6 Hakiki

16. Kejadian alam dan manusia
Apabila menyedari bahawa wujud alam dengan Wujud Tuhan tidak sedikit pun bersamaan, tidaklah mengelirukan jika dikatakan yang wujud alam adalah benar, nyata, stabil, ada kesinambungan kewujudannya dan dapat bertahan hingga ke akhirat. Wujud alam atau makhluk yang Tuhan ciptakan ini menjadi asas kepada kehidupan dunia yang sementara dan kehidupan akhirat yang abadi. Makhluk yang menerima nikmat wujud dan nikmat kesinambungan wujud dibekalkan dengan juga keupayaan untuk menerima bentuk zahir dan menjadi nyata serta memiliki bakat-bakat yang boleh memberi kesan. Jika ada orang mengatakan wujud makhluk hanyalah khayalan lantaran ia tidak berhakikat, maka perkataannya itu juga benar. Wujud makhluk menjadi khayalan jika dibandingkan dengan Wujud Tuhan, tetapi tidak wajar membandingkan wujud makhluk dengan Wujud Tuhan kerana Tuhan tidak boleh dibandingkan dengan sesuatu. Tuhan melampaui tahap wujud. Istilah Wujud digunakan untuk menceritakan tentang Tuhan kerana tidak ada istilah lain yang lebih sesuai. Kebenaran pada tahap penciptaan tidak sama dengan kebenaran pada tahap Pencipta. Bila dikatakan alam merupakan kewujudan yang benar ia tidak bermakna menyamakan darjah kebenaran wujud alam dengan darjah kebenaran Wujud Tuhan. Alam sangat berbeza dengan Tuhan. Walaupun alam lain daripada Tuhan namun kewujudan alam tidak membatasi Tuhan. Tidak mungkin terjadi pergeseran di antara Wujud Tuhan dengan wujud makhluk. Kewujudan makhluk tidak mungkin mengubah kedudukan Tuhan Yang Maha Esa.

Jika mahu dibuat sedikit gambaran sekadar menggerakkan kefahaman (keadaan yang sebenar tidak serupa dengan gambaran ini), bolehlah diibaratkan perbandingan Wujud Tuhan dengan wujud makhluk seumpama wujud manusia dengan kewujudan ilmu manusia itu. Walaupun manusia mencipta berjuta-juta benda di dalam ilmunya namun, kewujudan jutaan benda di dalam ilmu itu tidak mengubah dan mengganggu kedudukan manusia itu sendiri. Tidak mungkin benda di dalam ilmu berlaga dengan manusia yang mempunyai ilmu itu. Kewujudan manusia dengan kewujudan di dalam ilmu merupakan kewujudan yang berbeza yang tidak mungkin bergandingan, bersaing atau bersekutu.

Sekiranya manusia mengeluarkan kewujudan di dalam ilmunya kepada kenyataan di luar maka benda-benda yang diciptakan oleh manusia akan berada di dalam ruang yang sama dengan manusia. Tuhan menciptakan makhluk tidak dalam keadaan yang demikian. Apa juga yang Tuhan berkehendak menciptakan sudah ada dalam Ilmu-Nya. Penciptaan makhluk dipagari oleh Ilmu Tuhan. Setelah Tuhan menciptakan makhluk menurut suasana Ilmu-Nya, makhluk akan mengambil ruang yang tidak bergandingan, bersaing atau bersekutu dengan Tuhan, tidak seperti keadaan manusia mencipta benda-benda. Kewujudan dan kehadiran makhluk tidak mengganggu keesaan Tuhan. Hanya Tuhan yang berkuasa berbuat yang demikian. Itulah keunikan dan kemutlakan Kuasa Tuhan. Bila diceritakan tentang hubungan Tuhan dengan alam yang boleh dikatakan adalah Tuhan tidak ada di dalam alam, tidak ada diluar alam, tidak bersatu dengan alam dan tidak berpisah dengan alam. Begitulah konsep ketuhanan yang menggabungkan penafian dan pengisbatan.

Pandangan kaum sufi tentang alam berbeza-beza. Ada tiga pendapat yang popular mengenainya. Kumpulan pertama percaya bahawa alam ini wujud dan alam diciptakan oleh Tuhan. Apa juga keupayaan dan bakat yang ada pada alam dan sekalian makhluk adalah juga diciptakan oleh Tuhan. Mereka menganggap diri mereka seumpama kerangka kosong yang tidak memiliki apa-apa, tiada daya dan upaya, semuanya adalah milik Tuhan semata-mata. Kumpulan ini sangat dikuasai oleh suasana ‘ketiadaan’ sehingga mereka lupa kepada diri mereka dan alam sekaliannya. Keadaan mereka adalah seumpama orang halimunan yang menanggalkan pakaiannya lalu tidak ada apa-apa lagi yang kelihatan (pada alam perasaan mereka). Mereka serahkan semua pakaian kepada Pemilik pakaian dan tinggallah mereka dalam suasana ‘ketiadaan’ atau kefanaan. Kefanaan yang menguasai mereka menyebabkan hubungan mereka dengan ‘pakaian’ tidak ada lagi. Sekiranya mereka keluar daripada kefanaan, masuk kepada suasana kesedaran dan baqa dalam Tuhan, mereka akan menyedari bahawa pakaian ada dengan mereka. Mereka akan dapat menerima kehadiran pakaian beserta pengakuan bahawa Tuhan yang memiliki pakaian tersebut. Sufi kumpulan ini yang telah melepasi peringkat fana dan kembali kepada kesedaran semula, akan memiliki pengetahuan yang sebenar. Pada peringkat ini mereka akan bersetuju dengan pendapat Ahli Sunah wal Jamaah tentang alam. Ahli Sunah wal Jamaah memperolehi petunjuk dari al-Quran, as-Sunah dan ijmak ulama. Ahli sufi yang sampai kepada peringkat ini bersamaan dengan fahaman dan pegangan ulama. Jika ulama mencapai kefahaman dan pegangan melalui akal, sufi pula memperolehinya melalui kasyaf dan zauk yang benar. Mereka mengakui bahawa Tuhan tidak menyamai sesuatu. Oleh yang demikian mereka tidak mengadakan perbandingan atau penyatuan dengan Tuhan.

Sufi kumpulan ke dua berpendapat alam adalah bayangan Tuhan, semata-mata bayangan bukan yang sebenar. Alam bergantung wujud kepada Tuhan sebagaimana bayang bergantung kepada diri yang empunya bayang. Sufi kumpulan ke tiga berpegang kepada fahaman yang terkenal sebagai wahdatul wujud. Kumpulan ini percaya yang ada hanya satu wujud. Alam ini dikatakan hanyalah wujud yang tergambar dalam fikiran dan tanggapan, sedangkan sebenarnya alam tidak ada. Hakikat-hakikat tidak pernah menyata kepada kenyataan wujud. Hakikat adalah wujud yang satu pada martabat-martabat penurunan. Tuhan yang memiliki sifat-sifat yang wajib dan harus, serta ada pula peringkat-peringkat penurunan, maka walaupun dipandang sebagai banyak namun, sebenarnya hanyalah satu wujud sahaja. Wujud yang satu itulah yang merasai senang, susah, sakit dan sebagainya. Kewujudan yang lain dan nilai-nilai yang ada pada yang lain hanyalah wujud dan nilai khayali yang dibentuk oleh khayalan dan tanggapan semata-mata. Alam, syurga dan neraka hanyalah muncul dalam sangkaan. Fahaman kumpulan inilah yang paling digemari oleh orang yang menjadi sufi tiruan. Ketika sufi yang sebenar dikuasai oleh jazbah, zauk dan pengalaman kerohanian, hingga mereka tidak dapat membezakan yang benar dengan yang salah, sufi tiruan pula terjerumus ke dalam kekufuran dan kesesatan.

Sufi kumpulan pertamalah yang hampir dengan kenyataan al-Quran dan as-Sunah. Semakin jauh mereka meninggalkan kefanaan dan fenomena bayangan, maka semakin hampirlah mereka dengan kebenaran yang sejati. Apabila mereka kembali kepada kesedaran sepenuhnya, kebenaran dan kesesuaian mereka dengan al-Quran dan as-Sunah adalah jelas. Mereka mencapai kesempurnaan kebatinan kerana mereka mencapai kebenaran al-khafi (kesedaran batin) dan kebenaran al-akhfa (kesedaran batin yang paling dalam) yang bersamaan dengan Kebenaran Hakiki. Mereka mencapai Kebenaran Hakiki melalui pengalaman kerohanian. Sufi golongan ini sudah melepasi peringkat kesedaran yang tersembunyi (as-Sir). Sufi yang berfahaman wahdatul wujud pula, apabila mereka mencapai kefanaan pada peringkat Sir, mereka tidak dapat keluar dari peringkat tersebut dan mereka tidak memisahkan as-Sir daripada Yang Haq, tidak menafikannya. Sebaliknya mereka percaya bahawa as-Sir satu dengan Yang Haq, lalu mereka menyamakan diri mereka dengan Tuhan, mempercayai hanya Tuhan yang wujud, selain Tuhan tidak ada.

Alam yang diistilahkan sebagai mumkinul wujud (wujud yang mungkin) merupakan medan yang menyatakan ayat-ayat, dalil-dalil atau kenyataan nama-nama dan sifat-sifat Wajibul Wujud (Wujud yang wajib). Tetapi Zat Tuhan Yang Maha Esa, Maha Tinggi dan Maha Mulia tidak ada ayat, dalil, kenyataan atau pembalikan. Tidak ada satu pun dalam alam ini yang membalikkan atau yang ada penglibatan dengan Zat Tuhan. Tuhan Yang Maha Perkasa melampau apa juga penyifatan dan dalil. Tuhan melampau alam secara Mutlak, tidak terjangkau oleh akal fikiran ahli fikir, ilham ahli falsafah dan kasyaf ahli sufi. Nama-nama dan sifat-sifat yang dinisbahkan kepada Tuhan adalah berbeza. Alam memang ada perkaitan dengan nama-nama dan sifat-sifat tersebut, walaupun sebagai ayat-ayat dan dalil-dalil atau hanya pada nama dan bentuk sahaja. Alam tidak mempunyai zat atau hakikat, tidak berkedudukan sebagai ‘berdiri dengan sendiri’ atau Mutlak. Alam diciptakan tanpa sesuatu kecuali sebagai bentuk atau bekas yang menerima kesan dan pengaruh sifat-sifat dan nama-nama Tuhan. Zat atau hakikat mumkinul wujud (alam atau makhluk) adalah pembalikan atau kenyataan bagi sifat-sifat dan nama-nama Tuhan tetapi tidak sekali-kali serupa atau bersatu dengan Zat Tuhan Yang Mutlak dan Hakiki. Walaupun alam membalikkan Sifat dan Nama Wajibul Wujud namun alam itu bukanlah Wajibul Wujud dan bukan pula nama atau sifat Wajibul Wujud dalam ertikata yang sebenar. Pembalikan dan yang menyatakan tidak sama dengan yang sebenarnya. Perkaitan Wajibul Wujud dengan alam secara yang demikian dan kemutlakan Zat Wajibul Wujud menyebabkan timbul fenomena bayangan dalam pengalaman sufi dan bayangan tersebut berkekuatan memberi kesan kepada alam perasaan sufi menyebabkan timbul berbagai-bagai fahaman.

Peringkat pengalaman kerohanian, sebelum sampai kepada peringkat ‘bukan Tuhan’, hilang daripada pandangan, sufi akan mengalami hal yang memperlihatkan kepadanya alam tidak wujud. Pada masa yang lain pula dia melihat alam wujud. Pada masa yang lain lagi dia melihat alam tidak wujud pula. Ada pula masa lain yang dia mengalami suasana alam wujud. Keadaan yang bergilir-gilir ini berterusan sehingga sufi itu memperolehi fana sepenuhnya. Pada tahap ini sufi akan mengalami sepenuhnya suasana yang selain Tuhan tidak wujud. Pada pandangan sufi alam adalah seumpama satu ruang yang tiada kesudahan atau kekosongan yang berterusan.

Setelah melepasi peringkat fana dan memasuki peringkat baqa (kekal bersama Tuhan) dan kembali kepada dunia, kadang-kadang alam kelihatan dalam pandangannya dan kadang-kadang hilang. Pengalaman yang demikian membuatnya menyangka alam mengalami pembaharuan bentuk secara berterusan. Apabila dia mencapai kesempurnaan baqa dan kembali kepada dunia sepenuhnya, kewujudan alam menetap dalam pandangan dan kesedarannya. Dia dapat menyaksikan bahawa alam adalah wujud yang nyata dan stabil. Sufi yang sampai kepada tahap ini sudah layak membimbing orang lain. Mereka berkedudukan sebagai khalifah kerohanian yang berperanan membantu sufi lain yang masih di dalam perjalanan dan memberi petunjuk kepada orang ramai serta mengarahkan mereka kepada jalan Tuhan yang benar lagi lurus.

Khalifah kerohanian berbeza daripada pemerintah orang ramai. Adalah silap jika seorang yang menganggapnya dirinya sebagai khalifah kerohanian mencuba untuk merampas kuasa daripada pemerintah yang ada. khalifah kerohanian, walaupun arif dalam ilmu ketuhanan, itu tidak bermakna dia juga pakar dalam urusan pentadbiran negara, bidang politik, ekonomi dan lain-lain. Memang ada orang yang berkedudukan sebagai khalifah kerohanian dimasukkan oleh Tuhan kepada bidang pengkhususan yang melibatkan urusan orang ramai. Khalifah kerohanian yang berkenaan akan bergerak dalam bidang pengkhususan masing-masing sebagai wakil Tuhan menguruskan bidang tersebut. Ada yang mengambil bahagian sebagai khalifah dakwah, khalifah politik, khalifah ekonomi, khalifah pendidikan, khalifah sains dan teknologi, khalifah perang dan lain-lain. Khalifah-khalifah tersebut akan membawa kemenangan dan kegemilangan kepada umat Islam dalam bidang yang mereka uruskan. Khalifah perang akan membawa kemenangan kepada umat Islam dalam menentang musuh-musuh Islam. Sebelum tentera Muslim dipimpin oleh khalifah perang yang dilantik sebagai wakil Tuhan, kemenangan lebih berpihak kepada musuh. Sebelum ekonomi umat Islam dipimpin oleh khalifah ekonomi yang dilantik oleh Tuhan, sistem perekonomian akan tetap berkisar di sekitar sistem perekonomian tajaan Yahudi dan lain-lain dan umat Islam tidak mampu mengatasi kaum lain dalam bidang ekonomi. Begitu juga dengan bidang- bidang yang lain. Biasanya, khalifah Muslim yang khusus dalam sesuatu bidang itu dihantar oleh Tuhan tatkala umat Islam hampir-hampir mengalami kehancuran dalam bidang berkenaan. Khalifah yang paling sempurna muncul pada akhir zaman tatkala umat Islam mengalami kehancuran dalam semua bidang. Khalifah yang paling sempurna itu bergelar Imam Mahadi (Ketua Agung kepada khalifah-khalifah Muslim yang bertugas menyelamatkan umat manusia). Beliau akan muncul ketika hari kiamat benar-benar sudah hampir tiba. Oleh kerana khalifah-khalifah tersebut dilantik oleh Tuhan maka tidak ada kuasa makhluk yang mampu menjatuhkan atau mengalahkan mereka. Mereka akan memimpin umat Islam mencapai kemenangan, kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang-bidang yang mereka pimpin.

Sifat-sifat yang dinisbahkan kepada Tuhan, iaitu sifat-sifat Wajibul Wujud atau dipanggil juga sifat-sifat ketuhanan memegang kewujudan alam. Wujud alam pula menjadi bekas bagi menanggung kewujudan manusia. Manusia ada di dalam alam dan menjadi sebahagian daripada alam. Alam menjadi dalil, ayat, pembalikan dan kenyataan bagi nama-nama dan sifat-sifat Tuhan yang memegang kewujudan alam itu.

Bangunan alam maya berlapis-lapis, bertingkat-tingkat dan berperingkat-peringkat. Setiap tahap alam itu dikenali dengan istilah yang berbeza-beza menurut kefahaman yang muncul melalui fikiran, ilham dan kasyaf. Ada yang membahagikan alam kepada Alam Kabir dan Alam Saghir. Alam Kabir adalah alam maya keseluruhannya dan Alam Saghir dimaksudkan kepada kewujudan manusia. Ada pula yang membahagikan alam kepada Alam Malakut Atas, Alam Malakut Bawah, Alam Syahadah dan Alam Insan. Alam Malakut Atas adalah Alam Arwah (roh-roh) dan alam para malaikat. Alam Malakut Bawah adalah Alam Barzakh yang menjadi tempat persinggahan roh-roh yang telah berpisah daripada jasad. Alam Syahadah adalah alam bagi benda-benda, iaitu makhluk yang mempunyai badan, termasuklah makhluk ghaib berbangsa jin. Alam Insan pula adalah manusia. Ada juga orang yang menggunakan istilah Alam Arwah, Alam Misal, Alam Ajsam dan Alam Insan bagi menceritakan bangunan alam maya. Alam Arwah adalah perbendaharaan yang menyimpan segala bakat-bakat yang diperlukan bagi semua penciptaan makhluk dan kesinambungan kewujudan makhluk. Alam Misal adalah suasana kewujudan dalam bentuk rohani, tanpa tubuh atau benda. Alam Ajsam pula adalah suasana kewujudan rohani yang sudah memperolehi badan kebendaan atau tubuh. Alam Insan adalah manusia yang bergabung roh dengan jasad.

Satu peringkat alam menjadi ayat, dalil, pembalikan atau kenyataan bagi satu aspek nama dan sifat Tuhan. Satu-satu benda atau satu-satu perkara pada anasir alam mencerminkan sesuatu tentang nama dan sifat Tuhan. Alam secara keseluruhannya mencerminkan dengan lengkap tentang nama dan sifat Tuhan. Walaupun alam menjadi ayat atau dalil bagi nama dan sifat Tuhan namun itu bukan bermakna nama dan sifat Tuhan ada sempadan sebagaimana alam ada sempadan. Aspek Tuhan yang mengarah kepada alam iaitu nama dan sifat Wajibul Wujud menyata dengan lengkap pada kewujudan alam tetapi aspek Tuhan yang tidak ada hubungan dengan alam tidak ada kenyataan-Nya pada alam. Sebab itulah apabila sufi mencapai zauk Tuhan Yang Maha Tinggi, Maha Esa, sufi mengalami suasana alam tidak wujud, nama tidak wujud dan sifat juga tidak wujud. Dia memasuki suasana yang tidak ada atas atau bawah, tiada hadapan atau belakang, tiada kanan atau kiri, tiada ruang atau zaman, tidak ada nisbah kepada wujud atau tidak wujud. Pengalaman yang demikian membuat sufi memperolehi makrifat tentang Tuhan yang melampaui segala penyifatan, tiada sesuatu yang serupa dengan-Nya dan tiada sesuatu yang menyertai-Nya. Dia Maha Tinggi lagi Maha Suci daripada apa yang disifatkan dan dinisbahkan kepada-Nya. Dalam keadaan demikian jika keluar ucapan dari mulut sufi berkenaan akan muncullah ungkapan: “Sesungguhnya Aku adalah Allah! Tiada sesiapa yang menyertai Aku. Tidak ada yang ada melainkan Aku!”

Manusia adalah ciptaan Tuhan yang paling sempurna kerana pada kejadian manusia terkumpul secara lengkap segala ayat-ayat, dalil-dalil, pembalikan dan kenyataan nama dan sifat Tuhan. Makhluk lain hanya menjadi ayat kepada satu nama atau sifat Tuhan sahaja. Malaikat Izrail membawa kenyataan yang sempurna tentang nama al-Mumit dan sifat Tuhan Yang Berkuasa Mematikan. Izrail tidak membawa kenyataan tentang nama dan sifat Tuhan yang lain. Begitu juga dengan malaikat dan makhluk yang lain. Manusia pula boleh mempamerkan bakat-bakat atau kenyataan kepada nama dan sifat Tuhan Yang Menghidupkan, Mematikan, Memberi, Menolak, Mencipta, Membimbing, Menyesatkan dan sebagainya.

Pada diri manusia ada nilai-nilai kebaikan dan kejahatan dan ada pula keupayaan berkehendak dan membuat pilihan. Sifat berkehendak dan berkuasa membuat pilihan yang ada pada manusia menceritakan bahawa Wajibul Wujud memiliki Sifat-sifat Iradat dan Kudrat. Sifat-sifat mendengar, melihat, berkata-kata dan mengetahui menceritakan bahawa Wajibul Wujud mempunyai sifat-sifat Mendengar, Melihat, Berkata-kata dan Mengetahui. Pada diri manusia sudah ada nilai-nilai yang berguna buat mereka mengenali sifat-sifat Wajibul Wujud secara misal atau penyifatan. Pengenalan manusia tentang Wajibul Wujud lebih sempurna daripada makhluk yang lain. Al-Quran mengajarkan kepada manusia mengenai sifat-sifat Tuhan melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia sendiri, cuma manusia diperingatkan bahawa Tuhan melampaui segala bentuk penyifatan. Pengajaran cara demikian membuat manusia mengetahui Tuhan tanpa sesuatu pengetahuan yang konkrit dan mengenali Tuhan tanpa sesuatu pengenalan yang jelas. Fahaman, pengetahuan dan pengetahuan tentang Tuhan tertanam dalam hati yang paling dalam. Pada kesedaran tahap yang paling dalam itulah manusia memperolehi kefahaman yang hakiki, pengetahuan yang hakiki dan pengenalan yang hakiki. Dalam kefahaman yang hakiki fahaman bersatu dengan tidak faham. Dalam pengetahuan yang hakiki tahu bersatu dengan tidak tahu. Dalam pengenalan yang hakiki kenal bersatu dengan tidak kenal. Apabila dua perkara yang bertentangan telah bersatu akan lahirlah kesejahteraan (keislaman). Pada tahap itu orang arif hanya ada satu pilihan sahaja iaitu tunduk menyerah kepada Tuhan, tanpa takwil, tanpa hujah dan tanpa terka.

Nabi Muhammad s.a.w mampu menyampaikan pengajaran kepada para sahabat baginda s.a.w hingga kepada tahap kesedaran yang paling dalam. Sebab itulah pengajaran baginda s.a.w diterima dengan kemas, bulat, jelas dan sempurna. Para sahabat tidak memerlukan cara tambahan seperti bersuluk atau berkhalwat. Bagi umat yang datang kemudian pula, secara umumnya, guru mempunyai kekurangan dan kelemahan dalam menyampaikan dan murid pula lebih lagi lemah dan kurang dalam menerima pengajaran. Hijab yang menutupi kesedaran yang paling dalam itu sangat tebal. Guru tidak berupaya memecahkannya. Oleh yang demikian murid perlu menjalani latihan bagi memudahkan tugas guru menembusi hijab tersebut. Guru berkewajipan membimbing muridnya bagi membuka tutupan ke atas kesedaran dalamnya. Kemudian baharulah pengetahuan tentang kebenaran sejati boleh disampaikan kepada murid tersebut. Tanpa kesedaran dalaman murid akan membentuk khayalan dan sangkaan mengenai apa yang diajarkan oleh guru.

Banyak perguruan tarekat telah dibuka bagi membimbing orang-orang yang berminat dalam bidang kerohanian melatihkan diri, membuka hijab kesedaran dalaman dan seterusnya sampai kepada matlamat dengan selamat. Guru tarekat yang benar tidak memisahkan muridnya dengan syariat dan tidak mengadakan bidaah. Guru yang arif tidak mengajarkan kepada muridnya apa yang tidak layak diterima oleh murid itu. Guru yang demikian tidak menjadikan aliran tarekat sebagai jalan untuk meyakini doktrin wahdatul wujud dan juga bukan ditujukan untuk mendapat fana dan baqa. Jika murid ditarik kepada zauk, jazbah dan fana, guru berkewajipan memandu muridnya agar dapat melepasi peringkat tersebut dan sentiasa mengawasi muridnya agar tidak membuang syariat. Seseorang tidak perlu meyakini fahaman wahdatul wujud untuk mencapai tahap kesedaran dalaman. Kesedaran dalaman boleh muncul pada orang yang menetap pada jalan kehambaan, yang tidak ada fana dan bersatu dengan Tuhan. Kehambaan yang tidak terlepas daripada kesedaran seseorang membawanya kepada kebenaran yang lebih tinggi daripada yang diperolehi oleh orang yang terbalik pandangan. Tarekat juga tidak boleh dijadikan alat untuk mencari kekeramatan dan kelebihan keduniaan. Latihan kerohanian hendaklah dijuruskan kepada melahirkan ikhlas kerana ikhlas adalah pintu keluar bagi kesedaran dalaman.

Manusia haruslah sedar tentang bakat-bakat dan nilai-nilai yang Tuhan ciptakan sebagai sebahagian daripada kejadian manusia itu sendiri. Pada kejadian manusia sudah ada bakat berkehendak dan membuat pilihan. Usaha dan ikhtiar tidak menyalahi takdir kerana Tuhan telah menentukan sejak azali bahawa manusia memiliki bakat untuk berusaha, berikhtiar dan berkehendak. Tuhan juga mentakdirkan tindakan manusia mempunyai kesan. Pada kejadian manusia itu sudah ada bakat untuk melahirkan perbuatan. Perbuatan manusia termasuk di dalam ciptaan Tuhan tetapi bukanlah Tuhan yang menjadi Pelaku pada perbuatan manusia. Manusia, kehendaknya dan kuasanya melahirkan perbuatan adalah satu pakej yang diciptakan Tuhan yang dinamakan manusia. Fahaman yang mengatakan Tuhan sendiri yang menjadi Pelaku pada segala perbuatan manusia, dikenali sebagai tauhid af’al, hanyalah kenyataan bayangan yang muncul dalam pengalaman kerohanian sufi. Kebenaran bukanlah yang demikian. Ini tidak juga bermakna manusia berkuasa penuh terhadap takdirnya. Keadaan manusia adalah tidak diberi kuasa bulat-bulat dan tidak juga dipaksa sepenuhnya. Manusia bukan diikat dan bukan diberi kebebasan penuh. Kehendak dan kuasa manusia tidak bersifat Mutlak. Oleh itu terdapat halangan dan kekurangan pada kesan yang dihasilkan oleh kehendak dan kuasa manusia. Manusia hidup di dalam medan yang dipenuhi oleh kehendak dan kuasa yang muncul daripada berbagai-bagai makhluk dan kumpulan manusia sendiri. Berlaku pertembungan kesan kehendak dan kuasa seseorang manusia dengan yang muncul daripada manusia dan makhluk lain. Pertembungan tersebut menyebabkan berlaku perlawanan dan yang lebih kuat kesannya akan menang. Jadi, usaha manusia tidak boleh dilihat dalam sekop dirinya sahaja. Usahanya memberi kesan kepada usaha orang lain dan begitu juga sebaliknya. Begitulah yang muncul daripada makhluk yang bersifat tidak Mutlak. Agar tidak berlaku kacau-bilau kepada perjalanan alam akibat perlumbaan kehendak dan kuasa makhluk, pengurusan daripada Kuasa Mutlak adalah sesuatu yang wajib. Tuhan yang memiliki Kuasa Mutlak mentadbir perjalanan alam ini.

Dalam kehidupan manusia juga ada dasar pentadbiran. Manusia umum mengadakan usaha dan manusia tertentu membuat pentadbiran. Akibatnya ada usaha yang berhasil dan ada juga yang gagal. Walaupun konsep pentadbiran wujud dalam kehidupan manusia namun manusia tidak boleh menolak tindakan untuk berusaha. Begitu juga dengan konsep pentadbiran Tuhan. Walaupun Tuhan memiliki Kuasa Mutlak namun dasar usaha makhluk tidak boleh dinafikan. Tuhan mengajarkan manusia supaya beramal, berbuat yang baik, menjauhi yang jahat, tidak sengaja menjatuhkan diri ke dalam kebinasaan dan lain-lain yang menunjukkan kepada perakuan dasar berusaha dan bertindak. Walaupun begitu manusia diperingatkan bahawa kemutlakan hanyalah hak Tuhan. Oleh yang demikian usaha tidak boleh dipisahkan daripada iman iaitu sabar, syukur, tawakal dan reda.

17. Hadrat Ilahi
Tuhan melampaui segala sesuatu. Tidak ada satu pun perbuatan manusia yang memberi kesan kepada Tuhan. Tidak ada kebaktian manusia yang sampai kepada Tuhan. Tidak ada doa dan rayuan manusia yang boleh masuk ke dalam majlis keesaan Tuhan. Jadi, dalam menyembah Allah s.w.t adakah manusia hanyalah sebuah robot yang berdiri, rukuk dan sujud? Adakah dalam melakukan kebaktian kepada Allah s.w.t manusia hanyalah sebuah jentera yang bergerak? Apakah kerana Allah s.w.t melampaui segala sesuatu maka tidak ada sebarang cara perhubungan hamba dengan-Nya?

Seorang lelaki bekerja mencari batu-batu permata di dalam gua. Satu hari, ketika dia sedang asyik mengumpulkan batu-batu permata, tiba-tiba muncul seekor ular besar di hadapannya. Dia ketakutan dan lari sekuat-kuat tenaganya. Sejak kejadian itu setiap kali dia melihat kepada gua dia akan ‘ternampak’ ular besar. Kehadiran ular besar menguasai hatinya.

Dua orang lelaki bersahabat baik dan saling berkasih sayang. Suatu hari, salah seorang daripada mereka meninggal dunia. Sahabat yang masih hidup itu sering mengunjungi anak sahabatnya yang telah meninggal itu. Lelaki itu ‘melihat’ kehadiran sahabatnya pada si anak itu.

Dalam sebuah negeri ada seorang perempuan pelacur yang sangat cantik, menawan, memberahikan dan mempesonakan sebarang lelaki yang memandang kepadanya. Tidak ada lelaki yang dapat menahan keinginannya apabila melihat perempuan tersebut. Setiap hari perempuan itu akan menunggu pelanggannya dengan mempamerkan wajahnya di jendela rumahnya. Lelaki yang melintasi rumahnya pasti akan berhenti apabila melihat kepadanya. Perempuan itu tidak pernah kecewa menarik lelaki kepadanya. Pada suatu hari lalu seorang lelaki salih dihadapan rumahnya. Lelaki salih itu adalah seorang ahli ibadat yang tidak pernah berbuat maksiat. Secara tidak sengaja lelaki salih itu terpandang kepada perempuan tadi. Seperti besi di tarik oleh besi berani kaki lelaki salih itu berjalan ke arah rumah perempuan tersebut dan masuk ke dalamnya. Perempuan itu bersedia melayaninya. Lelaki salih itu pun sudah ada keinginan terhadap perempuan cantik itu. Tetapi sebaik sahaja lelaki salih itu menyentuh perempuan itu, tangan lelaki salih itu tiba-tiba menggeletar. Tubuhnya menggigil dan mukanya pucat. Perempuan itu berasa hairan lalu menanyakan keadaan tersebut. Salih itu memberitahu perempuan itu bahawa Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya. Dia sangat takutkan Tuhan. Penyaksiannya terhadap Tuhan itulah yang menjadikan sekalian tubuhnya menggigil dan mukanya pucat. Kehadiran Tuhan menguasai hatinya.

Al-Quran menceritakan tentang peristiwa yang di alami oleh Nabi Yusuf a.s.

Dan sebenarnya perempuan itu telah berleinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu; kalaulah tidak ia menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang ikhlas (dibersihkan dari segala dosa). ( Ayat 24 : Surah Yusuf )

Pada saat yang genting itu Nabi Yusuf a.s menyaksikan kehadiran Tuhannya. Kehadiran Tuhan yang dialami oleh hati itu diistilahkan sebagai Hadrat Ilahi. Hamba-hamba yang ikhlas dengan Allah s.w.t, yang telah dipersucikan, dikurniakan makam ihsan, iaitu menyaksikan Hadrat Tuhan atau merasai kehadiran-Nya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sembahlah Tuhanmu seolah-olah kamu melihat-Nya. Sekalipun kamu tidak melihat-Nya, ketahuilah Dia melihat kamu”. Hamba-hamba yang ikhlas dan dipersucikan menyembah Allah s.w.t dalam keadaan hati mereka merasai kehadiran Allah s.w.t. Suasana hati yang demikian dikatakan hati menyaksikan Hadrat Ilahi. Itulah ihsan.

Banyak ayat-ayat al-Quran yang menceritakan tentang Hadrat Tuhan. Tuhan berfirman:

Allah jualah nur bagi semua langit dan bumi ( Ayat 35 : Surah an-Nur )

Ke mana sahaja kamu menghadap muka kamu di sana ada Wajah Allah. Sesungguhnya Allah itu Maha Luas, Maha Mengetahui. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )

Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )

Dan Dia beserta kamu walau di mana kamu berada. Dan Allah melihat apa yang kamu kerjakan. ( Ayat 4 : Surah al-Hadiid )

Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar tatkala kamu melempar, tetapi Allah yang melempar. (Ayat 17 : Surah al-Anfaal)

Kalimah yang sering diucapkan: “Laahau laa walaakuuwataillah billah”- tiada daya dan upaya melainkan beserta Allah” adalah peringatan kepada Hadrat Ilahi: Hadrat-Nya Mendengar; Hadrat-Nya Melihat; Hadrat-Nya beserta makhluk-Nya; Hadrat-Nya menerangi langit dan bumi; Hadrat-Nya menghadap kepada hamba yang menyembah-Nya; Hadrat-Nya bersemayam di atas Arasy dan lain-lain. Tidak ada satu keadaan, ruang atau zaman yang makhluk boleh terlepas daripada Hadrat-Nya yang menguasai sekalian makhluk: “Laahau laa walaakuuwataillah billah” walau siapa sekalipun makhluk itu. Carilah satu tempat yang paling tersembunyi yang tidak dapat dilihat oleh-Nya, jika kamu boleh melepasi Hadrat-Nya. Lakukan satu perbuatan yang tidak memerlukan daya dan upaya yang dari-Nya, jika kamu boleh bebas daripada Hadrat-Nya. Tidak mungkin, sekali-kali tidak mungkin, kerana Hadrat Allah s.w.t meliputi sekalian alam, meliputi segala sesuatu, membatasi segala kejadian.

Dia yang telah menciptakan semua langit dan bumi dalam enam masa; kemudian itu Dia bersemayam di Arasy. Dia mengetahui apa yang masuk ke dalam bumi dan apa yang keluar daripadanya; dan apa yang diturunkan dari langit serta apa yang naik padanya. Dan Dia tetap bersama-sama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah Maha Melihat apa sahaja yang kamu kerjakan. Kepunyaan-Nya segala kekuasaan di semua langit dan bumi; dan kepada Allah akan kembali segala urusan. ( Ayat 4 & 5 : Surah al-Hadiid )

Tidak ada satu suasana pun yang terlepas daripada kehadiran atau Hadrat Tuhan, tetapi jarang sekali penghayatan terhadap yang demikian menguasai hati nurani manusia, walaupun mereka mempunyai pengetahuan mengenainya. Manusia mengetahui bahawa Tuhan Melihat dan Mendengar tetapi mereka tidak malu melakukan maksiat di hadapan Hadrat Tuhan Yang Melihat dan Mendengar. Manusia tahu Hadrat Tuhan sentiasa bersama-nya, tetapi masih lagi takut apabila mereka berada di tempat sunyi sendirian. Akal fikiran yang melahirkan pengetahuan tidak mampu berhubung dengan suasana Hadrat Ilahi. Hatilah yang berhubung dengan Hadrat Allah s.w.t kerana hati yang boleh diisi dengan iman. Semakin kuat iman semakin kuat suasana Hadrat Ilahi menguasai hati. Apabila sampai kepada satu peringkat, hati menjadi sebati dengan suasana Hadrat Ilahi. Lahirlah rasa malu dan gerun kepada Tuhan kerana dia merasai kehadiran Tuhan Melihat perbuatannya dan Mendengar perkataannya dan bisikan hatinya.

Suasana Hadrat Ilahi yang dirasakan atau dialami berbeza dari seorang manusia dengan manusia yang lain dan juga pada satu tempat dengan tempat yang lain. Tuhan sendiri menentukan tempat-tempat yang kehadiran-Nya boleh dirasakan lebih kuat daripada tempat-tempat yang lain. Di atas muka bumi ini tempat yang ditentukan oleh Tuhan sebagai tempat yang paling kuat menerima Hadrat-Nya adalah di Baitullah, Tanah Haram Makkah. Orang yang sudah menziarahi semua tempat di atas muka bumi akan mendapati tidak ada tempat untuk merasai kehadiran Allah s.w.t melebihi apa yang dirasakan pada sisi Kaabatullah. Selain Makkah tempat-tempat yang boleh dirasakan kehadiran Tuhan yang kuat adalah Madinah, Baitul Maqdis, Madyan, Bukit Thursina dan Baitulehem. Rasa kehadiran Tuhan pada tempat-tempat yang lain berlebih kurang menurut kadar yang ditentukan oleh Allah s.w.t dan bergantung kepada hati seseorang insan.

Oleh kerana pada sisi Kaabah insan dapat merasakan kehadiran Tuhan secara maksima, maka Kaabah menjadi Kiblat manusia menyembah Allah s.w.t. Walaupun kehadiran Tuhan di sana begitu kuat namun Tuhan bukan berada dalam Kaabah dan bukanlah Kaabah itu Tuhan. Apabila berdiri pada sembahyang menghadap kepada Kaabah bukan bermakna Kaabah yang disembah atau Kaabah dijadikan misal Tuhan. Dada menghadap Kaabah tetapi hati menghadap Allah s.w.t, Tuhan kepada manusia, hati manusia dan Kaabah. Walau di mana pun berdiri menghadap Kaabah hati menghayati suasana Hadrat Ilahi yang sekuat di Kaabah.

Mengapa Tuhan memilih Kaabah untuk menyatakan Hadrat-Nya yang paling kuat di atas muka bumi? Tuhan berbuat menurut kehendak-Nya, tidak tertakluk kepada hujah manusia. Muslim tunduk menyerah kepada kehendak Tuhan. Tuhan memerintahkan supaya menjadikan Kaabah sebagai Kiblat. Muslim menerima perintah Tuhan itu dengan patuh dan ikhlas melaksanakannya. Menolak sembahyang atau menolak Kaabah sebagai Kiblat membuatkan seseorang itu menjadi kufur.

Pada Alam Langit-langit pula tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan adalah Baitul Makmur. Kedudukan Baitullah kepada manusia sama dengan kedudukan Baitul Makmur kepada malaikat. Seramai tujuh puluh ribu malaikat memasuki Baitul Makmur setiap hari. Sekali memasuki mereka tidak keluar lagi sampai ke hari kiamat.

Pada sekalian alam atau semua kejadian Tuhan, tempat yang paling kuat menerima Hadrat Tuhan berada di Arasy, iaitu tempat Nabi Muhammad s.a.w menerima perintah sembahyang lima waktu sehari semalam. Hanya Nabi Muhammad s.a.w seorang sahaja yang pernah sampai di sana. Jibrail a.s tidak sampai ke tempat tersebut.

Terdapat perbezaan kekuatan suasana Hadrat pada tempat-tempat yang diberkati Allah s.w.t. Kaabah diistilahkan sebagai Rumah Allah, Baitul Makmur pula Rumah Yang Aman Sentosa dan Arasy adalah Takhta Kerajaan. Bolehlah diibaratkan Kaabatullah sebagai Negeri Hadrat, Baitul Makmur sebagai Istana Hadrat dan Arasy sebagai Takhta Hadrat (ibarat ini hanyalah perbandingan sekadar untuk kefahaman). Nabi Muhammad s.a.w memulakan perjalanan baginda s.a.w daripada Baitullah. Baginda s.a.w Mikraj ke Baitul Makmur dan kemudian diangkat ke Arasy, tempat perjalanan yang paling tinggi. Pada Baitullah Rasulullah s.a.w menerima kedatangan Jibrail a.s. Dalam suasana Baitullah manusia menerima suasana Hadrat dalam keadaan manusia dihijab oleh cahaya malaikat. Keadaan ini perlu kerana manusia umum tidak dapat bertahan menerima suasana Hadrat tanpa hijab malaikat. Pada Baitul Makmur pula makhluk dihijab dari suasana Hadrat oleh cahaya Arasy. Pada Arasy pula Hadrat tidak terhijab, sebaliknya Hadrat itu sendiri yang menjadi hijab, melindungi makhluk daripada kehebatan Keagungan Allah s.w.t. Di Arasy, dalam suasana tidak terhijab daripada Hadrat Tuhan, Nabi Muhammad s.a.w menerima firman Tuhan tanpa perantaraan. Walaupun tanpa perantaraan Nabi Muhammad s.a.w mendengar Kalam Tuhan di sebalik hijab, iaitu Hijab Hadrat atau hijab ketuhanan, bukan hijab cahaya malaikat atau yang lain.

Dan tidaklah terdapat seorang manusia pun yang Allah berkata-kata dengannya, kecuali dengan wahyu atau dari belakang hijab atau dikirim-Nya utusan, lalu dia mewahyukan dengan izin-Nya apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya Dia adalah Maha Tinggi, Maha Bijaksana. (Ayat 51 : Surah asy- Syura )

Nabi Musa a.s telah mendengar perkataan Tuhan dari sebalik hijab tanpa Allah s.w.t memperlihatkan Diri-Nya. Oleh kerana terlalu asyik mendengar Kalam Tuhan, Nabi Musa a.s teringin untuk melihat-Nya.

Dan tatkala Musa datang di waktu (yang) Kami (tentukan itu) dan Tuhannya Berkata-kata dengannya, berkatalah dia: “Hai Tuhanku! Tunjukkanlah Diri-Mu kepadaku supaya aku lihat Engkau. ( Ayat 143 : Surah al-A’raaf )

Permintaan Nabi Musa a.s itu dijawab oleh Tuhan:

Dia berfirman: “Sekali-kali engkau tidak akan dapat melihat Aku, tetapi lihatlah kepada gunung itu, jika ia tetap pada tempatnya maka engkau akan melihat Daku!” Tatkala Tuhannya mentajallikan kepada gunung maka hancurlah ia dan tersungkurlah Musa pengsan. Setelah dia sedar berkatalah dia: “Maha Suci Engkau, dan aku adalah yang pertama sekali beriman”. (Ayat 143 : Surah al-A’raaf )

Jika Kalam Tuhan didengar disebalik hijab, melihat Tuhan juga di sebalik hijab, iaitu melihat Hadrat-Nya, merasakan kehadiran-Nya dengan iman, dengan penuh keyakinan. Nabi Musa a.s mendengar perkataan Tuhan di Gunung Thursina dan meminta untuk melihat-Nya. Nabi Muhammad s.a.w mendengar perkataan Tuhan di Arasy, tetapi Nabi Muhammad s.a.w tidak meminta untuk melihat-Nya. Setelah kembali ke Makkah baginda s.a.w ditanya oleh Abu Zarr adakah baginda s.a.w telah melihat Allah s.w.t? Baginda s.a.w menjawab: “Semuanya cahaya, bagaimana aku dapat melihat-Nya”. Hijab ketuhanan yang meliputi makhluk menyebabkan tidak mungkin makhluk melihat-Nya secara terang-terangan sebelum berlaku kiamat.

Manusia dapat mengalami Hadrat Ilahi kerana Dia memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-Nya, melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia sendiri.

Dan pada diri kamu apakah tidak kamu perhatikan? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat)

Nilai-nilai yang ada dengan manusia mengajar kepada manusia mengenai aspek tasybih Tuhan. Bakat yang ada dengan manusia membolehkan manusia berhubung dengan Tuhan. Manusia mempunyai bakat yang istimewa ini kerana manusia ada perkaitan dengan roh.

(Ingatlah) tatkala Tuhan engkau berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku hendaklah kamu meniarap kepadanya dalam keadaan sujud”. ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )

Maha Luhur darjat-Nya, Yang Empunya Arasy. Dia turunkan roh dari urusan-Nya kepada barangsiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )

Seterusnya Allah s.w.t berfirman:

Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )

Dan mereka bertanya kepada engkau tentang Roh. Katakanlah: “Roh itu adalah urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit”. ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )

Hati nurani atau rohani manusia ada perkaitan dengan roh yang termasuk dalam kategori urusan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t menjadi nur yang memberi petunjuk kepada manusia. Hati nurani yang diterangi oleh nur ini akan terpimpin kepada jalan Allah s.w.t. Roh urusan Allah s.w.t itulah memungkinkan segala urusan sampai ke Hadrat-Nya. Amalan, doa, rayuan dan apa sahaja yang manusia lakukan sampai kepada Allah s.w.t kerana roh urusan Allah s.w.t. Bagaimana semua itu terjadi tidak dapat diterangkan kerana manusia diberi sedikit sahaja ilmu mengenai roh urusan Allah s.w.t itu. Dengan ilmu yang sedikit itulah manusia mencuba menggerakkan kefahaman mengenainya.

Tuhan mengajar manusia melalui nilai-nilai yang ada pada diri manusia sendiri. Manusia wujud, hidup, mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak dan berpengetahuan. Melalui nilai-nilai tersebut Tuhan mengatakan Dia Wujud, Hidup, Mendengar, Melihat, Berkata-kata, Berkehendak dan Berilmu. Oleh kerana manusia memiliki unsur seni yang diistilahkan sebagai roh, maka Allah s.w.t menggunakan istilah roh juga agar mudah manusia memahami tentang roh urusan Tuhan. Tetapi manusia jangan lupa apa yang dinisbahkan kepada Tuhan melampaui segala sesuatu, melampaui bahasa dan pengetahuan, melampaui penyifatan dan ibarat dan tidak ada sesuatu yang serupa dengan apa yang dinisbahkan kepada-Nya. Tuhan bukakan ilmu mengenai ini sedikit sahaja, hanya sekadar mencukupi untuk membuat manusia beriman mengenainya.

Roh manusia yang ada perkaitan dengan tiupan Roh Allah s.w.t adalah sesuatu yang sangat unik dan istimewa. Adam a.s yang diciptakan daripada tanah berkeadaan seperti mayat sehinggalah beliau a.s menerima tiupan Roh Allah s.w.t. Kesan daripada tiupan Roh Allah s.w.t dinamakan Roh Insan yang padanya terkumpul segala bakat-bakat yang diperlukan oleh manusia, seperti bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Tiupan Roh Allah s.w.t menjadikan manusia hidup dan mempunyai daya dan upaya. Tiupan Roh Allah s.w.t juga melahirkan nafsu dan akal yang berguna bagi mengarahkan perjalanan kehidupan dan penggunaan bakat-bakat yang ada dengan manusia. Apabila keupayaan untuk hidup, bakat-bakat, nafsu dan akal berkumpul dan bersatu dengan jasad jadilah ia seorang manusia yang cukup sifat dan sempurna kejadiannya. Ia menjadi makhluk yang berjasad dan berhati nurani atau dikatakan juga manusia yang memiliki aspek zahir dan aspek batin. Aspek zahir manusia umpama mayat dan aspek batinnya umpama malaikat. Ketika Adam a.s berada di dalam syurga aspek zahirnya tidak menyerlah, kurang pengaruhnya. Pada tahap itu kedudukan Adam a.s sama dengan malaikat. Setelah Adam a.s dihantar ke dunia aspek zahirnya berada di dalam suasana yang sesuai dengannya. Aspek zahir menjadi kuat dan cuba mempengaruhi aspek batin agar tunduk kepada keinginannya. Manusia pada aspek mayat tidak lagi menumpang aspek malaikat, malah ia cuba menggunakan aspek malaikat untuk memenuhi kepentingan dan keperluannya. Mungkin juga kerana ia menyedari yang ia akan kembali menjadi mayat, sedangkan aspek malaikat akan terus hidup, maka apa sahaja yang dia ingini mesti diperolehi sekarang, jangan bertangguh-tangguh lagi.

Bakat-bakat manusia seperti mendengar dan melihat dimiliki oleh kedua-dua aspek manusia iaitu zahir dan batin. Oleh kerana pengaruh zahir lebih kuat maka bakat aspek batin tidak mampu digunakan oleh manusia. Hijab zahiriah terlalu kuat sehingga manusia tidak mampu menyaksikan perkara-perkara ghaib, apa lagi hal-hal ketuhanan. Manusia seperti ini tidak dapat merasakan kehadiran Tuhan. Apabila terhijab daripada kehadiran Tuhan, amal ibadat yang dilakukan tidak memberi kesan dan tidak mampu melindungi manusia daripada terjerumus ke dalam kejahatan.

Manusia dapat mengalami suasana Hadrat Tuhan (kehadiran Tuhan) apabila bakat-bakat rohnya berfungsi. Roh manusia sangat istimewa. Roh yang Tuhan kurniakan kepada manusia menyebabkan manusia boleh mengenal Tuhan apabila Tuhan mengajar mereka mengenali-Nya melalui bakat-bakat dan nilai-nilai yang ada dengan mereka sendiri.

Keajaiban yang dimiliki oleh roh menyebabkan ada manusia yang salah mengerti tentang roh mereka. Mereka beranggapan roh itulah Tuhan, penjelmaan Tuhan atau Tuhan adalah batin (nyawa) kepada roh. Diri, roh dan Tuhan dikatakan yang sama. Fahaman ini adalah sesat dan kufur. Tuhan mengajar manusia mengenali-Nya melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia bukan untuk menyesatkan manusia dengan akal dan khayalan mereka. Manusia mempunyai sifat melihat. Tuhan mengatakan Dia Melihat. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh bukanlah Penglihatan Tuhan. Ke dua-duanya tidak sama dan tidak serupa. Penglihatan manusia dan juga penglihatan roh adalah ciptaan Tuhan. Tuhan boleh menciptakan penglihatan untuk manusia dan roh kerana Dia memiliki Penglihatan. Oleh kerana Dia yang memiliki Penglihatan maka Dia tahu bagaimana mahu menciptakan penglihatan. Tuhan berpengetahuan dalam menciptakan penglihatan untuk makhluk-Nya. Jika Tuhan tidak memiliki Penglihatan maka Tuhan menciptakan penglihatan makhluk dalam kejahilan. Keadaan ini adalah mustahil bagi Tuhan. Tuhan Maha Tahu tentang apa yang diciptakan-Nya kerana setiap nilai dan bakat yang diciptakan-Nya dimiliki-Nya sendiri secara Mutlak. Nilai Mutlak yang dimiliki oleh Tuhan menyebabkan Dia boleh mengadakan nilai-nilai tersebut yang tidak Mutlak. Oleh kerana itu tiada hujah bagi manusia mengatakan Tuhan tidak melihat perbuatan mereka kerana Tuhan memiliki Penglihatan Mutlak. Penglihatan Mutlak menyaksikan apa sahaja yang dipandang oleh penglihatan yang tidak Mutlak. Tidak mungkin penglihatan yang tidak Mutlak memandang tanpa penyaksian Penglihatan Mutlak.

Tuhan juga memiliki Roh Mutlak, lantaran itu Dia boleh mengadakan roh yang tidak Mutlak untuk manusia. Pendengaran, Penglihatan dan lain-lain adalah bakat Roh Mutlak. Roh tidak Mutlak juga memiliki bakat-bakat mendengar, melihat dan lain-lain. Keadaan yang demikian menyebabkan orang sufi sering mengatakan insan diciptakan dengan bayangan ar-Rahman. Ungkapan yang demikian melahirkan kefahaman yang insan adalah bayangan Tuhan. Sebenarnya bakat manusia tidak boleh dihubungkan dengan bakat Tuhan seperti menghubungkan bayang dengan yang empunya bayang. Wujud manusia dan sifat manusia tidak bertembung dengan Wujud Tuhan dan sifat Tuhan. Roh manusia bukanlah Roh Tuhan. Roh menggambarkan bakat-bakat yang banyak berkumpul dalam kesatuan. Bakat-bakat mendengar, melihat, berkata-kata, berkehendak, berkuasa, berpengetahuan dan hidup adalah bakat yang satu iaitu roh. Apabila disebut roh ia meliputi semua bakat dan nilai. Apabila Bakat-bakat yang demikian dilihat pada suasana ketuhanan, maka suasana tersebut dinamakan Kudrat. Istilah Roh Tuhan adalah satu bentuk pengajaran Tuhan kepada manusia melalui nilai yang ada dengan manusia sendiri, supaya mudah manusia memperolehi kefahaman. Orang yang menyamakan rohnya dengan Roh Tuhan dan menyamakan dirinya dengan Tuhan wajiblah bertaubat sebelum nyawa sampai di halkum. Yakinlah hamba tetap hamba dan Tuhan tetap Tuhan, tidak ada kamil berkamil, satu bersatu, sama menyama. Bertaubatlah daripada iktikad yang salah!

Suasana Hadrat yang di alami oleh hati nurani dikenali sebagai hakikat atau hal ketuhanan. Hakikat dialami dalam dua keadaan. Dalam keadaan yang pertama orang yang mengalaminya tidak sedarkan kewujudan dirinya dan dalam keadaan yang ke dua pula pengalaman hakikat tidak mencabut kesedaran dan kehambaannya. Misalnya, dalam satu pengalaman hakikat, orang yang hilang kesedaran mengucapkan: “Ana al-haq! (Akulah Tuhan)”, tetapi orang yang menetap dalam kesedaran dan kehambaan yang mengalami hakikat yang sama mengucapkan: “Hua al-Haq! (Dia jualah Tuhan)”. Jenis pertama merasakan dia menjadi Tuhan. Jenis ke dua mengenali apa yang dimaksudkan sebagai Tuhan. Yang pertama hilang kesedaran diri lalu mengaku menjadi Tuhan. Yang ke dua pula mengenali Tuhan sebagai Tuhan dan hamba sebagai hamba. Jenis pertama dikurung oleh bayang dan mendapati sukar untuk melepasi peringkat itu. Jenis ke dua menetap di atas kenyataan yang benar dan lebih mudah untuk sampai kepada Kebenaran Hakiki.

Allah s.w.t mempunyai satu Hadrat bernama ar-Rahman. Orang yang hilang kesedaran masuk kepada bayangan ar-Rahman lalu merasakan dirinya adalah ar-Rahman. Dia merasakan dirinya sangat pemurah, mahu mengabulkan apa sahaja yang orang minta. Tetapi ‘ar-Rahman’-nya hanyalah bayangan. Oleh itu apa yang boleh diberinya juga adalah bayangan iaitu pengharapan dan angan-angan. Orang yang menemui Hadrat ar-Rahman dalam kesedaran mengalami hal yang berbeza. Dia tidak diganggu oleh bayangan. Dia mengalami suasana kesucian yang Maha Suci, kebesaran yang Maha Besar, keagungan yang Maha Agung. Pada ketika itu dia merasakan setiap zarah kewujudannya sama seperti debu tepung. Apabila berhadapan dengan Tuhan ar-Rahman dia merasakan setiap zarah kewujudannya relai seumpama debu tepung ditiup angin kencang. Bila dia keluar daripada pengalaman tersebut dia mendapat pengertian tentang keagungan Tuhan ar-Rahman. Dia mengerti keadaan hancurnya Gunung Thursina tatkala Tuhan hadapkan keagungan-Nya ke sana. Dia mengerti maksud perkataan Jibrail a.s: “Jika aku melangkah satu langkah lagi cahaya keagungan Allah s.w.t akan membakar daku”. Dia mengerti maksud perkataan Rasulullah s.a.w: “Cahaya di mana-mana, bagaimana aku boleh melihat-Nya”.

Orang yang menetap dalam kehambaan mengalami hakikat dan memperolehi makrifat melalui pengalaman, bukan sekadar melalui ilmu. Ketika merasakan zarah kewujudannya tertanggal satu-satu dia mengenal Tuhan yang boleh dikenal. Setelah zarah-zarah kewujudannya ‘diterbangkan angin kencang’ dan ‘hilang’, dia mengenali Tuhan yang melampaui segala pengenalan. Lalu dia mendapat pengertian bahawa yang benar-benar kenal Tuhan adalah Tuhan sendiri. Hanya Dia yang mengenali Diri-Nya. Kami mengenali-Nya melalui-Nya, sekadar yang Dia izinkan kami mengenali-Nya. Pengalaman hakikat cara demikian menggabungkan tahu dengan tidak tahu, faham dengan tidak faham dan kenal dengan tidak kenal.

Perkara yang sering menimbulkan kekeliruan orang ramai adalah persoalan Qadak dan Qadar. Qadak dan Qadar berhubung dengan Ilmu Tuhan atau suasana Pentadbiran Tuhan. Ada orang yang Tuhan izinkan ‘masuk’ ke dalam suasana Ilmu-Nya. Apa yang ditemui pada Hadrat Ilmu Tuhan adalah hakikat-hakikat yang menguasai perjalanan alam. Hakikat atau urusan Tuhan yang berhubung dengan manusia dinamakan Hakikat Insan. Urusan Tuhan yang berhubung dengan alam dinamakan Hakikat Alam. Urusan yang mencakupi segala perkara dinamakan hakikat kepada hakikat-hakikat atau hakikat yang menyeluruh. Pengalaman hakikat-hakikat pada Hadrat Ilmu Tuhan membawa seseorang kepada jalan yang menggabungkan dua jalan iaitu jalan nabi dan jalan asma’. Jalan nabi adalah syariat iaitu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan dan mengabdikan diri kepada-Nya.

Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu. ( Ayat 56 : Surah adz-Dzaariyaat )

Jalan asma’ adalah menyaksikan Rububiah (ketuhanan) pada setiap masa dan dalam semua suasana.

Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Tidak ada satu pun yang melata melainkan Dia jualah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku adalah di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )

Bukan kamu yang membunuh mereka tetapi Allah jualah yang membunuh mereka. Dan bukan kamu yang melempar ketika kamu melempar tetapi Allah jualah yang melempar. ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal ) Jalan syariat memperbaiki amal dan jalan asma’ atau jalan hakikat adalah menyaksikan Hadrat Ilahi dalam segala perkara dan pada semua suasana. Bila dua jalan berpadu lahirlah amal zahir dan amal batin yang sesuai dengan peraturan dan kehendak Allah s.w.t, mengambil Qadak dan Qadar melalui nilai-nilai yang ada dengan manusia, berusaha dan beramal, dan pada masa yang sama beriman dan bertawakal kepada Tuhan yang memegang perjalanan segala urusan. Tidak ada sesuatu yang bebas daripada hakikat ketuhanan yang menguasainya

19. Kehidupan dunia
Roh Insan yang sangat suci hanya menyata apabila ia dibaluti oleh jasad dan bakatnya hanya menonjol apabila ia ditempatkan di dalam dunia. Ketika Adam a.s mendiami syurga bakat kekhalifahannya tidak menyata. Setelah dimasukkan ke dalam dunia baharulah nyata Adam a.s sebagai khalifah Tuhan. Keturunan Adam a.s juga menanggung kewajipan kekhalifahan itu di dalam dunia ini juga. Di dalam dunia yang sangat luas ini Adam a.s dan keturunannya ditempatkan pada satu tempat yang bernama bumi. Kehidupan di dunia dengan kehidupan di bumi adalah perkara yang sama bagi Adam a.s dan keturunannya. Kehidupan dunia ini adalah satu-satunya peluang untuk manusia. Manusia tidak diberi peluang yang kedua kali.

Dan barangsiapa yang buta di sini, maka di akhirat pun dia buta dan lebih sesatlah jalannya.
( Ayat 72 : Surah al-Isra’ )

Bukan buta mata di kepala tetapi buta mata pada hati. Jika ketika hidup di dalam dunia tidak menemui jalan kembali kepada Tuhan, sesudah matinya pun tidak menemui jalan. Kesesatan jalan di akhirat lebih menggerunkan daripada buta mata di dunia. Apa juga yang manusia mahu usahakan maka dunia inilah kebunnya. Kehidupan dalam dunia inilah yang menentukan nasib manusia ketika sakratul maut, dalam alam kubur, di Padang Mahsyar, di Hisab, di atas jambatan menyeberangi neraka dan pada kehidupan yang abadi. Perbezaan di antara dunia dan akhirat hanya satu sahaja, iaitu di akhirat ada peluang untuk melihat Tuhan secara terang-terangan, sementara di dunia melihat Tuhan melalui hijab-hijab. Urusan Islam, iman, tauhid dan makrifat selesai di dalam dunia ini juga. Apa yang diperolehi di dunia ini itulah yang akan dibawa ke akhirat.

Tugas menjadikan dunia sebagai kebun akhirat bukanlah mudah. Suasana semulajadi dunia menjadi cabaran kepada petani-petani akhirat.

Dan tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi”, mereka berkata: “Adakah Engkau mahu jadikan padanya makhluk yang akan berbuat bencana padanya dan akan menumpahkan darah? Padahal kami berbakti dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau”. Dia berfirman: “Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )

Para malaikat sudah dapat membayangkan kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa manusia sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat kehidupan dunia yang ada dalam pengetahuan malaikat adalah huruhara dan pertumpahan darah. Dunia adalah ibu, sementara huruhara dan pertumpahan darah adalah anak-anaknya. Kelahiran huruhara dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang sesuai dengan suasana dunia itu sendiri secara semulajadi. Manusia sebagai khalifah bertugas membersihkan dunia daripada huruhara dan pertumpahan darah itu. Khalifah tidak seharusnya membiarkan dunia terus melahirkan anak-anak jahat dan nakal.

Tuhan memperjelaskan lagi keadaan huruhara penghidupan dunia:

Tuhan berfirman: “Pergilah kamu (Adam dan Hawa). Sebahagian daripada kamu (manusia) jadi musuh kepada sebahagiannya. Dan adalah bagi kamu di bumi itu tempat ketetapan dan bekalan hingga satu masa (mati dan kiamat)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )

Kehidupan dalam dunia membawa manusia bermusuhan sesama sendiri. Dalam dunia yang huruhara, penuh dengan permusuhan dan pertumpahan darah itulah manusia menetap sehingga sampai ajal mereka dan sehingga berlaku kiamat. Tuhan mengajar manusia supaya mengambil bekalan semasa hidup di dunia. Tuhan mengajar manusia supaya menghargai tempuh singkat yang Tuhan berikan kepada mereka di dunia ini.

Dia berfirman: “Padanya (bumi) kamu hidup dan di situlah kamu akan mati dan daripadanya kamu akan dikeluarkan. ( Ayat 25 : Surah al-A’raaf )

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. Dan tidak akan disempurnakan balasan kamu melainkan pada hari kiamat. Lantaran itu barangsiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka selamatlah dia, kerana penghidupan dunia ini tidak lain melainkan menipu-daya. ( Ayat 185 : Surah a-Li ‘Imran )

Alam dihukumkan dengan kiamat dan setiap yang hidup dihukumkan dengan mati. Manusia hidup dalam dunia, mati dalam dunia dan dibangkitkan daripada dunia. Dunia yang dikenali sebagai medan asbab akan melahirkan berbagai-bagai usaha dan tindakan. Sifat dunia tidak mengizinkan usaha dan tindakan melahirkan hasil yang sempurna. Banyak daripada pokok yang ditanam tidak sempat berbuah atau buahnya tidak semanis yang dijangkakan. Tuhan memperingatkan bahawa apa juga yang manusia tanam di dunia buah yang sempurna muncul di akhirat. Buah yang manis, masam atau beracun akan dirasai dengan sempurna setelah berlaku kiamat. Apa yang diperolehi di dalam dunia lebih banyak bersifat bayangan yang menipu-daya.

Manusia terdiri daripada dua jenis anasir iaitu tubuh zahir dan hati seni. Gabungan anasir zahir yang kasar dengan anasir rohani yang seni membuat manusia boleh berfungsi sebagai cermin yang membalikkan wajah yang memandang kepadanya. Tubuh kasar umpama muka cermin yang gelap di sebelah belakang dan rohani pula umpama muka cermin yang terang di hadapan. Susunan manusia yang demikian menyebabkan manusia boleh menerima suluhan cahaya Ilahi. Kebolehan ini dinamakan mengenal Tuhan melalui mata hati. Makhluk yang mempunyai satu jenis badan sahaja tidak memiliki kebolehan yang demikian. Malaikat yang hanya memiliki badan yang terang dan haiwan yang hanya memiliki badan yang kasar tidak boleh berfungsi sebagaimana manusia. Malaikat hanya mengenal Tuhan dalam satu aspek sahaja iaitu aspek tanzih. Haiwan pula tidak mengenal Tuhan. Hanya manusia yang boleh mengenal Tuhan dalam aspek tanzih dan tasybih, iaitu Tuhan yang tidak serupa dengan sesuatu dan Dia yang memperkenalkan Diri-Nya melalui sifat-sifat-Nya.

Sifat semulajadi manusia yang mampu menerima suluhan cahaya Ilahi itu tertutup kerana manusia hidup di dalam dunia. Dunia menjadi anasir yang merosakkan gabungan badan yang gelap dengan rohani yang cerah. Dalam dunia ini wujud satu jenis makhluk yang diciptakan daripada cahaya api, dinamakan syaitan berbangsa jin. Cahaya api syaitan ini boleh menyelinap masuk ke dalam badan manusia yang gelap dan menjadikannya lutsinar, menyebabkan suluhan yang datang dari alam ghaib tidak melekat pada cermin hati. Peringatan yang di sampaikan oleh nabi-nabi tidak berbekas pada hati. Sekalipun nabi-nabi memperlihatkan mukjizat namun hati tetap tidak dapat melihat kebenarannya. Beginilah yang terjadi kepada manusia yang hidup di dalam dunia dan diganggu oleh cahaya api syaitan. Badan cahaya api syaitan menjadi tembok menghalang cahaya kebenaran daripada masuk ke dalam hati. Apabila cahaya kebenaran tidak melekat pada hati maka hati tidak mengenal apakah yang benar. Hati yang sudah jahil itu menjadi kain putih yang menerima apa sahaja yang ditayangkan oleh syaitan. Syaitan mengadakan berbagai-bagai gambaran dan dihantarkannya kepada hati. Hati menyangkakan bentuk yang dihantar oleh syaitan itulah kebenaran. Hasilnya muncullah penjelmaan mengambil alih tempat kebenaran. Penjelmaan gubahan syaitan itulah yang diterima oleh manusia sebagai yang benar. Manusia yang di dalam keadaan sedemikian beramal menurut gubahan syaitan tetapi menyangkakan mereka berada di atas jalan yang lurus. Lahirlah keyakinan yang dibina di atas asas yang sesat. Ada manusia menyembah batu dengan menyangkakan itulah jalan yang benar. Ada manusia membunuh diri dengan keyakinan mereka mati syahid. Amalan sesat telah menjadi kepercayaan yang suci lantaran mereka diperdayakan oleh syaitan.

Dunia yang dihuni oleh syaitan melahirkan berbagai-bagai tipu daya. Semua bidang kehidupan manusia diresapi oleh tipu daya syaitan. Syaitan membina jalan yang selari dan hampir dengan jalan yang lurus dan diperhiaskan jalan itu sehingga apa sahaja yang ada padanya kelihatan bersesuaian dengan jalan yang lurus. Akibat perhiasan yang dipamerkan oleh syaitan, fitrah manusia hilang kekuatan untuk melonjak kepada fitrah Muslim. Mereka berpuas hati dengan berpegang kepada fitrah kemanusiaan sahaja dan dalam keadaan yang demikian fitrah kemanusiaan tidak berkekuatan menyekat tarikan syaitan. Akibatnya nilai-nilai murni kemanusiaan dicampur adukkan dengan nilai-nilai palsu yang datang dari syaitan. Ramai daripada penganut agama Islam sendiri mencampur adukkan nilai Islam dengan nilai syaitan. Di sana sini banyak terjadi orang yang bersembahyang tetapi masih melakukan perbuatan zina dan meminum arak. Orang yang menunaikan fardu haji masih melakukan rasuah. Orang yang berpuasa tetapi masih mencuri dan menipu. Orang yang mengucapkan dua Kalimah Syahadah masih juga pergi ke kubur-kubur kerana meminta nombor toto. Perilaku orang yang mengaku beragama Islam tidak berbeza dengan orang yang ternyata kafir. Semua itu terjadi kerana warna syaitan melindungi warna kebenaran. Orang yang telah menerima dan mengguna-pakai warna syaitan itu dinamakan ahli dunia.

Dalang yang mengarahkan perjalanan ahli dunia adalah raja syaitan iaitu iblis. Iblis adalah sumber kejahatan dan syaitan adalah penyebar kejahatan iblis itu. Iblis sentiasa mengheret manusia supaya menyalahi ubudiah kepada Tuhan. Iblis memasukkan sifat-sifatnya kepada manusia bagi menyekat atau melengah-lengahkan mereka menunaikan perintah Tuhan. Sifat iblis adalah kufur atau engkar kepada kebenaran. Apabila sifat iblis membaluti hati manusia ia akan bertindak sebagai tenaga yang menghalang apa juga kebenaran yang mahu masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh menerima sesuatu kebenaran itu namun tenaga yang muncul daripada sifat iblis menghalang hujah akal daripada diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengenal dan mengakui kebenaran masih juga menolak kebenaran itu dan berbuat yang tidak benar. Orang yang mengakui berzina adalah berdosa tetapi masih juga melakukannya. Orang yang mengakui rasuah itu berdosa masih juga berbuat rasuah. Bahkan orang-orang yang menggubal undang-undang berdasarkan kebenaran yang diperolehi melalui akalnya masih juga melanggar undang-undang tersebut. Akal mengakui kewajipan bersembahyang dan anggota melakukan perbuatan sembahyang tetapi hati yang dikuasai oleh sifat iblis tidak mampu lari daripada kemaksiatan.

Syaitan menjadi ejen yang menghantar sifat-sifat iblis kepada manusia. Syaitan masuk ke dalam tubuh manusia melalui perjalanan darah. Darah yang dimasuki oleh syaitan akan menerbitkan rangsangan atau dorongan yang mengajak manusia melakukan kejahatan. Syaitan hanya mampu memberi rangsangan tetapi tidak mampu menggerakkan anggota manusia untuk melakukan sesuatu. Nafsu manusia sendiri yang bertindak menggerakkan anggotanya supaya melakukan kejahatan sebagaimana yang dirangsang oleh syaitan. Nafsu adalah umpama tuan rumah dan syaitan umpama pendatang haram. Tuan rumah sendiri yang mengizinkan pendatang haram memasuki rumahnya dan membiarkannya memerintah di dalam rumah itu. Syaitan bertindak sebagai pengajar dan nafsu yang menerima pengajaran syaitan bertindak sebagai pelaku.

Nafsu yang jahat, seperti tuan rumah yang jahat, melakukan kejahatan di dalam rumahnya walaupun kejahatan daripada luar tidak masuk. Nafsu yang rendah memang cenderung kepada kejahatan walaupun tidak menerima rangsangan syaitan. Rangsangan syaitan ditujukan kepada perkara yang menyalahi ubudiah, kederhakaan kepada Tuhan, berbuat syirik dan kufur terhadap kebenaran. Apabila manusia menolak satu rangsangan jahat, syaitan dengan cepat mencadangkan kejahatan yang lain. Asal sahaja kejahatan dilakukan syaitan sudah berasa senang dan puas. Jika syaitan gagal merangsang manusia supaya meninggalkan sembahyang, syaitan akan berpindah kepada merangsang agar manusia bersembahyang dengan lalai. Jika manusia berjaya meneruskan sembahyangnya sehingga selesai, syaitan beralih kepada merangsang agar manusia berasa riak dengan sembahyangnya. Sikap nafsu berbeza dengan sikap syaitan. Nafsu gemar kepada perkara-perkara yang menyeronokkan, suka kepada kebesaran dan kemuliaan dan cenderung kepada yang melalaikan. Tabiat nafsu, jika ia inginkan sesuatu, ia akan mengejar atau menanti sesuatu itu. Ia tidak mahu menyerah kalah sebelum ia mendapatkannya. Ia boleh mendiamkan diri walaupun bagi tempuh yang lama. Bila ada kesempatan ia akan muncul semula, selagi keinginannya belum tercapai. Cita-cita merupakan bakat nafsu. Mencitai kesejahteraan hidup adalah bakat nafsu yang baik. Banyak pula bakat nafsu yang tidak baik. Nafsu yang menginginkan seorang perempuan cantik tidak berhenti mengingininya walaupun perempuan itu sudah menjadi isteri orang lain. Sebab itulah nafsu yang tidak dikawal oleh iman sanggup merosakkan rumah tangga orang lain demi mencapai keinginannya. Begitu juga keinginan nafsu kepada kereta mewah. Ketika tidak mampu ia mendiamkan diri. Sebaik sahaja ada kemampuan, kereta mewah yang diingininya itulah yang pertama sekali dibelinya. Keinginan dan cita-cita nafsu tidak mudah berubah, tetapi rangsangan syaitan mudah berubah daripada satu kejahatan kepada kejahatan yang lain. Nafsu yang rendah merosakkan nilai-nilai murni kemanusiaan dan syaitan pula merosakkan kehambaan kepada Tuhan. Gabungan keduanya menjadikan manusia golongan yang engkar dan berbuat maksiat.

Banyak sekali kerosakan yang berlaku kerana nafsu. Al-Quran menceritakan sebahagian daripadanya.

Sesungguhnya nafsu ammarah sangat mengheret kepada kejahatan. (Ayat 53 : Surah Yusuf )

Nafsu pada peringkat yang paling rendah dan paling buruk dinamakan nafsu ammarah. Ammarah adalah sifat nafsu yang berkongsi dengan sifat syaitan, iaitu nafsu yang warnanya diresapi oleh warna syaitan. Nafsu pada peringkat ammarah berkedudukan sama dengan syaitan. Inilah nafsu yang sesat.

Tidakkah engkau perhatikan orang yang mengambil nafsunya sebagai tuhan dan dia disesatkan oleh Allah kerana Allah mengetahui (kejahatan hatinya), lalu ditutup Allah akan pendengarannya dan penglihatannya tertutup. ( Ayat 23 : Surah al-Jaathiyah )

Bahkan mereka mempertuhankan jin. ( Ayat 41 : Surah Saba’ )Kesesatan nafsu boleh sampai kepada peringkat mempertuhankan jin. Syaitan adalah bangsa jin. Jin yang berbangsa syaitan inilah yang dipertuhankan oleh nafsu manusia. Bila nafsu lari dari sumbernya, iaitu roh yang suci murni dan ia bersyarikat pula dengan syaitan dari bangsa jin, berlakulah kerosakan pada akidah dan akhlak manusia. Dari segi akidah manusia boleh mempertuhankan nafsunya atau mempertuhankan jin atau mempertuhankan kedua-duanya sekali. Nafsu manusia dengan diri manusia (ego) adalah perkara yang sama. Mempertuhankan nafsu dan mempertuhankan ego diri adalah yang sama. Firaun dan Namrud mengaku menjadi tuhan. Mereka mempertuhankan nafsu. Qarun mengaku menjadi tuhan harta. Qarun juga mempertuhankan nafsu. Sebahagian manusia mempertuhankan roh. Mereka juga mempertuhankan nafsu. Ramai manusia menolak peraturan Allah s.w.t kerana mahu memuaskan nafsu mereka. Mereka juga termasuk di dalam golongan yang mempertuhankan nafsu. Pertuhanan nafsu yang paling halus adalah sifat riak, melakukan kebaikan untuk mendapat pujian orang ramai demi menaikkan ego nafsunya. Nafsu yang mempersekutukan dirinya dengan Tuhan itulah yang mengundangkan pertuhanan jin. Nafsu yang boleh masuk ke dalam alam khayal ciptaan syaitan mengambil bentuk-bentuk tuhan yang digubah oleh syaitan. Jin suka menjelma dalam bentuk haiwan seperti ular, gajah putih, kera dan lain-lain. Penjelmaan jin dalam bentuk haiwan itu dalam keadaan luar biasa, seperti ular berkepala tujuh, gajah bergading emas, kera sakti dan lain-lain yang menguatkan sangkaan manusia jahil bahawa itulah tuhan. Mereka yang menerima tuhan-tuhan yang demikian memanggilnya sebagai dewa-dewi, ratu, puteri dan lain-lain. Itu semua adalah jin yang mengenakan tipu daya kepada manusia yang jahil tentang Tuhan.

Kerosakan akidah yang berlaku kepada umat manusia berpunca daripada iblis yang memusuhi bangsa manusia sejak manusia yang pertama diciptakan oleh Allah s.w.t. Iblis telah bersumpah untuk menyesatkan keturunan Adam a.s. Al-Quran menceritakan:

(Iblis) berkata: “Beri tempuh akan daku wahai Tuhanku, kerana aku akan menyesatkan mereka hingga hari kiamat.” Tuhan berfirman: “Kamu diberi tempuh.” Iblis berkata: “Oleh kerana aku telah sesat, maka aku akan halang mereka daripada jalanMu yang lurus. Aku datang kepada mereka dari hadapan, belakang, kanan dan kiri dan Engkau dapati kebanyakan mereka tidak mensyukuri Engkau. ( Ayat 14 – 17 : Surah al-A’raaf )

Hasil daripada gerakan iblis dan kuncu-kuncunya, iaitu syaitan, dan tewasnya nafsu manusia kepada mereka, maka terjadilah apa yang diceritakan oleh al-Quran:

Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakit mereka dan bagi mereka azab yang pedih akibat dusta mereka. ( Ayat 10 : Surah al-Baqarah )

Dan sesungguhnya Kami telah sediakan untuk neraka jahanam beberapa ramai dari jin dan manusia. Mereka mempunyai hati tetapi tidak mengerti, mempunyai mata tetapi tidak melihat, mempunyai telinga tetapi tidak mendengar. Mereka adalah seperti haiwan bahkan lebih hina daripada itu dan mereka adalah orang-orang yang lalai. ( Ayat 179 : Surah al-A’raaf )

Kami jadikan manusia dalam bentuk yang paling baik kemudian kembalikan dia ke tempat yang paling rendah. ( Ayat 4 & 5 : Surah at-Tiin )

Dikunci Allah akan hati mereka dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka tertutup.
( Ayat 7 : Surah al-Baqarah )

Manusia yang sudah parah dijangkiti oleh penyakit iblis akan mengikuti iblis kepada kedudukan yang paling buruk.

Itulah orang-orang yang dilaknat oleh Allah, maka ditulikan pendengaran mereka, dibutakan penglihatan mereka. Tidakkah mereka merenung al-Quran? Bahkan dalam hati mereka terdapat kunci-kunci. ( Ayat 23 & 24 : Surah Muhammad )

Azazil yang telah berbuat ibadat kepada Tuhan selama beribu tahun, apabila mendapat laknat dari Tuhan, bertukarlah keadaannya, terhapus semua ibadatnya yang telah lalu dan dia berubah menjadi iblis. Jika Tuhan melaknati seseorang manusia dia akan bertukar menjadi syaitan berbangsa manusia. Iblis, syaitan berbangsa jin dan syaitan berbangsa manusia akan menjadi penghuni neraka jahanam. Mereka kekal di dalamnya.

Fitnah dan tipu daya yang menanti manusia di dalam dunia sangat besar dan bahaya. Setiap kelahiran keturunan Adam a.s akan disambut oleh syaitan yang menjadi bakat iblis. Cahaya syaitan akan mewarnai cermin hati manusia. Apa yang singgah pada hati akan berubah keasliannya. Hati manusia akan terlindung daripada menyaksikan yang benar. Hanya satu sahaja yang sangat berkesan memelihara dan membersihkan cermin hati daripada warna syaitan. Itulah syariat!

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: