dengan al-Quran dan as-Sunah baharulah ia menjadi berharga dan boleh dipegang. Ketika seseorang itu masih diperingkat bayangan kerohaniannya masih belum matang dan dia belum mencapai kesempurnaan. Jika dia terus menerus di dalam bayangan, tinggalkan dia dengan alamnya sendiri. Tuhannya yang akan menjaganya. Ikutlah wali yang telah sampai kepada kesempurnaan jalan, beramal sesuai dengan cara Nabi Muhammad s.a.w.

Jangan sekali-kali melepaskan pandangan daripada Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda s.a.w.



Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: